Kisah Saya
Masih jelas di ingatan saya, pada hari pertama sewaktu berada di sekolah rendah. Semasa cikgu memasuki kelas kami, semua murid berdiri sambil mengucapkan “Selamat Pagi, Cikgu”, disebut dengan “Lau Shi Zao An” akan tetapi saya menyebutnya sebagai “Lau Shu Zao An” yang mana membawa maksud “Selamat Pagi, Tikus”. Akibatnya, semua anak murid di dalam kelas ketawa terbahak-bahak. Hanya,tuhan sahaja yang tahu betapa malunya saya pada waktu itu.
Guru kelas saya, Cikgu Gong Chai Xia, menghampiri dan membetulkan sebutan saya. Dia menjelaskan maksud “Shi” dan “Shu” adalah berbeza. Dia bertanyakan nama saya dan meminta saya menulisnya di atas buku nota sekolah. Di sebelah nama saya, dia menulis 罗莱茵 (disebut sebagai Loh Lai Ying) sambil berkata “Bermula pada hari ini, awak akan mula mengunakan nama ini di sepanjang persekolahan jika awak memilih untuk meneruskan pelajaran di sekolah Cina.” Pada masa yang sama, dia memberitahu nama yang diterjemahkan untuk saya mengandungi maksud yang cantik dan ianya adalah sempena nama Sungai Rhine di Jerman, dalam Bahasa Cina ditulis sebagai 莱茵河.
Inilah kisah bagaimana saya mula mendapat nama Cina dan kenangan pada hari pertama persekolahan saya di Sekolah Jenis Kebangsaan Rendah (C) Foon Yew 2, Johor Bahru. Seterusnya, saya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Foon Yew, juga di Johor Bahru.
Rentetan itulah bagaimana 罗莱茵 Loh Lai Ying kekal menjadi identiti saya sehingga ke hari ini.
Sokongan keluarga
Segala apa yang saya ada pada hari ini, adalah hasil daripada pengorbanan kedua-dua ayah dan ibu saya. Mereka membuat keputusan menghantar saya ke sekolah Cina, walaupun mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan Cina langsung, dan sentiasa memberi sokongan untuk saya maju di dalam semua bidang yang saya ceburi. Ini termasuklah menghantar saya ke kelas tuisyen untuk kesemua subjek yang diajar di sekolah, agar saya tidak ketinggalan.
Kebanyakan kawan-kawan dan saudara mara juga ada yang bertanya, kenapa saya dimasukkan ke sekolah Cina. Namun alasan kedua ibu dan ayah saya adalah kerana memandangkan kita tinggal di Malaysia, sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, ini memberi manfaat untuk mempelajari dan memahami bahasa serta adat resam budaya kaum-kaum lain. Melalui penguasaan Bahasa Cina juga akan membolehkan kita mengenali dan memahami antara satu sama lain, ini boleh merapatkan lagi hubungan sesama kita di Malaysia.
Semua ini menjadi realiti semasa saya memulakan kerjaya di sebuah bank di Johor Bahru. Setiap kali ada pelanggan warga emas yang berbangsa Cina datang untuk berurusan dengan pihak bank, Pengurus Cawangan akan meminta bantuan saya untuk menjelaskan dan menterjemahkan mesej ke Bahasa Cina.
Cabaran
Oleh kerana kedua-dua ibu dan ayah saya tidak mendapat pendidikan Cina dan tidak mempunyai pendedahan, mereka tidak dapat membantu saya dengan kerja-kerja sekolah. Jadi, mereka memutuskan untuk mendaftarkan saya ke kelas tuisyen dan memastikan saya mendapat sokongan yang baik agar tidak ketinggalan.
Sepanjang tempoh pengalaman saya di sekolah Cina, di situ juga saya diterapkan etika bekerja yang kuat. Walaupun cuti sekolah, pihak sekolah akan memberi banyak kerja rumah yang perlu saya siapkan dan diserahkan sebaik sahaja kami memasuki dan memulakan penggal persekolahan baru.
Bekerja keras adalah sebahagian daripada budaya yang saya pelajari sepanjang tahun persekolahan, malah saya juga perlu bekerja lebih keras kerana bahasa perantaraan bukan bahasa ibunda saya (Bahasa Malaysia). Semua yang saya lakukan, usahanya harus berganda. Oleh kerana di sekolah Bahasa Cina digunakan sebagai bahasa perantaraan, kesemua mata pelajaran adalah di dalam bahasa Cina iaitu, Kimia, Biologi, Geografi, Matematik, Sejarah dan sebagainya. Oleh itu, saya perlu ke kelas tuisyen bagi semua mata pelajaran tersebut untuk memastikan saya tidak ketinggalan.
Sehingga kini, apabila membuat sebarang kira-kira, saya masih menggunakan bahasa Cina, kerana ia lebih cepat dan mudah bagi saya, kerana sifir yang saya hafal adalah dalam bentuk Bahasa Cina.
Dibesarkan dan dilahirkan sebagai orang Islam adalah sangat penting bagi ibu dan ayah saya untuk memastikan saya tahu tentang halal dan haram. Pada hari pertama saya ke sekolah rendah, ibu saya membawa saya ke kantin, dia menjelaskan apa yang boleh saya makan dan halal, dan makanan yang mana saya tidak boleh sentuh. Kami pergi dari gerai ke gerai, oleh kerana majoriti murid adalah berbangsa Cina, tidak ada gerai halal untuk saya membeli makanan. Sebagai seorang wanita yang berkerjaya, ibu saya terpaksa bangun lebih awal untuk menyediakan sarapan dan makan tengah hari untuk saya makan di sekolah.
