Oleh Dato’ Dr. Qasim Ahmad
Program pendidikan jarak jauh (PJJ) telah dikendalikan sejak sekian lama tetapi kaedah pengajaran dan pembelajarannya mengalami evolusi atau pembaharuan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, University of London menawarkan ijazah pertama menerusi kaedah tersebut sejak 1858. Ia dikenali sebagai ‘correspondence courses” iaitu berdasarkan modnya. Kini, hasil dari perkembangan teknologi, PJJ telah berubah dengan amat ketara. Bentuk pendidikan dan perkhidmatan yang dihidangkan oleh institusi pendidikan juga telah dipelbagaikan.
Satu-satunya institusi PJJ masa kini yang terkenal di dunia ialah Open University United Kingdom di Milton Keynes yang ditubuhkan pada 1969 semasa kepimpinan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Harold Wilson. Kejayaan institusi awam tersebut merupakan suatu yang ‘amat membanggakan’ Wilson.
Di negara kita, Open University Malaysia (OUM) ditubuhkan 21 tahun kemudian, iaitu pada 2000. Ia merupakan sebuah institusi swasta yang dimiliki oleh konsortium universiti awam tempatan. Namun, ia tidak bermakna idea pengajian tinggi mod jarak jauh ini lambat bertapak dan berkembang di Malaysia.
USM pelopor mod PJJ
Pada 1971, Universiti Sains Malaysia (USM) mempelopori kaedah pengajaran dan pembelajaran begini melalui Rancangan Pengajian Luar Kampus (RPLK) di bawah Pusat Pengajian Pendidikan. Ia terus berkembang dan pada 1984, ia dinaik taraf menjadi Pusat Pengajian Luar Kampus (PPLK). Pusat tersebut diterajui oleh seorang Pengarah dan pentadbirannnya mempunyai kuasa sendiri untuk membuat keputusan berkaitan programnya. Pada 1999 ia dinaik taraf kepada Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) yang diketuai seorang Dekan.
Berdasarkan evolusi ini, PJJ di USM boleh dikatakan sebaya dengan Open University UK namun, perkembangannya tidaklah sepantas dan sehebat Open University UK. Bagaimanapun, mengikuti semangat Wilson, kita juga harus menganggap PJJ di USM sebagai suatu yang ‘amat membanggakan’ negara kerana telah melahirkan kira-kira 30,000 alumni. Mereka termasuklah Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, pegawai utama kerajaan, profesor, guru dan lain-lain.
Dalam dekad pertama penubuhannya, program PJJ USM telah berjaya memanfaatkan kerjasama antarabangsa dengan pusat utama PJJ di dunia seperti yang terdapat di Deakin University dan Murdoch University di Australia dan Open Learning Institute di Kanada. Ia membantu penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran bercetak untuk kemudahan pengajar serta manfaat pelajar.
Teknik pengajaran dan pembelajaran ditambah baik
Bahan pengajaran atau buku diterbitkan oleh PPPJJ, USM adalah dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Publications and Distributors dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Penerbitan seakan ‘open university’ ini telah memberi faedah akademik kepada pelajar jarak jauh dan pelajar sepenuh masa.
Selain menggunakan bahan bercetak, kaedah pengajaran dan pembelajaran di PPPJJ USM juga melibatkan penggunaan audio visual, cakera padat, telesidang audio grafik dan telesidang audio. Program itu telah merintis penggunaan sistem sidang sesawang (web conferencing) yang membolehkan pensyarah mengendalikan kuliah secara interaktif dengan pelajar yang berada di 12 pusat pembelajaran di seluruh negara.
Bukan itu sahaja, pengajaran dan pembelajaran PPPJJ USM juga pernah terlibat dalam siaran Pendidikan Radio Malaysia. Sejak 2003, PPPJJ USM telah mempelopori portal e-pembelajaran untuk memperluas penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pada peringkat awal, pelajar PPPJJ USM disyaratkan mengikuti pengajian tahun akhir di kampus induk bersama pelajar sepenuh masa. Kaedah 3+1 yang diamalkan oleh universiti swasta tempatan pada era 1990-an sebenarnya telah dipraktikkan oleh PPPJJ USM, namun versinya sedikit berbeza.
