Pernyataan tegas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPKA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkaitan tindakan tegas terhadap penjawat awam yang didapati terlibat dengan salah laku haruslah diambil serius oleh semua penjawat awam.
Peringatan yang diberikan susulan Laporan Ketua Audit Negara yang melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam agak berlembut serta mengambil tindakan ringan dalam menangani isu tatatertib. Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid mengesyorkan agar ketua jabatan bertindak dengan lebih keras terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan tatatertib.
Kandungan tatacara pengurusan tatatertib selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sangatlah jelas dan terperinci dalam menggariskan peraturan pengendalian kes kesalahan tatatertib dalam kalangan penjawat awam. Oleh itu punca teguran audit ini bukanlah disebabkan kepincangan peraturan tetapi lebih kepada perlaksanaan peraturan.
Kelakuan Penjawat Awam dan Hukuman Tatatertib
Bahagian ke II, Seksyen 4, Peraturan berkenaan menyenaraikan tatacara kelakuan yang sepatutnya dimiliki oleh penjawat awam. Antaranya, seorang penjawat awam haruslah pada setiap masa memberikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan. Seorang penjawat awam juga dilarang membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan persendiriannya, menggunakan kedudukan awamnya demi faedah diri sendiri, berkelakuan sehingga mencemarkan nama perkhidmatan awam, kurang cekap atau kurang berusaha, tidak jujur atau tidak amanah, tidak bertanggung jawab, membawa pengaruh atau tekanan dari luar ke dalam perkhidmatan awam, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas.
Asas tatacara kelakuan tersebut haruslah dihadam oleh penjawat awam. Selain kelakuan salah laku yang lebih serius seperti penglibatan kerja luar, dadah, keterhutangan kewangan yang serius, penglibatan dalam politik, dan ketidakhadiran. Bahagian ke-V peraturan berkenaan pula menggariskan beberapa hukuman yang boleh dikenakan seperti amaran, denda, lucut hak emolumen, penangguhan pergerakan gaji, penurunan gaji dan penurunan pangkat.
Isu-Isu Tatakelakuan Penjawat Awam
Tidak dinafikan ramai penjawat awam kita yang cemerlang dan meraih anugerah kecemerlangan di peringkat jabatan, nasional dan peringkat antarabangsa. Namun, masih ada sebilangan kecil yang gagal menyumbang secara baik. Meski KPKA melaporkan hanya sebahagian kecil, iaitu 0.02 peratus atau 255 daripada jumlah keseluruhan penjawat awam yang terlibat dalam kesalahan tatatertib tetapi KPKA menggesa ketua jabatan mengambil tindakan yang tegas dalam mengendalikan permasalahan ini.
Kita masih mendengar keluhan daripada ketua jabatan terhadap sikap segelintir penjawat awam antaranya sering datang lambat, tidak hadir ke pejabat, hilang tidak tentu masa, keluar awal untuk masa rehat, tidak cekap dalam menjalankan tugas, tidak bertanggung jawab, tidak jujur, ingkar arahan, ,memalsukan tuntutan perjalanan, terlibat dengan perniagaan atas dalam talian semasa waktu pejabat dan banyak lagi.
Kelewatan mengambil tindakan akan menyebabkan peraturan hanya tinggal peraturan di atas kertas dan tidak memberikan dampak positif kepada peningkatan citra perkhidmatan awam. Kesannya, kesalahan tersebut akan dipandang sebagai satu norma yang diterima pakai dalam jabatan.
Contohnya, apabila terdapat penjawat awam yang sering tidak hadir ke pejabat tanpa sebab tetapi tindakan tidak diambil dengan segera dan tegas, ia akan memberikan tanggapan yang songsang dalam kalangan warga jabatan. Mereka akan berandaian kelakuan salah laku berkenaan boleh diterima oleh ketua jabatan, bahagian sumber manusia dan pengurusan, meskipun peraturan tidak membenarkannya.
Akhirnya, peraturan hanya tinggal retorik dan kelakuan tersebut akan menjadi budaya kerja yang akan memberikan kesan negatif kepada citra dan kualiti perkidmatan awam. Tindakan tegas wajar dilakukan agar situasi negatif ini tidak menjadi budaya dalam organisasi sehingga sukar dibendung seperti peribahasa yang berbunyi “Jangan sampai nasi menjadi bubur”. Apabila kelakuan itu sudah menjadi budaya kerja, bukanlah tindakan yang mudah untuk mengubah tabiat yang sudah berakar umbi.
