PENA WANITA

PENDIDIKAN ADAB, AKHLAK DALAM INSTITUSI KELUARGA

30/07/2021 09:32 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Jennifah Nordin

Dewasa ini, kita banyak disajikan dengan sekian kes yang mengguris hati serta menyentuh isu-isu perkauman, agama, sosial dan sebagainya. Masyarakat hari ini termasuk golongan muda begitu berani mengeluarkan pendapat tanpa berfikir panjang. Hal ini mungkin disebabkan ruang untuk menyuarakan pendapat yang terbuka luas di media sosial dengan hanya perlu menaip apa-apa yang terbuku dalam hati atau merekodkan pendapat mereka tanpa komunikasi dua hala. Maka, situasi ini mendorong perilaku yang berani tanpa perlu bimbang tindak balas langsung daripada penerima maklumat.

Aristotle pernah berkata adab dan sopan lebih penting daripada makan dan minum. Manakala Hamka pernah berkata kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. Malahan rasul Ulul Azmi, Muhammad S.A.W pernah berpesan jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaanmu, kerana engkau dipandang manusia bukan kerana rupa tetapi kerana kesempurnaan budi dan adab. Petikan-petikan di atas jelas menunjukkan adab dan akhlak ialah elemen yang mustahak dalam kehidupan.

Hakikatnya, selain sekolah, masyarakat dan kerajaan, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak. Prinsip dasar keluarga negara yang kedua juga menggariskan institusi keluarga bertanggung-jawab memupuk dan menghayati nilai-nilai murni. Setiap insan yang dilahirkan didunia ini akan bergaul dengan ibu bapanya serta ahli keluarga yang lain sebelum belajar hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, peranan institusi keluarga dalam pembentukan adab dan akhlak insan tidak dapat disangkal. Meskipun dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa harus mengambil masa untuk mendidik adab dan akhlak anak-anak.

Budi bahasa

Perkara yang perlu dititikberatkan ialah pendidikan adab sudut budi bahasa. Institusi keluarga merupakan sekolah pertama anak-anak dalam mempelajari bahasa dan tutur kata yang halus. Sebagai contoh teladan anak-anak, ibu bapa harus bijak dalam memilih perkataan dalam berkomunikasi. Elakkan bahasa kesat, kasar dan maki hamun. Selain pemilihan perkataan, lenggok bahasa juga perlu dititikberatkan kerana lenggok bahasa yang kasar atau bersifat cemuhan, menghina dan memperkecil akan meracuni pemikiran dan mempengaruhi pembentukan adab dan akhlak.

Ucapan “engkau bodoh”, “hodoh” dan perkataan yang sering berbentuk negatif dan menyakitkan hati haruslah dielakkan. Sekiranya anak-anak melakukan kesalahan, mereka haruslah ditegur secara berhemah. Bahasa dan lenggok bahasa yang kita gunakan seharian akan menjadi suri teladan dan budaya yang akhirnya menjadi kebiasaan anak selepas bertahun-tahun menghadapi cara berkomunikasi sedemikian.

Pendidikan adab yang seterusnya ialah sudut “tingkah laku atau akhlak”. Hari ini kita mendengar banyak isu ibu dipukul, ibu atau bapa ditinggalkan dirumah orang tua, guru berasa tersinggung dengan sikap anak didik, majikan kesal dengan sikap pekerja dan orang awam tidak berpuas hati dengan tindakan penjawat awam.

Oleh sebab itu, pembentukan akhlak yang baik seperti hormat menghormati, sentiasa ringan mulut mengucapkan terima kasih, tolong-menolong, jujur, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab haruslah menjadi amalan institusi keluarga. Contohnya sistem keluarga haruslah diperkuat dengan mengajar anak-anak menghormati ibu bapa, menghormati ahli keluarga yang lebih tua seperti datuk, nenek, makcik, pakcik, abang dan kakak. Misalnya dengan mengutamakan orang tua ketika waktu makan atau dalam apa-apa juga acara keluarga.

Sikap tanggungjawab dan disiplin

Sikap tanggungjawab boleh dilatih dengan memberikan tugas kepada setiap ahli keluarga, umpamanya anak sulung akan memainkan peranan yang penting untuk membantu mengurus keluarga dan anak yang bongsu akan memainkan peranan mengikut umur dan kemampuannya seperti menyusun mainan sendiri, mengemas tempat tidur sendiri dan membuang sampah.

Berdisiplin pula boleh diterapkan dengan mempunyai sistem nilai hidup yang betul, seperti bangun awal, mematuhi peraturan dalam institusi keluarga dan sentiasa patuh kepada nasihat dan bimbingan orang tua. Didik anak juga untuk sentiasa menghargai pemberian dan pertolongan ahli keluarga yang lain dan bibir yang tidak pernah lekang daripada ucapan terima kasih.

Faktor persekitaran

Persoalannya sekarang apakah institusi keluarga boleh memainkan peranan dengan baik dalam mencorakkan adab dan akhlak anak? Di samping keupayaan mendidik banyak faktor lain yang akan mempengaruhi proses mendidik seperti persekitaran, latar belakang keluarga, keupayaan ekonomi, keupayaan masa dan ilmu. Oleh sebab itu disyorkan agar lebih banyak kursus keibubapaan dan kursus komunikasi dijalankan untuk membimbing institusi keluarga.

Selain itu anak-anak harus didekatkan dengan masyarakat supaya mereka faham skop adab dan akhlak pelbagai kaum di Malaysia. Ajak anak untuk aktif dengan aktiviti perumahan, aktiviti kampung dan aktiviti keluarga. Melalui pengalaman sedemikian anak-anak akan mempunyai pengalaman untuk berkomunikasi dengan ramai orang. Penumpuan institusi keluarga pada budi bahasa dan akhlak ini akan menjadi asas dan cerminan kepada anak-anak untuk menjadi anak yang baik, kakak yang baik, abang yang baik, pekerja yang baik, rakyat yang baik dan insan yang beradab dan beraklak mulia.

Marilah kita mula didik anak-anak untuk berbahasa dan berakhlak baik dari rumah. Kuatnya dan santunnya sesuatu bangsa dan negara itu akan bermula daripada kukuhnya institusi kekeluargaan. Tangan yang menghayunkan buaian itu boleh menggoncangkan dunia. Maka pendidikan adab dan akhlak yang betul dari institusi keluarga mampu melahirkan pemimpin dan insan yang bakal menggoncangkan dunia kerana menjalankan setiap amanah dengan adab dan akhlak yang tinggi.

Kesimpulannya institusi keluarga merupakan sekolah pertama bagi setiap insan dalam pembentukan adab, budi bahasa dan akhlak insan.

-- BERNAMA

Jennifah Nordin merupakan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)