TINTA MINDA

SOP COVID-19: JANGAN TAKUT MENEGUR

12/07/2021 08:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr. Nor Nazimi Mohd Mustaffa

Norma baharu merupakan tindakan atau tingkah laku baharu yang tidak seperti kebiasaan dalam kehidupan seharian berpunca daripada perkara seperti pandemik penyakit berjangkit. Perubahan pola hidup yang berlaku di Malaysia kini adalah akibat penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan. Kegusaran masyarakat semakin memuncak apabila berlaku peningkatan kes positif COVID-19 serta pertambahan bilangan kematian setiap hari. Susulan itu, kerajaan telah mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai ketetapan baharu bagi membendung penularan wabak ini.

Penetapan norma baharu menyebabkan masyarakat tidak dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini. Mereka tidak bebas untuk berkumpul bagi melakukan aktiviti sosial. Selain perlu memakai pelitup separuh muka ketika keluar rumah, terdapat pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi. Sekiranya tidak dipatuhi, individu terbabit akan dikenakan kompaun.

Jangan Takut Menegur

Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk menegur individu yang gagal mematuhi SOP ditetapkan sama ada keluarga sendiri, rakan sekerja mahupun orang tidak dikenali. Sikap dan keprihatinan ini merupakan antara usaha bersama dalam membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19, sekali gus memutuskan rantaian wabak ini.

Bagaimanapun, setiap teguran yang dibuat itu perlulah secara beradab agar tidak menimbulkan rasa kurang senang pihak yang melakukan kesilapan. Dalam hal ini, pemilihan perkataan yang sesuai dan cara yang sopan lebih mudah untuk diterima berbanding menengking dan mengherdik.

Malah, Nabi Muhammad SAW melarang sahabat baginda daripada mengherdik seseorang yang telah melakukan kesalahan. Baginda menggunakan pendekatan berlemah lembut ketika menegur.

Justeru itu, setiap individu wajar meneladani sikap lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Dalam situasi sekarang, adalah amat penting untuk bersama-sama menghormati antara satu sama lain kerana masyarakat sedang berhadapan dengan krisis yang menekan perasaan.

Jangan Sombong Bila Ditegur

Pada masa yang sama, setiap individu yang ditegur perlulah bersikap terbuka, tidak sombong dan ego serta beremosi. Ego adalah musuh tersembunyi dalam diri manusia manakala emosi pula memancing kepada akal yang tidak rasional dan mudah terarah kepada kemarahan.

Sekiranya ditegur kerana melanggar atau tidak mematuhi SOP, perkara yang wajar dijauhi oleh seseorang ialah marah. Keadaan ini terjadi kerana mengambil mudah SOP yang ditetapkan sehingga beranggapan ia tidak perlu dipatuhi. Jika masyarakat bersikap sombong, pastinya sukar untuk negara sembuh daripada sakit yang semakin tenat kini.

Setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Kesukaran yang dihadapi kini pasti membawa kemudahan pada masa akan datang. Penetapan norma baharu mungkin menjadikan kehidupan seharian semakin sukar dan mencabar namun, cara inilah yang akan membebaskan negara daripada pandemik COVID-19.

Justeru itu, masyarakat wajar bersikap tenang apabila ditegur supaya tidak hilang pertimbangan kerana terlalu mengikut perasaan sombong dan ego. Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa ‘orang kuat bukanlah mereka yang sering menang dalam pertarungan tetapi orang yang kuat adalah mereka yang dapat menahan marah’.

Oleh yang demikian, masyarakat wajar memupuk semangat ‘kita jaga kita’ untuk menempuh hari-hari baharu dalam kehidupan ketika ini. Norma baharu merupakan perkara yang harus dibudayakan dalam kehidupan seharian. Setiap individu perlu berkorban dan berganding bahu tanpa mengira perbezaan yang wujud. Maka, janganlah takut untuk menegur dan jangan pula sombong apabila ditegur demi kebaikan bersama.

-- BERNAMA

Dr. Nor Nazimi Mohd Mustaffa merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)