TINTA MINDA

MAMPUKAH KITA MEMASUKI FASA KEDUA PELAN PEMULIHAN NEGARA (PPN)

07/07/2021 08:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Profesor Madya Dr Zailan Siri dan Profesor Madya Dr Rose Irnawaty Ibrahim

Setiap hari rakyat Malaysia semakin bimbang apabila melihat statistik bilangan individu positif COVID-19 yang melebihi angka 5,000 sejak kebelakangan ini. Ini menggambarkan kes positif COVID-19 di Malaysia masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan yang konsisten. Salah satu indikator bagi memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah purata kes positif harian COVID-19 perlulah kurang daripada 4,000 kes selama tujuh hari berturut-turut seperti yang diumum oleh Pendana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Jun 2021. Jika dilihat pada statistik kes harian, secara keseluruhannya Malaysia belum berjaya memasuki fasa kedua PPN disebabkan purata kes positif harian masih melebihi 4,000 kes. Bagaimanapun lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan telah memasuki fasa kedua PPN berkuatkuasa 5 Julai 2021.

Turunkan Risiko Kebolehjangkitan

Risiko kebolehjangkitan atau nilai R-naught bermaksud kebolehjangkitan virus dalam kalangan komuniti apabila terjadinya sesuatu pandemik. Secara mudahnya nilai R-naught digunakan untuk menghitung bilangan individu yang berkemungkinan akan dijangkiti virus dalam sesuatu tempoh. Apabila nilai R-naught semakin tinggi, bilangan individu yang dijangkiti virus semakin bertambah. Selain itu, nilai R-naught juga boleh dijadikan indikator dalam menentukan sejauh manakah pelan tindakan, kawalan atau pencegahan berjaya dilaksanakan dalam menangani penularan pandemik.

Jika dilihat pada data nilai R-naught yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, trend R-naught sepanjang Jun 2021 masih berada antara nilai 1.0 hingga 1.07. Bagi memahami bagaimana meramalkan bilangan individu dijangkiti COVID-19 dalam tempoh kebolehjangkitan adalah dengan berpandukan nilai R-naught. Katalah nilai R-naught ialah 1.5, ini bererti bagi setiap 10 individu positif COVID-19 boleh menjangkiti 15 individu lain dalam tempoh kebolehjangkitan (iaitu 10 x 1.5 = 15). Bagi melandaikan lengkuk jangkitan, nilai R-naught mestilah berada di bawah paras 1.0 iaitu penyusutan kebolehjangkitan virus. Langkah mengurangkan penularan virus kepada individu lain boleh diatasi sekiranya kita semua bersatu menjarakkan diri melebihi satu meter kerana virus tidak akan terus aktif jika tidak menjumpai individu lain untuk dijadikan “rumah” baharu bagi virus itu.

Sebagai simulasi, katalah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 5,000 kes. Sekiranya nilai R-naught 0.9 dapat dikekalkan, diramal bahawa kes positif akan menyusut kepada 4,500 kes pada hari kedua dan ia akan terus menyusut sebanyak 2,657 kes positif pada hari ke-7. Jika dihitung, purata kes tujuh hari berturut-turut adalah sebanyak 3,726 kes iaitu telah mencapai salah satu indikator peralihan ke fasa dua PPN. Simulasi ini menunjukkan kita mampu beralih ke fasa kedua PPN dengan mematuhi Prosedur Opreasi Standard (SOP) yang dikongsikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke semasa. Apabila nilai R-naught terus menyusut di bawah paras 1.0, hasilnya wabak COVID-19 akan dapat dikekang daripada meningkat. Menggunakan simulasi yang sama juga, didapati kes positif akan berada pada angka dua digit pada hari ke-39 manakala satu digit pada hari ke-61. Namun begitu, sekiranya kita alpa, tidak mematuhi dan mengingkari SOP yang dikeluarkan oleh MKN, tidak mustahil nilai R-naught akan melonjak semula di masa hadapan.

Bersatu Putuskan Rantaian

Tidak dinafikan bahawa untuk memutuskan rantaian COVID-19 bukan tugas yang mudah. Semua pihak perlu berganding bahu bagi menjayakan misi ini dan tidak hanya mengharapkan pihak tertentu sahaja.

Majikan perlu adaptasi norma baharu dengan membenarkan pekerja bekerja dari rumah kecuali bidang berkeperluan penting sahaja dibenarkan bekerja di pejabat. Bagi melaksanakan tugasan, pekerja boleh memanfaatkan teklonogi dalam talian yang tersedia semasa bekerja dari rumah tanpa mengganggu kelancaran tugas yang diberikan oleh majikan.

Secara tidak langgung, penggunaan teknologi ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi mentransformasikan Malaysia ke arah negara maju yang berteknologi tinggi. Alasan segelintir pihak yang mengatakan bekerja dari rumah boleh mengganggu kelancaran tugas tidak boleh diterima sama sekali. Bagi mengatasi kelesuan semasa bekerja di rumah, senaman ringkas bolehlah diamalkan selepas melakukan tugasan dua hingga tiga jam. Selain itu, rakyat juga digalakkan melakukan kuarantin kendiri di rumah masing-masing dan hanya keluar apabila perlu sahaja seperti membeli barangan keperluan dan mendapatkan rawatan perubatan.

Di pihak kerajaan pula, proses vaksinasi COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu dipercepatkan. Rakyat pula perlu memberi kerjasama dengan mendaftar dan menghadirkan diri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima suntikan vaksin pada tarikh temujanji yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera dan rakyat dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala. Seterusnya, semua sektor seperti industri, pendidikan, sukan dan sebagainya dapat beroperasi seperti biasa serta ekonomi negara dapat pulih kembali.

Justeru itu, kita perlu bersatu bagi memastikan nilai R-naught semakin menurun dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti. Bukan mengamalkan sikap acuh tak acuh, “ibarat melepaskan batuk di tangga”. Ini bukan hanya tugas petugas barisan hadapan tetapi tugas kita bersama, seperti kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Buat masa ini kita masih belum menang tetapi kita pasti akan menang suatu hari nanti atas kepatuhan dan keakuran mengikuti SOP yang ditetapkan.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Zailan Siri merupakan Pensyarah Institut Sains Matematik Universiti Malaya

Profesor Madya Dr Rose Irnawaty Ibrahim merupakan Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)