TINTA MINDA

MEMPROFESIONALKAN KERJA KEMASYARAKATAN

08/09/2021 08:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Zulkifli Hasan

Oleh: Prof Madya Dr Zulkifli Hasan

Gerakan masyarakat sivil dalam aktiviti kemanusiaan semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Kita dapat menyaksikan begitu banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan begitu juga inisiatif individu menyumbang kepada masyarakat merangkumi aspek bantuan kesihatan, keperluan harian, pendidikan, kewangan dan sebagainya.

Fenomena ini menunjukkan satu perkembangan positif, membuktikan rakyat Malaysia semakin prihatin dan cakna mengenai isu dan permasalahan kemasyarakatan. Bahkan sudah mula wujud kesedaran dan keperluan kepada usaha-usaha yang berterusan dan lestari bukan bersifat ‘one-off’ menerusi organisasi yang berstruktur dan tadbir urus yang berkesan.

Kategori kerja kemasyarakatan

Namun begitu, baru-baru ini timbul beberapa isu berkaitan dengan bantuan kemanusiaan menjadi tumpuan media dan masyarakat seperti isu Gaza yang hangat diperkatakan. Isu ketidaktelusan, penyalahgunaan dana, pengubahan wang haram, tadbir urus, pengurusan organisasi, koordinasi dan kolabarasi, etika termasuk selok belok dan ilmu yang perlu dimiliki semasa di lapangan antara yang diketengahkan.

Selain menyaksikan begitu hebat perbincangan yang berlaku khususnya di media sosial yang diwarnai dengan unsur negatif termasuk fitnah dan adu domba, masyarakat secara umumnya semakin cakna dengan kerja dan organisasi kemanusiaan. Kesannya sedikit sebanyak telah mempengaruhi keseluruhan persepsi masyarakat terhadap NGO dan individu yang terlibat dengan usaha-usaha kemanusiaan.

Bagi memahami isu ini, adalah amat penting untuk melihat kategori dan tahap kerja kemasyarakatan. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu khidmat komuniti (community service), penglibatan komuniti (community engagement) dan transformasi komuniti (community transformation).

Masyarakat selalu melihat bahawa semua NGO atau individu terlibat dalam kerja kemanusiaan ini adalah sama sedangkan sebaliknya. Menurut pemerhatian, terdapat perbezaan yang nyata antara amalan organisasi dan individu tertentu. Ada yang hanya fokus kepada khidmat komuniti yang bersifat ‘one-off’ atau tidak berterusan seperti memberi bantuan makanan dan duit poket kepada individu yang memerlukan dan mereka akan meninggalkan komuniti itu setelah selesai aktiviti tersebut.Ada juga yang bersifat penglibatan komuniti yang melibatkan kerja kemanusiaan untuk tempoh tertentu dan menjalinkan kerjasama yang lebih erat bersama komuniti tetapi komuniti masih bergantung kepada bantuan pihak lain.

Kategori yang paling efektif dan memerlukan lebih masa, kepakaran, perancangan jangka masa panjang merujuk kepada transformasi komuniti. Kategori ini melibatkan usaha-usaha membangunkan komuniti menerusi transformasi yang boleh dilaksanakan agar mereka boleh berdikari tanpa terus bergantung kepada organisasi tertentu.

Kita menyaksikan ada organisasi yang telah berjaya membina sekolah, taman perumahan, kilang, sumber air, tenaga elektrik dan solar malahan membangunkan komuniti secara mampan sehingga mereka berjaya keluar daripada kemiskinan dan kemunduran. Berdasarkan pemahaman ini, masyarakat boleh menghargai, mengenal pasti dan menilai sejauh mana usaha-usaha kemasyarakatan yang dijalankan oleh sesebuah organisasi. Masyarakat juga boleh menentukan organisasi dan projek mana yang paling bersesuaian dan tepat untuk diberikan keutamaan sama ada daripada aspek bantuan dana, sumbangan kepakaran dan sebagainya.

Perubahan

Merujuk kepada perkembangan semasa dunia kerja kemanusiaan di luar negara atau peringkat antarabangsa terutamanya negara maju yang semakin teratur dan profesional. Sudah tiba masanya untuk kita memikirkan perubahan kepada keseluruhan kerangka amalan kerja kemanusiaan di Malaysia merangkumi aspek falsafah, governan dan tadbir urus, ketelusan dan integriti, ruang lingkup etika dan undang-undang, disiplin ilmu dan kepakaran, latihan dan aktiviti termasuk penjenamaan.

Dalam erti kata lain, kerja kemanusiaan dan kemasyarakatan perlu diprofesionalkan dan aktivis yang terlibat dengan usaha-usaha ini juga dianggap sebagai profesional. Dengan anjakan paradigma ini, sektor kerja kemasyarakatan ini akan lebih tersusun, telus, teratur, efisien dan terkawal. Isu akaun yang tidak diaudit, penyalahgunaan dana, pengubahan wang haram, etika, keberkesanan pengurusan dan sebagainya akan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Kerangka kerja kemanusiaan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA) boleh dijadikan rujukan umum dan asas kepada ruang lingkup yang lebih kemas dan bersesuaian dengan keperluan dalam konteks Malaysia.

Selain itu, semangat persaingan dalam membuat kebajikan juga perlu diberikan dimensi baharu. Persaingan membuka ruang amalan tidak sihat dalam kalangan organisasi kerana masing-masing cuba untuk membuktikan kelebihan dan keberkesanan. Persaingan ini perlu digantikan dengan semangat kolaborasi atau kerjasama antara organisasi dan aktivis masyarakat. Sebarang kelebihan akan menjadi kekuatan untuk dikongsikan dan kelemahan yang ada pada organisasi dijadikan teladan malahan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Semangat kolaborasi ini menuntut semua pihak yang terlibat dengan kerja kemasyarakatan untuk berkongsi ilmu, pengalaman, sumber yang ada termasuk jaringan kepintaran dan kepakaran.

Kerja kemasyarakatan adalah usaha yang mulia dan sepatutnya diberikan sokongan oleh semua pihak. Keadaan masyarakat pada waktu ini yang menghadapi ujian dan cabaran kehidupan yang pelbagai memerlukan pembelaan sewajarnya. Masyarakat tidak lagi hanya boleh mengharapkan kerajaan tetapi sektor masyarakat sivil juga perlu memainkan peranan membantu rakyat yang mengalami kesusahan. Malaysia menyaksikan perkembangan positif terhadap gerakan kerja kemasyarakatan melangkaui komuniti tempatan dan antarabangsa.

Pelbagai NGO ditubuhkan termasuk yang bergerak secara individu menjalankan kerja kemasyarakatan di Malaysia mahupun di luar negara seperti di Syria, Palestin, Yaman dan sebagainya. Seiring dengan perkembangan ini, sememangnya sudah sampai waktunya untuk Malaysia merangka ruang lingkup dan membangunkan kerangka yang lebih kemas dan menyeluruh untuk mengawal selia dan menyediakan garis panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja kemanusiaan. Kerangka ini hendaklah fleksibel dan efisien serta mampu memastikan keseluruhan ruang lingkup perlaksanaan dan amalan yang dibangunkan menjadi pemangkin kepada pemerkasaan aktiviti kemasyarakatan yang sejagat dan inklusif.

-- BERNAMA

Zulkifli Hasan merupakan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)