Demi memperkasakan kelakuan perkhidmatan awam melalui warga kerjanya, perkhidmatan awam telah memperkenalkan beberapa nilai-nilai murni seperti integriti, tanggung jawab, jujur, keikhlasan, kecekapan, dan kualiti di dalam sektor awam. Malahan tema Hari Pekerja juga menekankan peri pentingnya kelakuan penjawat awam seperti Pekerja Tunjang Kelestarian Negara (2020), Pekerja Amanah Aspirasi Negara (2019), Pekerja Berkemahiran, Pemangkin Kecemerlangan Negara (2018), Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi (2017). Kesemua tema ini berkaitan dengan tuntutan asas tatacara kelakuan penjawat awam yang dinyatakan dalam perkara II, peraturan berkenaan seperti amanah, kecekapan dan tanggung jawab.
Teladan Bermula Dari Kepimpinan
Tatacara kelakuan yang baik semestinya bermula daripada kepimpinanan jabatan dengan menjadi teladan yang baik. Prinsip kepimpinan melalui teladan haruslah dijiwai dan menjadi teras kelakuan dalam kalangan ketua jabatan. Kepimpinan yang baik ialah ketua yang bukan sahaja memberitahu pekerjanya berkaitan perkara yang patut dibuat tetapi juga menunjukkan bagaimana perkara tersebut harus dibuat. Ketua yang baik bukan sahaja mempunyai kuasa tetapi juga mampu mempengaruhi pekerjanya membudayakan norma kelakuan yang cemerlang. Apabila perkara salah laku bermula daripada pucuk pimpinan, maka orang bawahan tidak segan silu atau rasa bersalah untuk melakukan kelakuan yang sama. Peribahasa yang berbunyi “Bagai ketam mengajar anaknya berjalan” haruslah dielakkan, manakala peribahasa “Bersihkan halaman sendiri dahulu baru bersihkan halaman orang lain”, seharusnya menjadi pegangan pemimpin. Di mana, pemimpin perlu membetulkan diri sendiri sebelum membetulkan orang lain.
Bertindak Pantas Jaminan Keberkesanan Tindakan Tatatertib
Pendekatan “Hot Stove rule” dalam tindakan disiplin, bertunjangkan empat prinsip, iaitu secepat mungkin, amaran, konsisten dan tidak bersifat peribadi. Apabila terjadinya kes salah laku, tindakan perlu diambil secepat mungkin. Amaran sama ada berbentuk lisan atau bertulis haruslah diberikan segera. Konsisten pula bermaksud tindakan dan hukuman yang sama harus diberikan untuk kesalahan yang sama agar dapat mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja. Secara tidak langsung memberikan gambaran kepada penjawat awam kesan akibat terlibat dalam salah laku dan mencerminkan ketegasan jabatan dalam mengambil tindakan tanpa unsur pilih kasih. Hukuman haruslah bukan bersifat peribadi tetapi lebih kepada untuk mengajar dan memperingatkan penjawat awam kepentingan mengubah sikap negatif kepada sikap positif. Keempat-empat elemen ini harus diambil kira dalam memastikan keberkesanan tindakan tatatertib.
Kerjasama Semua Tunjang Tatacara Kelakuan Baik
Peraturan tatatertib yang sedia ada, sangat terperinci dan melibatkan banyak pihak. Sifat kerja sektor awam yang terikat dengan banyak prosedur dan hierarki sebelum keputusan dibuat menuntut kerjasama antara ketua unit, ketua bahagian, ketua jabatan dan ketua bahagian sumber manusia serta lembaga tatatertib. Ini penting untuk memastikan kes salah laku tidak mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Ketua jabatan haruslah diberikan latihan tatacara pengendalian kes salah laku yang berkesan. Manakala bahagian sumber manusia harus memberikan ceramah kepada semua penjawat awam secara berterusan setidak-tidaknya sekali setahun untuk menjelaskan jenis salah laku dan tindakan yang akan dikenakan. Peringatan secara berkala perlu kerana fitrah manusia yang mudah lupa. Mengedarkan peraturan hanya melalui e-mel bukanlah cara yang berkesan untuk memastikan penjawat awam faham kepentingan menjaga kelakuan mereka. Cuba memahami sesuatu peraturan itu hanya dengan membaca tanpa penjelasan dari pakar akan menyebabkan setiap penjawat awam berkemungkinan mempunyai pemahaman yang berbeza terhadap peraturan berkenaan.
Kempen mematuhi peraturan haruslah sentiasa dianjurkan untuk menggalakkan tatacara kelakuan baik dan budaya kerja yang cemerlang.
Jabatan Sumber Manusia juga perlu lebih kreatif dan inovatif untuk memberikan pemahaman secara ringkas tetapi jelas, umpamanya, dengan menggunakan interaktif video yang boleh dimuat naik ke dalam laman web rasmi jabatan.
Isu tatacara kelakuan penjawat awam ini bukanlah hal remeh. Isu ini harus di bincangkan secara serius di dalam sektor awam dan dikendalikan dengan bijak kerana kelakuan penjawat awam ialah citra perkhidmatan awam yang cemerlang dan berwibawa.
-- BERNAMA
Jennifah Nordin merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi,UiTM Kampus Sabah, Kota Kinabalu.