TINTA MINDA

TUDM KEKAL RELEVAN DALAM PERTAHANAN UDARA NEGARA

02/06/2021 09:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Mejar Ali Mohamad, TUDM

(Sempena Ulang tahun TUDM Ke-63 pada 1 Jun)

Menginjak usia 63 tahun penubuhannya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus mengorak langkah memperkemaskan keupayaannya seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan tuntutan keperluan pertahanan udara masa kini. Umumnya, Malaysia bukanlah sebuah negara yang berpaksikan kekuatan pertahanan seperti beberapa kuasa besar lain yang meletakkan pembangunan keupayaan aset ketenteraan sebagai keutamaan dalam polisi dan dasar negara.

Namun begitu, itu bukan bermakna pembangunan keupayaan pertahanan khususnya melibatkan elemen udara tidak diambil peduli. Pelbagai perancangan telah dibuat dalam usaha memenuhi keperluan pertahanan dan memastikan angkatan udara kekal relevan untuk menjaga kedaulatan ruang angkasa negara dan kepentingannya yang lain.

Melahirkan tenaga kerja berprofil tinggi

TUDM dilihat sebagai sebuah platform yang sangat efektif dalam pembangunan sumber manusia berprofil tinggi. TUDM adalah antara ‘pusat’ melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan profesional seiring dengan perkembangan teknologi khususnya dalam bidang aeroangkasa. Di manakah signifikannya sebuah angkatan udara mampu berperanan sedemikian?

Jawapan kepada persoalan ini adalah berkait rapat dengan pembangunan modal insan yang diletakkan sebagai keutamaan oleh TUDM dalam membentuk sebuah angkatan udara yang mampu menggerakkan fungsi serta peranannya berorientasikan teknologi persenjataan masa kini.

Anggota TUDM khususnya dalam bidang kejuruteraan sentiasa didedahkan dengan budaya senggaraan seperti membaikpulih serta modifikasi sistem persenjataan dalam memastikan aset-aset TUDM berada dalam keadaan yang baik dan siapsiaga. Kepakaran serta kemahiran pegawai dan anggota TUDM ini juga menjadi ‘lesen’ yang diiktiraf untuk menceburi bidang senggaraan persenjataan dalam Industri penerbangan apabila tamat perkhidmatan.

Subject Matter Expert dalam bidang aeroangkasa

Umum mengetahui bahawa di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TUDM bukanlah satu-satunya perkhidmatan yang mempunyai pasukan udara, tetapi perkhidmatan lain ATM seperti Tentera Darat dan Tentera Laut turut memiliki cabang atau pasukan udara mereka sendiri. Justeru, masih relevankah TUDM jika perkhidmatan lain juga berupaya mengoperasikan pasukan udaranya sendiri?.

Dalam konteks ini, kita perlu lebih memahami ‘primary roles’ serta keupayaan yang perlu ada pada sesebuah perkhidmatan. Masing-masing mempunyai peranan atau fungsi yang berbeza. Kewujudan pasukan udara dalam perkhidmatan-perkhidmatan lain ATM ini bukanlah untuk menidakkan fungsi TUDM secara keseluruhan. Sebaliknya ia berperanan untuk mendokong fungsi perkhidmatan berdasarkan doktrin pertahanan masing-masing.

Mungkin tidak keterlaluan sekiranya dilabelkan TUDM sebagai ‘Subject Matter Expert’ yang menjadi pembimbing kepada pasukan-pasukan udara perkhidmatan ATM yang lain dalam bidang penerbangan. TUDM boleh diumpamakan sebagai ‘pakar rujuk’ kepada perkhidmatan ATM yang lain termasuklah agensi-agensi ‘non-military’ seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain tidak kira sama ada daripada segi operasi mahupun latihan.

Sebagai contoh, TUDM bertanggungjawab dalam melatih para juruterbang dan anak kapal bagi pasukan udara Tentera Darat serta Tentera Laut melalui kursus-kursus penerbangan yang dikawal selia oleh TUDM di Kolej Tentera Udara, Alor Setar dari semasa ke semasa.

Mendokong kelancaran operasi secara holistik dan bersepadu

Relevan sebuah angkatan udara bukan terletak semata-mata kepada kemampuan dalam operasi bersifat ‘offensive’ mahupun ‘defensive’ menggunakan aset-aset tempur yang canggih seperti pesawat pejuang berteknologi tinggi dan seumpamanya. Dalam konteks sebuah negara yang mengutamakan pendekatan diplomasi dalam sebarang krisis, perkara pokok yang perlu diberi perhatian adalah sejauh mana kemampuan sebuah angkatan udara dapat memenuhi keperluan operasi bukan sahaja untuk pertahanan malah untuk apa jua keperluan yang bertujuan menjaga kepentingan negara mahupun masyarakat.