Bagi universiti swasta, pelajar tahun akhir akan menamatkan pengajian di luar negara tetapi bagi pelajar PPPJJ USM, mereka tetap berada di dalam negara. Sebenarnya, pendidikan melalui kaedah campuran (blended learning) telah di pelopori oleh PPPJJ USM sejak dahulu. Selain itu PPPJJ USM merupakan yang terawal memperkenalkan PJJ bidang kejuruteraan sebelum adanya rangkaian Universiti Teknikal di Malaysia.
Penghargaan dan pengiktirafan
PPPJJ USM sering menerima pengiktirafan daripada pihak luar kerana pelbagai pengalaman yang dilaluinya. Antaranya, Profesor Edgar J. Boone dari Amerika Syarikat telah menyatakan kekagumannya terhadap ciri-ciri inovatif PPPJJ USM dan menganggapnya sebagai ‘yang terbaik di Asia Tenggara’. Hal ini turut diakui oleh tokoh akademik lain.
Dalam nada yang sama, terdapat profesor pelawat atau pemeriksa luar sama ada dari dalam dan luar negara yang menyarankan PPPJJ USM dinaik taraf menjadi universiti.
Pengalaman mapan, rencam dan berterusan di PPPJJ USM serta esprit de corp yang terbina dalam kalangan kakitangannya perlulah dipelihara, dimanfaat, dipertingkatkan dan dilestarikan. Setelah beroperasi selama 50 tahun, Pusat tersebut sewajarnya bertekad untuk membuat suatu lonjakan besar ke hadapan --- a big leap forward.
Kini adalah masa yang amat cocok dan ideal untuk melakukannya. Akibat dari penularan pendemik COVID-19, banyak universiti di seantero dunia sedang berusaha untuk mempertingkatkan atau mengimplementasikan PJJ masing-masing, biar apa pun bentuknya.
PPPJJ USM mampu berkembang pesat
Setelah memajukan institusi berkenaan selama setengah abad kenapa ia mahu diundurkan dan tidak diteruskan? Dengan asas dan sistem yang sudah tersedia, PPPJJ USM mampu berkembang pesat. Harapan tersebut bagaimanapun, mestilah disandarkan kepada beberapa syarat seperti kepimpinan yang berdedikasi dan komited, sedikit imaginasi, pelaburan yang berpadanan serta kesediaan menerokai sempadan pendidikan di luar negara, khususnya ASEAN.
Demi mengorak langkah ke arah memperkasakan PPJJJ, ada baiknya sebuah jawatankuasa di peringkat nasional ditubuhkan bagi mengemukakan idea, rancangan serta pelan tindakan yang relevan lagi dinamis. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan PPPJJ sudah boleh dikategorikan sebagai satu aset nasional.
Kedudukan dan sumbangannya adalah unik. Ia tidak terlalu bergantung kepada sumbangan yuran para pelajarnya lantas ia tidak pernah terpanggil untuk terlalu bermurah hati meluluskan para pelajar atau pelanggannya. Pada masa yang sama ia tidaklah seliberal Massive Open Online Courses (MOOCs) dalam dasar pengambilan pelajarnya hingga terpaksa menanggung kadar keciciran pelajar yang amat tinggi.
Rata-rata pelajar PPJJJ USM tidak terbeban dengan jumlah hutang pendidikan yang tinggi atau menghadapi gejala siswazah menganggur. Sebilangan besar pelajarnya terdiri dari warganegara yang sudahpun mempunyai pekerjaan.
Seandainya operasi PPPJJ dilunturkan, maka program seumpama itu di negara ini akan diungguli oleh institusi swasta. Pelunturan ini tidak dapat tidak akan berlaku sekiranya PPPJJ USM dikembalikan ke pangkal jalan, jika ia distruktur semula melalui konsep desentralisasi di bawah Pusat Pengajian tertentu di USM. Hal ini pastinya akan melupuskan autonomi Majlis PPPJJ USM bersabit bidang kuasanya untuk membuat keputusan berkaitan program dan kegiatan akademiknya.
Nasib sebuah aset nasional seperti PPPJJ USM, yang telah begitu banyak menabur bakti, tidak seharusnya ditentukan hanya dengan pelaksanaan suatu dasar dan tindakan pentadbiran yang mudah dan ringkas. Bak pepatah bahasa Inggeris, ‘Surely more is at stake’.
-- BERNAMA
Dato’ Dr. Qasim Ahmad merupakan bekas Pengarah Pusat Pengajian Luar Kampus (1991-1996), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.