PENA WANITA

AMBIL PEDULI KELESTARIAN HIDUPAN LIAR NEGARA

15/09/2021 10:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Hari Hidupan Liar Sedunia (WWD) 2021 bertemakan 'Forest and Livelihoods: Sustaining People and Planet' disambut pada 3 Mac lepas. Apakah ertinya kita merayakan sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia setiap tahun jika hidupan liar kita masih diancam dan diasak dengan pelbagai permasalahan yang tiada penghujungnya sehingga mengancam ‘kewujudannya’ di planet ini. Tidak dinafikan, Malaysia sangat kaya dengan kepelbagaian spesies haiwan liar. Menurut Laporan Kebangsaan Ke-6 Malaysia kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi 2019, negara dilaporkan memiliki 306 spesies mamalia, 742 spesies burung, 242 spesies amfibia, 567 spesies reptilia, lebih 2,000 spesies ikan dan 150,000 spesies invertebrata. Ini bermakna, hutan dan hidupan liar di negara kita merupakan khazanah penting negara. Namun, kekayaan kepelbagaian ini bukan hanya perlu dibanggakan pada bilangannya, dengan laungan ‘Malaysia negara megabiodiversiti!’ semata-mata jika hidupan liar terus terdedah dengan pelbagai bentuk ancaman.

Persoalannya, bagaimana megadiversiti ini dapat dipertahankan pada masa hadapan! Kematian Iman, badak sumbu Sumatera terakhir adalah antara berita paling mendukacitakan berkaitan kelestarian hidupan liar. Ancaman terhadap hidupan liar berterusan apabila pada tahun 2019, direkodkan berlaku sejumlah 24 kematian gajah Pigmi Borneo. Sejak 2010, sebanyak 145 kes kematian gajah dicatatkan di Sabah. Jumlah dicatat dalam tempoh hampir 10 tahun itu dilihat besar apatah lagi dalam keadaan spesies gajah di Sabah semakin di ambang kepupusan dengan hanya kira-kira 2,000 ekor sahaja yang tinggal. Penyu pula adalah contoh antara spesies hidupan liar di lautan yang sangat terancam. Antaranya disumbangkan oleh tabiat segelintir ahli masyarakat yang suka memakan telur penyu, diburu kerana daging dan cengkerangnya selain kesukaran penyu untuk bertelur akibat kemusnahan kawasan pantai akibat pembangunan seperti aktiviti menambak laut menyumbang terhadap kemerosotan populasi penyu sehingga mencapai tahap kritikal.

Dapat dirumuskan, sikap manusia yang rakus dan tidak bertimbang rasa menjadi antara punca utama berlakunya kepupusan hidupan liar. Ini turut membuktikan peruntukan hukuman mengikut Akta Perlindungan Haiwan Liar 2010 masih belum cukup mantap untuk memelihara hidupan liar daripada terus diancam berterusan.

Keterancaman hidupan liar

Mungkin ramai tidak menyedari bahawa Malaysia kini diancam masalah kepupusan serius pelbagai jenis hidupan liar. Statistik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada tahun 2018 jelas membuktikan kematian hidupan liar dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan iaitu 7,451 pada tahun 2017 berbanding 6,767 pada 2016 dan 6,258 pada 2015 dengan Selangor, Johor dan Perak mencatatkan kematian hidupan liar tertinggi iaitu 1,745, 1,616 dan 792 antara lain akibat kemusnahan habitat, pencemaran alam sekitar, pembangunan fizikal, dan pemburuan haram yang berlaku di negara ini.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah terdapat beberapa spesies haiwan liar yang kini dikatakan sudah pupus dan tidak lagi ditemui di habitat asalnya di hutan simpan kekal mahu pun taman negara di Malaysia termasuk banteng, badak Jawa, burung merak hijau, gajah Pygmy Borneo dan kucing batu. Tiga punca utama masalah kepupusan hidupan liar di Malaysia ialah kegiatan pembukaan tanah secara besar-besaran untuk tujuan pertanian dan pembangunan hartanah, aktiviti pemburuan dan pembalakan haram.Selain itu, haiwan seperti rusa sambar, harimau belang, seladang dan beruang matahari pula lambat membiak dan melahirkan anak antara satu atau dua ekor setahun dan ia memberi kesan kepada kemandiran spesies berkenaan.

Walaupun ekonomi utama negara telah beralih daripada sektor perhutanan kepada sektor industri dan perkhidmatan, ancaman kekurangan bilangan spesies hidupan liar tidak semestinya disebabkan kehilangan habitat semata-mata, sebaliknya ia juga adalah kesan daripada pemecahan hutan akibat pembinaan jalan dan lebuh raya, laluan kereta api dan komuter serta saluran paip yang dilihat sebagai ancaman berpanjangan. Kekurangan sumber makanan dan konflik manusia-haiwan liar tidak kurang hebatnya dalam mempengaruhi kelestarian jangka panjang haiwan liar di negara ini.

Banyak spesies haiwan di Malaysia akan pupus jika tiada langkah drastik diambil untuk menangani isu pembunuhan dan pemburuan haram yang semakin kritikal. Perdagangan hidupan liar berlaku di seluruh dunia dengan negara-negara mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi seperti Malaysia menjadi sumber, kawasan transit dan hab bagi spesies yang diseludup. Laporan Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar pada 2016 mendedahkan Kuala Lumpur tempat paling mudah untuk memindahkan hidupan liar secara haram. Jenayah hidupan liar dikendalikan oleh rangkaian antarabangsa dan beroperasi sama seperti aktiviti pengedaran dadah dan penjualan senjata. Perdagangan haram hidupan liar global bernilai kira-kira USD5bil (RM15.46bil) kepada USD20 (RM61.84bil) setahun, dengan China, Amerika Syarikat dan Eropah sebagai pasaran utama. Permintaan bagi bahagian-bahagian hidupan liar itu semakin meningkat di seluruh dunia, dengan kadar memburu untuk gading gajah dan tanduk badak adalah yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Ironinya, perdagangan dan perburuan hidupan liar bukan sahaja merosakkan ekosistem. Perdagangan hidupan liar adalah ancaman utama kepada haiwan tanpa mengira spesies atau sama ada eksotik atau tidak. Kebanyakan perdagangan ini berlangsung tanpa dikesan dan oleh itu sukar untuk memastikan jumlah hidupan liar haram yang dihantar dan dijual di seluruh dunia. Pemburu haram pula tidak peduli sama sekali, selagi ada permintaan pasaran, mereka akan memburu haiwan berkenaan. Gajah umpamanya diburu kerana gading. Ini menyebabkan penurunan besar jumlah gajah, sekali gus memberikan impak serius terhadap sekitaran kita. Menurut laman web One Green Planet, bilangan gajah dan jumlah pokok sangat berkaitan. Penyelidik mengesan tren menyedihkan, iaitu dalam kawasan gajah pupus, sesetengah spesies pokok turut pupus kerana gajah spesies paling penting dalam membantu penyebaran banyak benih pokok dan tanaman dalam masa singkat. Di hutan Asia, biji benih besar memerlukan haiwan herbivor gergasi seperti gajah untuk menyebarkan benih. Carian di laman sosial mendapati harga gading antara RM4,000 hingga RM9,000 sekilogram untuk diproses bagi pelbagai tujuan, terutama dijadikan barang perhiasan, ubat serta mahar atau mas kahwin menyebabkan spesies ini diburu.

Keadaan pencemaran yang tidak terkawal juga menyebabkan kepupusan kehidupan akuatik seperti penyu semakin pupus disebabkan oleh pencemaran air seperti tumpahan minyak di laut dan kegiatan manusia yang tidak bertanggungjawab mengotorkan air laut dengan membuang sampah sehingga menyebabkan kematian. Setiap hari, berjuta-juta plastik digunakan manusia dibuang ke tapak pelupusan sampah atau hanyut ke laut. Mengikut Program Alam Sekitar PBB, (UNEP), sekurang-kurangnya 13 juta tan plastik akan dibuang ke laut pada setiap tahun! Plastik yang dibuang sering memberikan false signal pada haiwan seperti penyu yang mengganggap plastik adalah makanannya menjadikan faktor utama haiwan ini pupus akibat kematian kerana menghadapi kesulitan proses penghadaman apabila memakan hasil buangan sisa pepejal. Mengikut kajian yang dijalan oleh Universiti Plymouth, pencemaran plastik mengancam sekurang-kurangnya 700 jenis spesis hidupan marin manakala sekurang-kurangnya 100 milion mamalia laut terbunuh setiap tahun akibat pencemaran laut.

Selain itu, kematian hidupan liar akibat kemalangan iaitu dilanggar juga bukanlah perkara yang baharu dan jalan penyelesaiannya dilihat masih samar. Sejak Januari 2017 hingga September 2017, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Hidupan Liar, sekurang-kurangnya 39 kes kemalangan haiwan direkodkan dan ia melibatkan spesies ‘critically endangered’. Dalam tempoh masa yang sama, sebanyak 221 kes direkodkan dan negeri Pahang mencatatkan kes kemalangan haiwan tertinggi iaitu sebanyak 24 kes dan diikuti Terengganu dan Johor.

Pembinaan jalan raya secara langsung memberi ancaman yang besar kepada survival hidupan liar. Secara tidak langsung, pembinaan jalan raya mengubah corak pergerakan mereka di kawasan habitat mereka sendiri. Ini menambahkan lagi kesengsaraan hidupan liar ini untuk mencari makanan di kawasan yang sudah berlaku pemecahan populasi. Keadaan akan bertambah teruk apabila aktiviti pembangunan dan pembalakan dijalankan serentak di kawasan tersebut. Kebanyakan kemalangan hidupan liar yang berlaku adalah kerana kebanyakan jalan raya yang dibina terletak di dalam kawasan hutan dan berhampiran dengan kawasan hutan yang menjadi laluan bagi hidupan liar.

Semua pihak perlu berperanan

Dalam mengejar kemajuan daripada pelbagai aspek, kelestarian hidupan liar tidak boleh dikesampingkan. Hakikatnya, hidupan liar adalah aset yang sangat penting dalam persekitaran dan ekosistem kita serta perlu dikekalkan kewujudannya. Hidupan liar yang semakin pupus akan menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang. Justeru, hidupan liar juga berhak untuk dilindungi serta dipantau secara konsisten agar tidak mengalami kepupusan dan dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.Oleh itu, pemuliharaan hidupan liar adalah sangat penting bagi mengekalkan ekosistem. Kemajuan pembangunan tidak seharusnya menjadi alasan dan kealpaan kita dalam melindungi dan memelihara hidupan liar.

Melindungi hidupan liar dan khazanah alam semula jadi bukan tanggungjawab agensi penguatkuasaan semata-mata sebaliknya ia memerlukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan, badan korporat dan komuniti tempatan. Pihak berkuasa perlu memerangi jenayah ini sehingga ke akar umbi bagi menangani jenayah hidupan liar di rantau ini melalui perkongsian maklumat serta usahasama meliputi agensi kerajaan dan institusi serta agensi lain yang berkaitan. Mengukuhkan lagi penguatkuasaan undang-undang hidupan liar dan memerangi jenayah hidupan liar perlulah diberikan keutamaan di peringkat negara, serantau dan global. Pertubuhan sokongan seperti Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Interpol, Pertubuhan Kastam Sedunia dan CITES amat penting kepada kejayaan terhadap usaha seperti itu.

Kerjasama daripada pihak NGO dalam mendidik masyarakat untuk memelihara hidupan liar juga adalah penting kerana kelihatannya masyarakat seolah-olah masih belum sedar bahawa hidupan liar seharusnya dilindungi bersama.Lantaran, peningkatan kesedaran awam, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan dan kesungguhan politik amat diperlukan untuk menghalang aktiviti yang boleh menjejaskan kemandirian hidupan liar, sekali gus menangani risiko lebih banyak sumber semula jadi dieksploitasi. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan merangka satu pelan perancangan dalam mewujudkan pendidikan mengenai alam sekitar supaya ia dapat diterapkan kepada generasi muda. Di samping itu, pelaksanaan undang-undang pemeliharaan hidupan liar juga sangat penting dikuatkuasa secara tegas supaya tidak ada pihak yang memandang enteng terhadap usaha kerajaan dalam melindungi hidupan liar.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan/ Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)