2020 dan 2021 merupakan tahun yang mencabar dalam semua sektor terutamanya sektor pendidikan dan pengajian tinggi. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan hampir semua aktiviti sosial dan fizikal tergendala. Pelbagai cabaran baharu wujud di era pandemik ini sehingga menuntut semua pihak melaksanakan beberapa amalan berpandukan norma baharu.
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai platform seperti Google Meet, Zoom, Cisco Webex dan sebagainya. Namun begitu, keadaan ini secara tidak langsung telah menjejaskan pelaksanaan latihan industri (LI) dalam kalangan mahasiswa tahun akhir di Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara. Pada fasa pertama pelaksanaan PKP iaitu sekitar Mac hingga Jun 2020, terdapat IPT yang terpaksa menangguhkan penempatan LI mahasiswa di organisasi demi memastikan keselamatan mahasiswa berada pada tahap optimum.
Keadaan semasa pandemik ini bukan sahaja menyebabkan majikan dan pekerja berdepan cabaran menjalani aktiviti dalam norma baharu, ia secara tidak langsung juga memberi impak kepada mahasiswa yang menjalani LI. Mereka berdepan dengan cabaran, bahaya dan risiko yang tidak boleh dijangka.
Disebabkan isu pandemik COVID-19 yang masih belum reda, mod pelaksanaan LI di universiti juga telah berubah. Terdapat program yang menukar mod pelaksanaan LI kepada latihan ilmiah, ada juga program yang mengimplimentasikan pelaksaanaan LI secara dalam talian dan terdapat program yang menukar pelaksanaan LI dalam bentuk tugasan projek video.
Peranan IPT
Pada era 1980-an, kita dapat menyaksikan berlakunya perubahan yang pesat dalam bidang sains, teknologi, pembuatan dan pasaran. Ini mencetuskan peningkatan persaingan dalam mobiliti pekerja di organisasi tanpa sempadan. Fenomena ini memperlihatkan pihak industri lebih memilih untuk menggaji pekerja yang mempunyai pengalaman dan kemahiran berbanding melatih graduan yang baru menamatkan pengajian. Oleh yang demikian, para graduan hari ini hendaklah terdiri daripada seorang yang berpengetahuan tinggi, berdaya saing, serta mempunyai sikap dan kemahiran yang sesuai mengikut bidang.
Tujuan utama LI adalah untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa tentang realiti dunia pekerjaan yang sebenar selaras dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berketerampilan dan berkemahiran. Aktiviti LI memperlihatkan kemampuan praktikal mahasiswa dalam melaksanakan tugasan yang diberikan berbanding teori yang dipelajari semasa di universiti. Penulis berpendapat bahawa, LI ini sangat penting bagi semua mahasiswa tidak kira mahasiswa dari jurusan Sains Sosial mahupun Sains Tulen.
IPT bertanggungjawab menentukan mahasiswa mendapat pendedahan industri yang diperlukan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan memastikan mereka memanifestasikan ilmu yang dipelajari semasa di universiti dan pengetahuan baharu dalam industri yang tidak diketengahkan dalam tempoh pengajian. Menerusi LI, hasil pembelajaran selama tiga tahun di universiti dapat dinilai sama ada memenuhi kehendak dan keperluan industri ataupun tidak.
Kaedah alternatif menggantikan LI
Program LI dilihat dapat membantu meningkatkan kredibiliti mahasiswa untuk menjadi pekerja yang profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang. Aspek latihan perlu diberi keutamaan dalam memastikan graduan yang dilahirkan adalah berkualiti dan berkemahiran tinggi. Namun, krisis COVID-19 menyebabkan pelbagai amalan baharu termasuklah kaedah komunikasi dan penilaian secara dalam talian menjadi kaedah alternatif bagi menggantikan kaedah bersemuka seperti sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dilaporkan berkata bahawa pihaknya peka dengan kesukaran mahasiswa untuk menjalani LI sepenuhnya, namun IPT boleh menyediakan latihan lain yang sewajarnya. Katanya kaedah alternatif itu bergantung kepada bidang program dan mesti memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan.
