Oleh Samirul Ariff Othman
Sekiranya anda salah seorang daripada pendeposit Tabung Haji, bulan Mac adalah bulan yang dinantikan untuk mengetahui kadar dividen yang akan diumumkan TH.
Tahun ini, kadar dividennya ditetapkan pada 3.25%, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, mencatatkan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM2.92 bilion, lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM2.72 bilion.
TH juga melunaskan zakat bagi pihak pendeposit sebanyak RM99.35 juta, yang mana merupakan ciri unik yang membezakannya dengan institusi pelaburan yang lain.
Sejak penubuhannya, TH telah mencatatkan jumlah keseluruhan agihan keuntungan sebanyak RM45.79 bilion yang memanfaatkan lebih 9.5 juta pendeposit.
Namun, apakah kisah sebenar di sebalik pengumuman kadar tersebut? Prestasi kewangan TH menunjukkan peningkatan yang stabil.
Jumlah pendapatan keseluruhan meningkat 6.29% kepada RM4.56 bilion, sementara aset di bawah pengurusan mencapai RM95.06 bilion, peningkatan sebanyak 3.77% berbanding tahun sebelumnya.
Dana pendeposit yang mencecah RM91.75 bilion mencerminkan keyakinan berterusan kepada TH sebagai instrumen simpanan utama buat bakal-bakal haji.
Catatan pulangan pelaburan turut menyampaikan kisah yang menarik di mana 50% pendapatan keseluruhan datang daripada instrumen pendapatan tetap yang menyumbang kepada kestabilan kedudukan kewangannya, manakala 35% di dalam pelaburan ekuiti yang turut menerima manfaat kesan prestasi kukuh Bursa Malaysia.
Jelas dilihat 91.06% daripada pendapatan keseluruhan TH dijana hasil pelaburan domestik dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap ekonomi Malaysia.
Peningkatan Pelaburan
Jadi, bagaimana terjadinya peningkatan dividen ini?
Pertamanya, pulangan pelaburan yang kukuh.
Pasaran saham mencatatkan pertumbuhan positif dan TH yang mempunyai 27% pelaburan ekuiti dalam portfolionya menerima manfaat ini.
Instrumen pendapatan tetap yang menjana separuh pendapatan keseluruhan menghasilkan pulangan yang konsisten.
Alokasi aset strategic memastikan tahap kecairan bersesuaian sementara pengurusan risiko dilaksanakan secara berhemah.
Faktor kedua adalah ekonomi Malaysia berada di kedudukan yang lebih baik.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 5.1% pada tahun 2024, didorong permintaan domestik yang kukuh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan langsung asing.
Perkembangan ekonomi negara turut didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, dengan sokongan dasar-dasar baharu seperti peningkatan gaji minima dan juga semakan gaji bagi penjawat awam.
Faktor ketiga pula adalah TH berjaya mengawal kos operasinya dan ini dapat memastikan pulangan bersih yang lebih tinggi walaupun berdepan cabaran ekonomi.
Manakala, faktor keempat adalah kesan negatif daripada pasaran hartanah di Arab Saudi sebelum tahun 2018 yang semakin pulih walaupun mencatatkan beberapa kemerosotan, namun ianya tidak mempengaruhi kedudukan kewangan TH secara keseluruhan.
Lebih jelas kelihatan jika diselusuri perbandingan dari tahun ke tahun.
Pada tahun 2023, TH mengumumkan dividen 3.10% pada agihan sejumlah RM2.72 bilion dengan pendapatan keseluruhan sebanyak RM4.29 bilion dan aset di bawah pengurusan sebanyak RM91.61 bilion.
Melangkah ke tahun 2024, kesemua catatan angka ini meningkat: dividen 3.25%, agihan keseluruhan berjumlah RM2.92 bilion, pendapatan sebanyak RM4.56 bilion dan aset bawah pengurusan catatan angka ini meningkat: dividen 3.25%, agihan keseluruhan berjumlah RM2.92 bilion, pendapatan sebanyak RM4.56 bilion dan aset bawah pengurusan sebanyak RM95.06 bilion.
Walaupun ia bukanlah satu loncatan yang tinggi, tetapi ia jelas mencerminkan pertumbuhan yang stabil dan mampan.
Apakah maksudnya kepada para pendeposit?
Mungkin kadar 3.25% dilihat tidak begitu tinggi, tetapi ianya adalah kompetitif dibanding deposit tetap perbankan Islam yang kebiasannya menawarkan kadar 2.50% - 3.00%.
