NOTA KAMPUS

BELIA BANTU LAWAN COVID-19

27/09/2021 09:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Khainunneezam Mohd Noor

Peranan belia dalam membantu negara dan masyarakat mendepani pandemik COVID-19 ini tidak boleh disangkal.

Sebenarnya, ribuan belia di seluruh negara telah memberikan sepenuh jiwa dan raga mereka, menolak kata-kata negatif mengenai bahaya terdedah dengan virus COVID-19 apabila turun ke lapangan dan beraksi membantu masyarakat. Penyertaan belia dalam aktiviti kesukarelawanan melalui pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan pihak swasta dalam pelbagai bentuk bantuan bagi memastikan Malaysia berjaya mengharungi segala ranjau dan derita berikutan pandemik COVID-19 ini.

Penulis sendiri berpeluang beberapa kali menjadi sukarelawan pasukan kelolaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Mega USIM. Sepanjang pengalaman penulis bertugas sebagai sukarelawan di PPV tersebut, penulis terpanggil untuk merakamkan rasa bangga dan terharu melihat para belia yang menghulurkan tangan, menyumbang tenaga dan masa mereka untuk memainkan peranan menjadi sukarelawan.

Penyertaan belia

Sebut sahaja apa bentuk inisiatif, maka akan adalah penyertaan aktif para belia kita. Misalnya misi bantuan makanan asas untuk rakyat yang terjejas, bantuan penyebaran maklumat kesedaran mengambil vaksinasi dalam kalangan masyarakat dan penulisan di media sosial dan media cetak sebagai panduan melawan pandemik ini. Belialah yang menjadi antara tunjang penggerak segala inisiatif ini dan mereka harus dipuji.

Kemudian, secara spesifiknya, terdapat satu inisiatif yang dipanggil program “Malaysia Vaccine Support Volunteers” atau MyVAC, iaitu gagasan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat. Menerusi inisiatif MyVac dalam membantu negara menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, penglibatan belia sebagai sukarelawan program ini amat signifikan dalam memastikan Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian penularan wabak ini. Sukarelawan MyVAC yang rata-ratanya dalam kalangan belia telah memainkan peranan besar sebagai ejen penghubung, membantu proses pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memberi tenaga bantuan logistik serta khidmat sokongan psikologi kepada penerima vaksin.

Belia yang mempunyai kemampuan dan kepakaran tertentu boleh tampil ke hadapan dan menyumbang daripada segi idea, pembaharuan dan inovasi yang boleh membantu mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok dan membantu negara mendepani cabaran COVID-19 ini. Mungkin lebih banyak perisian dan aplikasi dalam talian boleh dibangunkan oleh belia berkepakaran bagi memudahkan masyarakat lebih memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kesedaran berkenaan pandemik COVID-19. Begitu juga, belia boleh menjadi agen penghubung komunikasi dan maklumat antara agensi kerajaan yang berkaitan dengan masyarakat setempat, dan sebagainya.

Tidak terkecuali, belia juga harus memainkan peranan untuk menjayakan misi melawan COVID-19 ini dengan menyebarluaskan fakta dan kebenaran dalam pembacaan dan perkongsian mereka di media sosial berkenaan usaha serius kerajaan dan pihak-pihak yang berkaitan. Bukan pula dengan menyebarkan sesuatu yang tidak benar dan sensasi semata-mata yang boleh menimbulkan kegusaran dan percakaran dalam kalangan masyarakat seterusnya merencatkan usaha kita semua demi kemenangan melawan pandemik COVID-19 ini.

Walau apapun, mewakili seluruh rakyat Malaysia, penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua belia yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha kolektif secara serius untuk memenangi ‘peperangan’ berhadapan dengan wabak COVID-19 ini. Andalah bakal pemimpin yang diharap-harapkan oleh rakyat pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Dr Khairunneezam Mohd Noor merupakan Pensyarah Kanan, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)