TINTA MINDA

TEORI EKONOMI TINGKAH LAKU DAN VAKSINASI

21/06/2021 09:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohd Shahidi Ismail

Ramai individu dalam kalangan masyarakat kita didapati mengabaikan janji temu vaksinasi yang telah ditetapkan terutama golongan berisiko dan warga emas. Seramai 10 ribu orang dilaporkan tidak menghadiri janji temu vaksinasi di Kedah, 10 ribu di Kelantan dan jumlah yang sama turut dilaporkan di Perak dan Pahang. Terkini, di Negeri Sembilan seramai 6,200 orang tidak hadir untuk mendapatkan vaksinasi. Persoalannya, mengapakah situasi ini terjadi?

Memetik isu berkaitan vaksinasi, kemerosotan fungsi aplikasi MySejahtera ketika pendaftaran vaksinasi AstraZeneca baru-baru ini turut sama menjadi buah mulut masyarakat. Di sini kita dapat melihat dua situasi yang berbeza iaitu masyarakat yang enggan mendapatkan vaksin dan masyarakat yang berlumba-lumba untuk mendapatkan vaksin.

Teori Ekonomi Tingkah Laku

Situasi seumpama ini dapat dijelaskan melalui teori Ekonomi Tingkah Laku Manusia atau “Behavioural Economics”. Manusia secara lahiriah mempunyai kelemahan dalam membuat keputusan yang tepat disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah bias iaitu pemikiran yang cenderung ke arah satu kesimpulan yang sama, dan heuristik iaitu langkah pemikiran pintas untuk membuat kesimpulan tanpa perlu mengikuti aturan rasionalisasi yang panjang.

Bias secara ringkasnya bermaksud seseorang itu akan membuat keputusan yang dirasakan betul tanpa meneliti fakta atau pandangan pakar kerana apa yang telah mereka percayai dan praktikkan selama ini. Jika dilihat di negeri-negeri di mana ramai individu tidak hadir untuk mendapatkan vaksin, rata-rata menyatakan bahawa mereka menerima perkhabaran akan bahayanya vaksin.

Mereka mudah terpengaruh dengan maklumat seperti mesej 'Mak Teh' berkenaan khasiat air kelapa untuk merawat COVID-19 serta mesej-mesej tular di WhatsApp dan media sosial yang menyatakan bahawa vaksin adalah sangat bahaya, walaupun kerajaan telah pun menyebarkan banyak maklumat di pelbagai media. Mengapa mereka memilih untuk mendengar berita dari WhatsApp yang kurang jelas faktanya berbanding maklumat kerajaan?

Terdapat beberapa faktor yang boleh menjelaskan persoalan ini. Pertama, apa yang dikenali sebagai "Confirmation Bias" atau bias konfirmasi. Bias konfirmasi ini adalah kecenderungan untuk menyukai maklumat yang menegaskan serta memperkuatkan keyakinan atau nilai-nilai yang telah dipercayai. Kebanyakan yang tidak hadir vaksinasi dapat dilihat mempunyai bias sebegini. Tambahan pula, mesej-mesej daripada WhatsApp lebih berupa mesej daripada rakan atau seseorang yang dikenali yang bersifat kurang formal dan lebih interpersonal.

Mereka juga mungkin tidak hadir kerana “Groupthink Bias” atau bias mengikut kumpulan. Ia merupakan fenomena psikologi yang terjadi dalam kumpulan untuk tidak menimbulkan kekecohan dan mendapatkan keharmonian. Jika ramai dalam kumpulan itu melakukan sesuatu, maka yang lain-lain akan terikut melakukan perkara yang sama. Dalam situasi ketidakhadiran untuk vaksinasi ini, kemungkinan besar, terdapat ramai rakan-rakan di sesebuah perkampungan atau di sesuatu lokasi itu telah menguar-uarkan kepada yang lain bahawa mereka tidak akan mendapatkan vaksinasi seperti yang ditetapkan. Justeru, ini akan mempengaruhi penduduk lain dan menyebabkan mereka turut tidak hadir bagi mendapatkan vaksinasi. Perkara yang sama berlaku semasa pendaftaran vaksin AstraZeneca ini. Ramai individu yang telah mengambil vaksin ini telah berkongsi pengalaman serta keadaan kesihatan mereka di media sosial dan ini mengurangkan keraguan orang ramai untuk mengambil vaksin ini.