Lebih penting lagi adalah pelunasan zakat TH memberikan kelebihan signifikan kepada para pendeposit iaitu simpanan di TH telah dibersihkan, berbeza dengan simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang memerlukan pencarum mengira dan melunaskan zakat masing-masing.
Prestasi cemerlang TH telah berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam sector kewangan Islam Malaysia sebagai tunggak kestabilan.
Walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global, TH telah menunjukkan daya ketahanannya, sekaligus membuktikan institusi berlandaskan prinsip syariah juga mampu mencapai kejayaan baik dari sudut etika dan kewangan.
Kerajaan turut menerima impak dimana peningkatan kadar dividen ini memberikan isyarat terhadap keyakinan ekonomi, mengukuhkan sentiment rakyat dan perbelanjaan domestik.
Tetapi, jangan terlalu selesa. Lanskap ekonomi global akan terus tidak menentu di mana inflasi, peningkatan kadar faedah dan ketegangan geopolitik boleh memberi kesan kepada pulangan pelaburan masa akan datang.
Walaupun pelaburan hartanah legasi TH di Arab Saudi tidak lagi membebankan, namun ia masih memerlukan pemantauan yang rapi.
Persolan yang sering ditanya: Mengapa dividen TH lebih rendah berbanding dengan KWSP dan ASB?
Sering para pendeposit TH bertanyakan soalan yang sama setiap tahun; mengapa dividen TH lebih rendah daripada KWSP dan ASB?
Jawapannya terletak pada tiga perbezaan utama.
Pertama, struktur pelaburan.
KWSP dan ASB mengutamakan pulangan maksimum melalui pelaburan ekuiti, bon, hartanah dan instrument kewangan global.
Manakala, TH kekal tegas dengan pelaburan patuh Shariah dan melabur secara konservatif bagi memastikan tahap kecairan tinggi untuk pengeluaran haji.
Ini bermakna risikonya lebih rendah, tetapi turut menghasilkan pulangan yang rendah.
Faktor kedua, pelunasan zakat.
TH melunaskan zakat sebanyak 2.5775% bagi pihak pendeposit bagi memastikan simpanan mereka adalah bersih dan suci.
Berbeza dengan KWSP dan ASB yang tidak melunaskan zakat secara automatik daripada simpanan pencarum.
Faktor ketiga, keseimbangan di antara pulangan dan tanggungjawab sosial.
TH bukan sekadar mencatatkan keuntungan semata, tetapi keuntungan yang berkat.
Sememangnya benar KWSP dan ASB mampu memberikan pulangan lebih tinggi, tetapi TH menawarkan nilai yang berbeza iaitu kesejahteraan rohani.
Setiap sen yang disimpan di dalam TH dijamin halal dan simpanan pendeposit dimanfaatkan melalui sumbangan agihan zakat bagi membantu golongan yang memerlukan.
Di sini TH meletakkan kedudukannya berbeza berbanding insitusi lain.
Pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta pada tahun ini bukan sekadar angka tetapi ia diterjemah kepada impak yang nyata.
Peruntukan zakat ini dimanfaatkan bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat bagi membantu asnaf, anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan.
TH juga menyumbang dana bagi pendidikan dan sekolah tahfiz, malah turut meluaskan sumbangan kepada komuniti Muslim di luar negara.
Kesimpulan: Kestabilan berbanding spekulasi
Pada akhirnya, kadar dividen TH 3.25% bukan sekadar angka kewangan tetapi ianya adalah refleksi terhadap pelaburan berdisiplin, pengurusan risiko yang bertanggungjawab dan komitmen kepada etika kewangan.
TH terus berkhidmat sebagai institusi simpanan haji yang paling dipercayai di Malaysia dalam mencapai keseimbangan di antara pulangan yang stabil, patuh Shariah dan kemampanan jangka masa panjang.
Tetapi, TH juga perlu seiring dengan perkembangan ekonomi global.
Bagi mengekalkan pertumbuhan, TH perlu mengawal risiko pelaburan, mengoptimakan pulangan dan meneroka peluang baharu dalam ruang lingkup kewangan Islam.
Satu perkara yang pasti, dalam kesibukan semua institusi mengejar keuntungan yang tinggi, TH menawarkan sesuatu yang berbeza iaitu kestabilan berintegriti dan kemakmuran dengan tujuan yang jelas.
-- BERNAMA
Samirul Ariff Othman ialah Pakar Ekonomi dan Pensyarah Universiti Teknologi Petronas