Mungkin ada yang masih ingat krisis politik yang berlaku di Mesir sehingga mencetuskan pergolakan dalaman yang dahsyat sekitar awal 2011. Pada waktu itu, TUDM dengan kerjasama Wisma Putra dan agensi penerbangan swasta tempatan telah mengaktifkan Operasi Piramid (Op Piramid) bagi mengeluarkan pelajar-pelajar serta rakyat Malaysia dari Bumi Mesir. Seramai lebih dari 11,000 pelajar serta rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Bumi Mesir untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sebanyak tiga buah pesawat C130H TUDM bersama anak kapalnya dan anggota logistik telah diaturgerak untuk memindahkan pelajar serta rakyat Malaysia dari Kaherah, Mansourah dan Iskandariah ke Jeddah Arab Saudi sebelum dibawa pulang dengan penerbangan awam ke Malaysia. Operasi ini adalah antara pencapaian terbesar TUDM yang menterjemahkan kemampuan dan keupayaannya sebagai sebuah angkatan udara yang ‘versatil’ serta mampu mendokong kepentingan negara secara menyeluruh.

Peranan TUDM sebagai pemegang taruh operasi penerbangan sekali lagi ditagih dalam krisis pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini. Mungkin ramai tidak menyedari tentang peranan penting yang dibawa oleh TUDM sepanjang krisis COVID-19. Mana tidaknya, perhatian rakyat lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti penguatkuasaan pematuhan PKP dan keselamatan yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia bersama pasukan-pasukan keselamatan yang lain. TUDM secara berterusan mengaturgerak operasi penerbangan melalui pesawat pengangkutnya untuk penghantaran vaksin, peralatan perubatan, petugas perubatan termasuk hospital medan ATM dan pelbagai lagi keperluan berkaitan COVID-19 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak berkenaan berjalan dengan lancar.

Kredibiliti yang dipertikaikan

Baru-baru ini negara digemparkan dengan isu pesawat Israel melintasi ruang udara negara. Pelbagai spekulasi dibuat tanpa mengetahui kedudukan sebenar perkara berkenaan. TUDM turut terkena tempias persepsi negatif yang dilemparkan sesetengah golongan atau individu yang mempertikaikan fungsi TUDM dalam menjaga kedaulatan ruang udara negara. Spekulasi dan persepsi negatif ini didorong oleh emosi dan sentimen anti-Israel yang membuak-buak sehinggakan isu pesawat Israel berkenaan menjadi ‘stimulus’ untuk melontarkan segala cemuhan dan tohmahan mempertikaikan kredibliti TUDM.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) telah menjelaskan pesawat berkenaan adalah pesawat awam yang disahkan mendapat kelulusan penerbangan berdasarkan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota. Namun begitu, ini tidak bermakna TUDM mengambil sikap ‘lepas tangan’ di mana TUDM dari semasa ke semasa memantau perkembangan penerbangan pesawat berkenaan semasa melintasi ruang udara negara. Malah, tiada sebarang petunjuk ancaman (threat indicator) atau sebarang tindakan lain yang mencurigakan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam hal ini, rasanya adalah tidak wajar kredibiliti TUDM dipertikaikan dalam melaksanakan fungsinya menjaga kedaulatan ruang udara negara. Situasi yang berlaku itu adalah suatu konteks yang berbeza daripada konsep pertahanan sebuah angkatan udara yang memerlukan pencerahan daripada pihak ‘pakar’ diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Pada usia 63 tahun, TUDM sudah cukup matang untuk terus maju ke hadapan dan sentiasa bersedia menghadapi pelbagai bentuk cabaran. Melalui perancangan strategiknya seperti Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55), jelas menunjukkan bahawa TUDM amat serius dalam mencorak hala tujunya untuk menjadi sebuah ketumbukan udara yang efektif dalam pelbagai spektrum operasi. Namun begitu, sokongan daripada semua pihak terutamanya rakyat Malaysia sendiri menjadi aspirasi serta pemangkin untuk TUDM terus kekal relevan dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara.

-- BERNAMA

Mejar Ali Mohamad merupakan Pegawai Staf 2 Media Udara, Unit Komunikasi Strategik, Kementerian Pertahanan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)