Kaedah lain yang dicadangkan adalah seperti industry-based project, problem-based project, topical study atau research project. Aktiviti simulasi dan amali dalam bentuk virtual, dalam talian mahupun 'remote' juga boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian. Kaedah alternatif ini boleh dilaksanakan sebagai penggantian penuh atau sebagai pelengkap kepada LI yang terpaksa dihentikan buat seketika dan belum memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan.
Dalam mendepani dunia yang kian mencabar ini, LI dalam tempoh PKP masih boleh diteruskan melalui pelbagai kaedah mengikut kesesuaian dan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan organisasi. Arahan dan SOP oleh pihak berkuasa wajib dipatuhi sepenuhnya oleh semua mahasiswa bagi membendung penularan dan jangkitan COVID-19.
Amalan seperti mengelakkan diri dari berada di ruang sesak yang sempit, penjarakan sosial di tempat awam dan mengelakkan berinteraksi secara dekat perlu dipatuhi secara menyeluruh. Selari dengan hal tersebut, mahasiswa perlu mengambil langkah yang bijak sebelum, semasa dan selepas menjalankan LI bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara selamat. Dalam melaksanakan LI, SOP yang telah digariskan dalam era pandemik ini seperti pemakaian pelitup separuh muka, penggunaan hand sanitizer, penjagaan kebersihan ruang kerja dan penjarakan sosial perlu diamalkan secara konsisten.
Meskipun pandemik COVID-19 ini dianggap sebagai suatu perkara di luar jangkaan, pelbagai pihak seperti IPT dan organisasi haruslah berganding bahu dalam membantu memastikan proses LI berjalan dengan baik dan lancar. Ini perlu agar selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Sementelah LI merupakan syarat yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai satu keperluan pengijazahan di peringkat ijazah sarjana muda dengan syarat minimum sekurang-kurangnya tempoh lapan minggu.
LI wajar diteruskan walaupun dalam tempoh PKP kerana ia memberi peluang kepada mahasiswa tahun akhir yang bakal bergraduasi dan memasuki alam pekerjaan merasai pengalaman sebenar dunia pekerjaan. Aktiviti LI dijangka dapat menyumbang dalam pembentukan modal insan yang lebih kreatif, kritikal, inovatif dan juga kompetitif di masa hadapan. Bagaimanapun, segala keputusan dan tindakan yang diambil oleh IPT adalah merujuk kepada arahan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), KPT dan MQA.
Dalam situasi pandemik yang tidak stabil ini, keselamatan mahasiswa perlulah diutamakan. Setiap keputusan perlu diteliti dengan baik dan sewajarnya agar manfaat akan berbalik kepada mahasiswa itu sendiri. Pihak IPT bertanggungjawab memastikan setiap mahasiswa diberi pendedahan terbaik melalui LI. Antara insiatif yang boleh diambil oleh IPT adalah dengan membenarkan mahasiswa menjalani LI di universiti mengikut bidang berkaitan seperti di fakulti atau jabatan yang berkenaan dengan bidang yang diambil. Namun, mahasiswa IPT yang menjalani LI semasa tempoh PKP, wajar menyesuaikan diri dengan norma baharu dan menjalani latihan mengikut prosedur yang betul dan selamat.
Selain itu, IPT yang mempunyai program sama dan dijalankan dalam dua mod berbeza iaitu mod kerja kursus serta industri (2u2i) / Work-Based Learning (WBL) boleh mempertimbangkan untuk menukarkan mahasiswa mod industri kepada mod kerja kursus. Apa yang penting, pihak IPT perlu memastikan mahasiswa dapat meneruskan pengajian dengan lancar dan menamatkan pengajian dalam masa yang telah ditetapkan walaupun berhadapan dengan situasi pandemik yang mencabar. Dalam masa yang sama, mahasiswa masih mendapat kemahiran sewajarnya serta kompetensi yang diperlukan
Pandemik COVID-19 dijangka tidak reda sepenuhnya dalam masa yang terdekat namun mahasiswa perlu bersedia menjalani LI dalam norma baharu. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi di samping menjadi lebih berdikari, kreatif dan bijak mencari solusi setiap permasalahan yang dihadapi. Buat permulaan, situasi ini akan menimbulkan kejanggalan namun lambat laun semua pihak akan boleh menghadapinya dengan baik.
-- Bernama
Sitinurbayu Mohd Yusoff merupakan pensyarah bagi Program Komunikasi dan Penyelaras Latihan Industri, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.