Oleh: Prof Madya Dr Mastura Mahfar
Teknologi digital digunakan secara meluas di institusi pengajian tinggi (IPT) sejak negara dilanda COVID-19. Implikasinya, pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian kini bukanlah sesuatu yang asing lagi buat pensyarah di kebanyakan IPT. Dalam usaha mempelbagaikan kaedah aplikasi teknologi dalam PdP, aspek psikologi juga hendaklah dititik berat oleh pensyarah. Malah, pelajar juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pembelajaran di IPT.
Perkataan “empati” mungkin sudah sering kali kita dengari, tetapi kadangkala disalah tafsir sebagai simpati. Sekiranya simpati bermaksud perasaan belas kasihan terhadap individu yang melalui sesuatu kesukaran, empati mempunyai makna berbeza, iaitu keupayaan individu untuk memahami dan membuat refleksi terhadap pengalaman yang dilalui dan dirasai oleh orang lain.
Komunikasi tanpa lisan
Terdapat beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan bagi menerapkan ciri empati dalam PdP, terutamanya melalui kaedah belajar secara real time atau segerak (synchronous). Aplikasi digital seperti penggunaan Webex, Google Meet dan Zoom misalnya, tetap membolehkan pensyarah mempraktikkan komunikasi bukan lisan yang memfokuskan ekspresi muka, nada suara, kontak mata bagi menerapkan ciri empati semasa PdP dalam talian.
Pelajar juga digalakkan membuka kamera komputer semasa PdP sekiranya tidak mempunyai sebarang isu capaian internet agar dapat merasai “kehadiran” satu sama lain.
Penghargaan
Tanpa bersemuka, pengukuhan positif atau penghargaan masih boleh dilakukan oleh pensyarah seperti menyampaikan kata-kata lisan positif atau perkataan yang ditaip menerusi aplikasi seperti, “Syabas”, "Teruskan usaha”, “Bagus, anda berani mencuba” yang membuatkan pelajar merasakan diri mereka bermotivasi dan dihargai. Malah, kebanyakan aplikasi digital kini telah dilengkapi dengan pelbagai emoji sebagai bentuk ekspresi emosi seperti simbol “smile”, “thumbs up”, “clap”, “laugh” dan sebagainya yang boleh digunakan oleh pensyarah dan pelajar secara kreatif bagi meningkatkan interaksi aktif semasa PdP.
Keunikan setiap pelajar
Pensyarah yang berempati tidak akan sesekali menyamaratakan pengalaman yang dilalui oleh pelajar, sebaliknya menyedari dan memahami bahawa setiap pelajarnya berbeza daripada segi status sosioekonomi keluarga, tempat tinggal, keupayaan pemahaman terhadap pembelajaran, keupayaan capaian internet dan kemampuan memiliki peranti.
Tidak mengejutkan sekiranya kedengaran sesetengah pelajar yang tinggal di kawasan bandar masih menghadapi isu PdP dalam talian disebabkan capaian internet yang tidak stabil atau kehabisan data internet.
Pensyarah boleh mengambil langkah proaktif dengan berkongsi rakaman video pembelajaran kepada pelajar selepas kuliah, di samping memberikan ruang kepada pelajar untuk bertanya di luar waktu kuliah sama ada menggunakan mesej pesanan ringkas ataupun WhatsApp misalnya. Pelajar juga hendaklah bersikap proaktif dan tidak berasa segan untuk bertanya kepada pensyarah yang bersedia untuk membantu.
Mendengar secara empati
Kadangkala, terdapat pelbagai isu pelajar semasa pelaksanaan PdP dalam talian seperti ketidakhadiran kelas dalam talian, tidak menyiapkan tugasan dan sebagainya. Sekiranya tidak ditangani secara berkesan, isu-isu pelajar tersebut boleh mengganggu emosi ketika proses PdP. Pensyarah sebaik-baiknya perlu bijak mengawal emosi dan mendengar luahan masalah pelajar terlebih dahulu.
Hakikatnya, masih terdapat segelintir pelajar IPT awam dan swasta di Malaysia yang mengalami kebimbangan semasa pandemik COVID-19. Hal ini boleh memberikan impak terhadap kesejahteraan psikologi pelajar. Justeru, mendengar secara empati memerlukan pensyarah untuk tidak membuat sebarang kesimpulan awal. Sebaik-baiknya, elakkan cepat memberi nasihat dan ambil peluang untuk meneroka isu pelajar tersebut. Kemungkinan, isu belajar bukan merupakan masalah utama, tetapi hal-hal lain yang di luar jangkaan seperti isu keluarga, kewangan dan sebagainya.
Bantuan kaunseling dan rakan sebaya
Sekiranya isu pelajar tidak dapat ditangani, maka pensyarah disarankan untuk mendapatkan bantuan daripada pusat kaunseling di setiap IPT yang mempunyai pegawai psikologi atau kaunselor yang terlatih. Pelajar pula digalakkan untuk bersikap peka dan mengambil berat sesama mereka walaupun kesukaran bersemuka semasa pandemik ini. Sekiranya ada rakan kelas yang menghadapi masalah, ambil peluang bertanya khabar dan dengarlah secara empati. Kurang interaksi sosial juga merupakan antara punca tekanan yang dihadapi oleh pelajar semasa tempoh COVID-19. Justeru, hubungan dan sokongan emosi oleh rakan sebaya yang berkekalan amat penting dalam tempoh pandemik ini.
Aplikasi kaedah segerak dan bukan segerak
Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran kondusif kembali seawal 1 Mac bagi meneruskan pengajian di IPT, namun terdapat pelajar yang membuat keputusan untuk terus mengikuti PdP dari rumah disebabkan isu kewangan, keluarga dan sebagainya. Hakikatnya, kebanyakan pensyarah kini bertindak proaktif dengan mengaplikasikan pembelajaran yang menggabungkan pendekatan segerak (synchronous) dan bukan segerak (asynchronous). Melalui pendekatan bukan segerak, para pensyarah boleh bersikap toleransi dan fleksibel dalam menyampaikan pengajaran dan latihan mengikut kesesuaian situasi semasa dengan menggunakan pelbagai platform digital seperti E-learning, Whatsapp, dan sebagainya.
Tugasan kepada pelajar
Pensyarah yang berempati juga tidak akan sesekali “melepaskan” pelajar begitu sahaja untuk melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan, tetapi sebaliknya sentiasa mengikuti perkembangan pelajar sehingga mereka berjaya menyelesaikannya. Pelajar juga dinasihatkan untuk tidak menangguhkan tugasan yang diberi oleh pensyarah dan sebaliknya, memahami bahawa hasil tugasan yang berkualiti antara faktor kecemerlangan akademik. Tidak dinafikan, kadangkala kedengaran keluhan pelajar berkaitan lambakan tugasan yang diberi. Justeru, aplikasi PdP secara empati turut memerlukan peranan pensyarah dalam memastikan perancangan dan pengurusan PdP dapat dilaksanakan secara sistematik dan terancang, termasuklah agihan tugasan kepada pelajar.
Penerapan empati dalam PdP bukan sahaja memberikan manfaat kepada pensyarah dalam meningkatkan keberkesanan PdP dalam talian, bahkan membantu para pelajar dalam proses mengejar kecemerlangan akademik seiring dengan kecemerlangan sahsiah dan keperibadian tinggi di IPT.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Mastura Mahfar merupakan pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai