TINTA MINDA

RAWAT BENJOLAN TIROID MELALUI PROSEDUR ABLASI

17/09/2021 09:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Vincent Tan Eng Soon

Kelenjar tiroid adalah organ penting di leher yang menghasilkan hormon (iaitu sejenis bahan kimia dalam badan) ‘tiroksin’ yang mengawal banyak fungsi tubuh. Ia terletak di bahagian tengah dan depan leher, di bawah peti suara dan berbentuk rama-rama yang mempunyai bahagian (“lobe”) kanan dan kiri. Paras hormon tiroid yang normal diperlukan untuk memastikan perkembangan fizikal dan mental yang normal.

Penyakit tiroid boleh berbentuk gangguan fungsi (ketidakseimbangan hormon tiroid) dan/atau gangguan struktur (penghasilan nodul/benjolan dalam kelenjar).

Kenali gejala hipertiroid

Gejala penyakit hipertiroid termasuk tangan yang terketar-ketar, tidak tahan atau sentiasa merasa kepanasan, senang naik angin, masalah susah tidur, hilang berat badan walaupun selera makan baik, mata bengkak/terbeliak. Secara amnya, pesakit mengalami kadar metabolik yang terlalu tinggi. Gejala penyakit hipotiroid yang disebabkan kadar metabolik yang terlalu rendah pula merangkumi senang keletihan, berat badan yang semakin bertambah dan pemikiran atau percakapan yang lambat/tidak aktif.

Bagaimanapun, kelenjar tiroid kerap mempunyai benjolan di dalamnya yang mungkin akan membesar. Benjolan mungkin padat/keras (“solid”) atau berisi cecair (“cyst”) atau campuran kedua-duanya. Ia biasanya bukan barah tetapi ada juga kemungkinan bertukar menjadi barah dalam kes-kes tertentu.


Imbasan ultrasound untuk membezakan bahagian bercecair (“cystic) dan keras

Masalah dengan nodul

  • Membesar dan mungkin kelihatan jelas pada penampilan, menyebabkan masalah kosmetik.
  • Menekan/menghimpit struktur sekeliling menyebabkan kesukaran bernafas (apabila salur pernafasan terjejas) dan / atau menelan (apabila salur pemakanan terjejas)
  • Menghasilkan hormon berlebihan secara spontan yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon tiroid (biasanya hipertiroidisme, jarang-jarang hipotiroidisme)

Agak biasa untuk seseorang pesakit untuk berasa bimbang dengan kemungkinan kanser apabila timbulnya benjolan yang luar jangkaan di mana-mana bahagian badan. Dalam kes kelenjar tiroid, simptomnya termasuk benjolan yang semakin membesar pada kadar yang cepat, konsistensi benjolan yang semakin mengeras, pembengkakan benjolan kelenjar limfa berdekatan, perubahan suara menjadi garau. Nasib baik, kanser adalah jauh lebih jarang daripada jenis benjolan bukan kanser.

Kanser tiroid yang paling biasa adalah jenis ‘papillary’ atau ‘follicular’. Kedua-duanya merangkumi lebih daripada 90 peratus jumlah kes kanser tiroid, namun jarang menyebabkan maut. Walaupun terdapat kemungkinan sel kanser merebak ke kelenjar limfa leher dan lebih jauh lagi seperti paru-paru, tetapi peluang kanser jenis ini diubati sepenuhnya masih cerah.


Prosedur pemeriksaan

Pemeriksaan wajib dalam penyakit tiroid adalah ujian darah hormon tiroid untuk mengesan ketidakseimbangan hormon dan ujian pengimejan ultrasound untuk perubahan struktur dalaman kelenjar.

Oleh kerana ultrasound tiada kesan radiasi, ia selamat digunakan untuk tujuan imbasan kaum wanita mengandung, janin dan kanak-kanak. Ultrasound bukan sahaja menampakkan bahagian keras (“solid”) dan berair (“cyst”) dengan lebih jelas, ia juga membolehkan pengkajian lebih lanjut sama ada ia mempunyai kecenderungan kanser berdasarkan ciri-ciri tertentu pada ultrasound. Prosedur lanjutan dapat dilakukan adalah seperti pengambilan sampel melalui biopsi, kajian sel sitologi, penyaliran cecair atau skleroterapi (proses mengeraskan bahagian berair). Ultrasound membenarkan penilaian dibuat secara langsung atau ‘live’ dan ujian ini adalah amat penting untuk pengesahan jenis benjolan tiroid.

Ablasi frekuensi radio (RFA) kaedah baharu rawat tiroid

Selepas memperolehi informasi melalui ujian-ujian tersebut, pakar tiroid dapat berbincang dengan pesakit berkenaan jenis-jenis rawatan yang ada. Sebelum ini, antara rawatan tiroid termasuk pemantauan, iodin radioaktif (penggunaan ubatan beradioaktif untuk menghapuskan sel kelenjar tiroid), pembedahan reseksi/pembuangan sebelah atau kedua-dua belah tiroid.

Bagaimanapun, terkini pengunaan Radiofrequency ablation (RFA) telah diluluskan US FDA bagi rawatan tiroid.


Pembedahan ablasi frekuensi radio (RFA) adalah kaedah invasif minimal (melalui laluan hirisan 1mm kulit) menggunakan tenaga suhu rendah yang dihantar melalui “probe” yang diarahkan di bawah panduan ultrasound 'siaran langsung' ke nodul tiroid, menyebabkan kematian sel dan penyusutan benjolan. Nodul mesti disahkan secara pasti melalui FNAC / biopsi berpandukan ultrasound bukan barah (sekurang-kurangnya sekali atau bahkan dua kali dalam beberapa kes yang masih was-was).

Penggunaan utama adalah untuk benjolan tiroid (lebih-lebih lagi jenis yang terjadi di kedua-dua belah kelenjar tiroid) yang kelihatan besar (mungkin atau mungkin tidak menyebabkan gejala mampatan) atau nodul hiperfungsi yang menyebabkan hipertiroidisme. Kaedah RFA paling bermanfaat untuk pesakit yang mempunyai benjolan bersaiz sederhana di kedua-dua belah bahagian tiroid di mana pembedahan pembuangan tiroid (total thyroidectomy) biasanya disyorkan dahulu sebelum teknologi RFA ini ditemui dan dipergunakan.

Kelebihan RFA nodul tiroid:

  • Boleh dilakukan di bawah anestesia setempat (“local anesthesia”), mengurangkan risiko anestesia am (“general anesthesia”) - mungkin pilihan yang lebih selamat terutamanya bagi pesakit dengan pelbagai penyakit perubatan yang terdedah kepada risiko pembedahan seperti diabetes, kegagalan jantung yang teruk
  • Biasanya dilakukan sebagai prosedur jagaan harian (kemasukan wad untuk 6 jam)
  • Kesan sampingan seperti kecederaan saraf pita suara yang jauh lebih rendah, dan tidak ada risiko hipokalsemia berbanding dengan pembedahan penyingkiran keseluruhan benjolan tersebut (“resection”)
  • Boleh diulang beberapa bulan kemudian untuk kesan pengecutan tambahan (hanya jika perlu sahaja).
  • Dapat mengecilkan nodul secara berkesan ke ukuran yang lebih kecil dan kurang jelas
  • Tidak menghalang peluang untuk pembedahan reseksi di masa depan (jika pesakit akhirnya memerlukan / meminta reseksi nodul secara keseluruhan)
  • Perlindungan disediakan untuk pemegang polisi insurans perubatan
  • Mungkin lebih murah daripada pembedahan reseksi
  • Penggunaan dalam barah tiroid atau kes kelenjar limfa leher metastatik (“metastatic lymph node”, iaitu pembesaran kelenjar limfa sebab perebakan sel kanser dari organ lain) tertentu/khusus

-- BERNAMA

Dr Vincent Tan Eng Soon merupakan pakar perunding Telinga,Hidung,Tekak, Kepala dan Leher di Hospital Pakar KPJ Klang.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)