Faktor heuristik juga merupakan antara satu faktor yang menyebabkan keengganan masyarakat menerima vaksin. Maklumat proses pendaftaran, fakta sains berkaitan COVID-19 serta vaksinasi yang sukar difahami dan dihadam oleh orang ramai menyebabkan mereka sukar untuk mempercayainya. Mereka lebih mudah memahami mesej seperti “minum air kelapa” atau “hidu air bunga cengkih” yang mudah dipraktikkan dan difahami. Hakikatnya, semakin rumit sesuatu maklumat itu, semakin sukar untuk difahami dan diterima.

Memahami tingkah laku

Secara tidak langsung, teori Ekonomi Tingkah laku Manusia ini menjawab persoalan, mengapa ramai yang tidak mendaftar untuk vaksinasi. Memahami tingkah laku manusia akan turut membantu kita dalam memikirkan dan mencari penyelesaian yang sesuai. Di sini, saya kongsikan beberapa langkah yang mungkin sesuai untuk dilaksanakan bagi mempertingkatkan jumlah kehadiran vaksinasi.

Langkah pertama adalah, daftarkan setiap individu secara automatik ke dalam sistem vaksinasi MySejahtera. Jika mereka memilih untuk menolak, barulah mereka perlu mengisi borang penolakan vaksinasi dengan disertakan alasan. Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa jika kita menjadikan sesuatu itu automatik, penyertaan akan meningkat dengan banyak. Misalnya, sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang turut menggunakan teknik ini. Jika orang ramai dan pihak majikan diminta menabung atau menyimpan secara sukarela setiap bulan, sudah tentu akan ada ramai yang tidak menyimpan wang bersama KWSP. Namun, dengan menjadikannya automatik, maka hampir semua individu menyimpan wang KWSP yang ditetapkan.

Langkah kedua adalah, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlulah menghantar peringatan sebelum vaksinasi. Jika boleh, mesej perlulah mesra dan interpersonal. Mereka perlu diingatkan akan kepentingan mengambil vaksin dengan cara mengemukakan sebab yang dapat dikaitkan dengan kehidupan seperti dapat berjumpa cucu, anak yang jauh sekiranya vaksin diambil. Menyatakan fakta juga akan dapat mendorong keperluan pengambilan vaksinasi. Namun, fakta perlulah mudah dan senang difahami. Contohnya, nyatakan perbandingan jumlah kematian disebabkan vaksin berbanding jumlah kematian disebabkan COVID-19.

Selain itu, KKM juga boleh menfokuskan kepada penerima vaksin terdahulu dengan cara mengambil testimoni mereka atau menunjukkan video bagaimana penerima vaksin dahulu kini mampu hidup dengan lebih baik tanpa kebimbangan dijangkiti COVID-19. Galakkan juga penerima vaksin untuk berkongsi situasi sebenar kepada rakan-rakan melalui media sosial bagi menggalakkan rakan-rakan yang lain untuk turut mengambil vaksin. Mesej daripada rakan dan orang yang dikenali akan lebih berkesan berbanding mesej umum dari kerajaan.

Sesungguhnya, pemahaman terhadap wujudnya bias dan heuristik ini akan banyak membantu individu atau pihak berkuasa dalam pelaksanaan proses vaksinasi ini. Mempunyai bias bukannya bermaksud kita tidak cerdik, malah semua manusia mempunyai bias tersendiri, bergantung kepada pengalaman dan demografi individu. Pemahaman tentang ekonomi tingkah laku akan membantu kita dalam membuat keputusan yang lebih logik dan berasas. Malah, jika pihak kerajaan memahami hakikat ini, polisi atau program yang lebih mesra rakyat akan dapat dilaksanakan.

-- BERNAMA

Mohd Shahidi Ismail merupakan Pengarah Urusan Tell N Search PLT dan konsultan polisi awam, Behavioural Insights

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)