Dari sini juga saya belajar tentang toleransi, melakukan yang terbaik dan menyesuaikan diri dalam apa jua persekitaran, dan walaupun kadang-kadang situasi tersebut tidak ideal buat saya, namun saya akan terus mencuba dan membuat yang terbaik.
Kehidupan bekerja
Kini, sudah lebih 20 tahun saya meninggalkan zaman persekolahan. Selepas 25 tahun bekerja di institusi kewangan di pelbagai bank tempatan, pada Februari 2021 saya ditawarkan jawatan di Asia Pacific Investment Bank Ltd., sebuah bank pelaburan di Labuan yang berasal dari China, sebagai Pengarah Kewangan Islam mereka.
Di sini saya mula menggunakan kembali Bahasa Cina setiap hari. Semua dokumentasi, e-mel dan segala bentuk komunikasi dengan rakan-rakan dari cawangan di China adalah di dalam Bahasa Cina, oleh kerana saya mahu Bahasa Cina yang sempurna, saya mula menggunakan Bahasa Cina dalam pertuturan dengan semua rakan sekerja saya di cawangan Malaysia sekerap yang boleh.
Di antara Bahasa Cina di Malaysia dan China banyak juga perbezaannya, dan saya bersyukur kerana mempunyai rakan sekerja yang telah bekerja di bank-bank China yang lain sebelum ini, mereka memahami budaya dan formaliti, mereka semua inilah yang banyak membantu saya, dan daripada mereka semualah saya mendapat nasihat dan tunjuk ajar.
Sebagai seorang ketua di Jabatan Kewangan Islam di bank ini, tugas saya adalah memperkenalkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam kepada pelanggan-pelangan kami. Asia Pacific Investment Bank Ltd. mempercayai kepada kepelbagaian tenaga kerja, ia jelas terbukti sebagai seorang yang berbangsa Melayu dan juga wanita, saya memegang salah satu jawatan penting di dalam bank ini.
Semasa pandemik COVID-19, di mana beberapa syarikat di Malaysia mengambil langkah mengecilkan operasi dan pengurangan tenaga kerja, Asia Pacific Investment Bank Ltd. telah mengambil peluang untuk memperluaskan operasinya. Kami baru sahaja melancarkan Asia Digital Bank Ltd. (AsiaDB) pada Mei 2021 dan kami juga akan memperluaskan skop untuk memenuhi keperluan pelanggan kami.
Mendepani kewangan Islam di Asia Pacific Investment Bank
Sebagai Bank Pelaburan Labuan yang berasal dari China, mereka melihat kewangan Islam sebagai salah satu bidang yang ingin mereka terokai, walaupun tidak mempunyai pemahaman mengenai kewangan Islam, namun mereka mendapatkan nasihat dan mendengar buah fikiran saya tentang bagaimana untuk melakukan yang terbaik dalam bidang ini.
Matlamatnya sekarang adalah untuk memperkenalkan kewangan Islam kepada pasaran China yang masih lagi baru dan belum diterokai sepenuhnya. Oleh itu, Asia Pacific Investment Bank Ltd menumpukan usaha untuk membawa lebih banyak perusahaan Cina dari China untuk mengeluarkan SUKUK melalui Labuan. Kami akan bekerjasama dengan institusi kewangan di Dubai dan Kanada untuk menembusi pasaran global. Inisiatif ini akan dapat memperkenalkan Labuan, Malaysia dan menggalakkan terbitan SUKUK di China melalui Labuan.
Dengan pelancaran Asia Digital Bank Ltd. (AsiaDB) baru-baru ini, ia akan menjadi platform kepada produk dan perkhidmatan kewangan Islam untuk berkembang. Ia akan menjadi 'game changer' untuk masa depan dalan bidang pendigitalan Kewangan Islam.
Kelebihan kuasai pelbagai bahasa
Ia merupakan satu perjalanan yang tidak boleh saya lupakan mempelajari dan memahami bahasa Cina. Salah satu kebaikannya adalah, ia menutup jurang sikap tidak bertoleransi dan meningkatkan pemahaman budaya yang berbeza di Malaysia.
Nasihat saya kepada rakan-rakan di Malaysia, memandangkan kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, rebutlah peluang mempelajari bahasa lain. Saya ingin berkongsi petikan dari Nelson Mandela "Jika anda bercakap dengan seseorang dalam bahasa yang dia fahami, ianya akan pergi ke fikirannya. Jika anda bercakap dengannya dalam bahasanya sendiri, ia akan pergi ke hatinya".
-- BERNAMA
Nur Ain Ramli罗莱茵 (Loh Lai Ying) merupakan Pengarah Kewangan Islam di Asia Pacific Investment Bank Ltd.
Maklumat APIB
APIB diasaskan oleh Nanjing Zijin Investment Group Co. Ltd. Ia telah ditubuhkan di Labuan pada tahun 2015 dan memiliki kelulusan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan untuk beroperasi sebagai sebuah bank pelaburan luar pesisir pada tahun 2017.Perniagaan utamanya termasuk pengunderaitan bon, pembiayaan perdagangan, pengurusan aset, pengurusan kekayaan, kewangan Islam dan kewangan digital. Pejabat operasi utama APIB adalah berpangkalan di Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjutan, sila layari laman web www.apdib.com atau hubungi kami pada +603-2771 6126 atau emel kepada apibank@apdib.com.