Oleh : Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim
Tanggal 31 Ogos datang lagi. Tarikh keramat yang sangat bermakna. Tahun ini, Malaysia sekali lagi menyambut kedatangan Bulan Kebangsaan dalam suasana pandemik COVID-19. Namun begitu, usaha menyemarakkan semangat cintakan negara harus diperhebat dalam kalangan masyarakat sekali gus menelusuri erti kemerdekaan.
Ogos juga disebut sebagai Bulan Kebangsaan. Oleh itu, penting untuk mendidik dan memupuk erti kemerdekaan khususnya dalam kalangan pelajar. Pada usia yang muda inilah semangat patriotisme terhadap tanah air tercinta harus disemai sewajarnya.
Memandangkan Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 dalam situasi penularan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan, maka menjadi tanggungjawab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mendidik dan menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajarnya. Sehubungan dengan itu, menerusi Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI telah merancang serta menganjurkan pelbagai aktiviti dalam usahanya mendidik pelajar untuk ‘menelusuri erti kemerdekaan’.
Sambutan secara maya
Pembukaan program sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan secara dalam talian itu telah disempurnakan oleh penulis sendiri selaku dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Program yang diatur itu dibuka kepada semua pelajar bermula 2 Ogos lepas dan akan berakhir pada 31 Ogos ini.
Pengisian sambutan Bulan Kebangsaan ini melibatkan semua pihak termasuk pelajar sekolah, orang awam, pendidik, pensyarah dan ahli akademik. Program itu dimulakan dengan webinar utama yang membawa setiap individu memahami perjalanan serta perjuangan bagi mencapai kemerdekaan dengan kata-kata ‘Menelusuri Erti Kemerdekaan’.
Sementara itu, penglibatan pelajar sekolah dan pra-universiti dalam program webinar ini ia akan dilakukan secara tiga sesi melibatkan sub tema iaitu ‘Menelusuri Erti Kemerdekaan’, ‘Pengisian Kemerdekaan’ dan ‘Memahami Perjuangan Kemerdekaan Serantau’. Ia akan diadakan pada 5, 12 dan 19 Ogos yang membicarakan ‘Erti Kemerdekaan’ di Malaysia.
Selain itu, beberapa pertandingan seperti pertandingan mencipta quote poster kreatif bertemakan ‘Merdeka Dari Wabak COVID-19’, pertandingan video pendek merdeka, pakaian tradisional mengikut kaum di Malaysia dan Kuiz Kemerdekaan. Dalam situasi COVID-19 ini, semua pihak dapat menggunakan peluang ini mengisi masa lapang dalam menelusuri hari-hari menuju sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.
Perkongsian pakar sejarah
Pakar sejarah dari Universiti Malaya, Dato’ Prof. Dr. Abdullah Zakaria mengulas secara terperinci mengenai isu dan cabaran mencapai kemerdekaan dalam siri webinar bertajuk ‘Sejarah Kemerdekaan Malaysia: Gelap, Kabur Dan Persimpangan’. Dalam perkongsiannya, beliau menjelaskan betapa pahit getir cabaran pemimpin negara dalam mengharungi pelbagai usaha bagi mencapai kemerdekaan Malaysia.
Sementara itu, penulis turut menjelaskan terdapat beberapa penceramah akan berkongsi kisah sejarah tempatan dalam usaha mencapai kemerdekaan. Antaranya, sejarah tempatan mengenai Tanjung Malim, iaitu sebuah bandar dalam daerah Muallim, Perak.
Pengkisahannya adalah selari dengan Sambutan 100 Tahun UPSI pada tahun 2022, dan ia akan dibincangkan dalam webinar yang bertajuk ‘Cabaran MPSI Era Merdeka’. Perbincangan itu juga akan melibatkan penduduk tempatan yang telah berperanan dalam proses mencapai kemerdekaan yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran serta rintangan.
(MPSI ialah Maktab Perguruan Sultan Idris, sebelum ditukar kepada UPSI dan diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997).
Beliau menyatakan siri webinar yang membincangkan sejarah tempatan itu bertujuan menanamkan minat dalam kalangan pelajar untuk mendalami erti kemerdekaan menerusi pertandingan dan diskusi.
Tanggungjawab menjiwai kemerdekaan
Selain itu, pakar sejarah Malaysia, Prof. Madya Dr. Khairi Ariffin, dari Fakulti Sains Kemanusian, UPSI, menjelaskan bahawa usaha meningkatkan pemahaman mengenai erti kemerdekaan di sanubari setiap rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan adalah sangat penting. Katanya menjiwai erti kemerdekaan adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan, jasa dan pengorbanan pejuang dan pemimpim negara dalam usaha mencapai kemerdekaan telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang dikenali di Asia Tenggara dan juga di peringkat antarabangsa.
Menyingkap kembali sejarah perjuangan, terbukti bahawa pejuang dan pemimpin negara telah mengembleng tenaga mengharungi duri ranjau dengan keringat demi menjadikan Malaysia bebas merdeka daripada belenggu penjajahan British dan Jepun serta ancaman komunis. Erti perjuangan inilah yang harus difahami oleh generasi muda Malaysia sebagai erti kemerdekaan Malaysia.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim merupakan Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)