Sejak penularan COVID-19 hampir 20 bulan yang lalu, masyarakat dunia telah mula beradaptasi dengan kehidupan normal baharu. Rakyat Malaysia juga telah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan era pandemik ini. Ini termasuklah pengajaran dan pembelajaran di sekolah melalui konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang telah digunapakai sejak tahun lepas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Keluh kesah guru-guru, ibu bapa dan anak-anak murid pada awal konsep ini diperkenalkan, kini telah bertukar menjadi kebiasaan dan mula diterima sebagai cara terbaik bagi membendung kes penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah. Impak serupa turut dikongsi warga pusat pengajian tinggi susulan pelaksanaan pengajaran dan pengkuliahan secara atas talian yang mula dilaksanakan sejak semester 2020/2021.
Pelajar yang lebih terjejas adalah pelajar pascasiswazah secara penyelidikan. Keluh kesah pelajar-pelajar ini mahupun penyelia pelajar perlu diberi perhatian sewajarnya. Bukan sedikit harga pengorbanan yang perlu dibayar, masa dan tenaga serta sumber kewangan yang telah dibelanjakan demi menggenggam segulung ijazah.
Antara tanggungjawab, COVID-19 dan PKP
Seperti yang kita sedia maklum, penyelidikan yang dijalankan kebiasaannya menerima dana dan sumbangan daripada kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA). Tidak kurang juga dana penyelidikan yang diperolehi daripada pemberi dana industri seperti PETRONAS, Felda Global Ventures (FGV) Sdn Bhd dan Advance Agricultural Research Sdn Bhd (AAR).
Sudah tentunya pemberi dana penyelidikan ini menagih janji penyelidik dalam mencapai objektif penyelidikan seperti yang telah dipersetujui bersama.
Tekanan yang dihadapi oleh penyelidik dan penyelia ini turut dirasai juga oleh pelajar pascasiswazah di bawah tajaan geran penyelidikan tersebut. Lebih mencabar apa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung menularan COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memberi kekangan kepada pelaksanaan penyelidikan yang dijalankan di makmal.
Walaupun sedikit kelonggaran diberikan kepada pelajar pascasiswazah untuk meneruskan kerja-kerja makmal masing-masing, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan universiti dan juga Kementerian Pengajian Tinggi.
Antaranya kebanyakan makmal hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 30 peratus semasa PKP, 50 peratus semasa Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB) dan 70 peratus semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kembali kepada 50 peratus pada ketika Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Pelajar pula hanya dibenarkan berada dalam makmal tidak lebih daripada 8 jam sehari dan tidak dibenarkan sama sekali untuk hadir semasa hujung minggu dan cuti kelepasan am. Ini mengakibatkan kebanyakan kajian yang dirancang tidak dapat dilaksanakan pada semester tersebut dan berlanjutan sehingga masa kini.
Fleksibiliti polisi KPI untuk elak tekanan
Tekanan demi tekanan yang diterima oleh pensyarah, penyelidik dan pelajar akan memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal. Justeru itu adalah penting pelbagai pihak berkepentingan melihat isu ini dengan lebih telus dan realistik. Seruan normal baharu bukan sahaja perlu dipraktikkan kepada pensyarah dan pelajar tetapi juga kepada pemegang taruh. Secara dasarnya polisi penilaian indeks pencapaian utama (KPI) perlu dilihat semula.
Pihak pemberi dana perlu memahami keadaan semasa yang tidak mengizinkan penyelidikan dijalankan secara sepenuh masa atau 100 peratus keberadaan di makmal. Seharusnya penilaian pencapaian hasil penyelidikan tidak terlalu menekan penyelidik dalam era pandemik ini. Fleksibiliti perlu diberikan seperti tambahan masa selama sekurang-kurangnya enam bulan untuk mencapai hasil perbatuan (milestone) yang telah ditetapkan. Perkara ini sebenarnya telah pun dinikmati oleh penerima dana KPT pada tahun lalu iaitu tambahan masa tiga bulan secara automatik.
Adalah diharapkan KPT akan memberi tambahan masa lanjutan secara automatik lagi kepada pemilik geran di bawah seliaan KPT pada tahun ini. Agensi pemberi dana yang lain juga adalah diseru untuk turut mengikut jejak langkah dan inisiatif KPT ini bagi memberi masa tambahan atau masa kecederaan kepada penyelidik untuk menyiapkan hasil kajian.
Universiti juga harus memainkan peranan dalam menjaga kebajikan mental dan fizikal warganya. Tekanan terhadap KPI dalam bentuk penerbitan dan pelajar bergraduat mengikut tempoh (GOT) perlu juga perlu diperhalusi dalam tempoh era pandemik ini. Pensyarah dan penyelidik seharusnya diberikan masa yang lebih fleksibel dalam menghasilkan karya penerbitan bagi menjamin penerbitan yang dihasilkan bermutu tinggi dan tidak hanya “tangkap muat” bagi memenuhi KPI penerbitan tahunan.
Pihak universiti perlu mengambil pendekatan drastik dalam memahami kekangan pensyarah dan penyelidik dalam menghasilkan penerbitan bagi mencapai KPI tahunan. Pencapaian tahunan perlu dinilai semula ketika era pandemik ini. Adalah perlu difahami, bahawa makmal adalah nadi penyelidikan bagi bidang penyelidikan yang memerlukan keberadaan di makmal. Ketidak beradaan pelajar secara total di makmal semestinya akan mengakibatkan penyelidikan terjejas teruk.
Adaptasi strategi norma baharu
Pensyarah sebagai penyelidik juga perlu beradaptasi secara “agile” atau pantas dan tangkas dalam mendepani cabaran ketika ini. Fleksibiliti dalam mencapai objektif penyelidikan perlu dilaksanakan. Pelbagai cara secara kreatif boleh dilaksanakan seperti mengubahsuai objektif penyelidikan yang bersesuaian selagi mana ia masih boleh mencapai matlamat utama kajian.
Sebagai contoh, menjalankan kajian dalam bidang “dry lab” atau makmal kering, seperti contohnya bioinformatik yang tidak memerlukan kehadiran di makmal. Pelajar boleh mempelajari teknik melalui atas talian seperti mengikuti kursus berkaitan atau boleh juga melayari kuliah berkaitan oleh profesor universiti bidang berkaitan di dalam dan luar negara melalui pembelajaran terbuka (open learning) seperti Massive Open Online Courses (MOOC) atau YouTube.
Skil dan bakat dalam bidang teknologi ini akan menjadi nilai tambah kepada pensyarah dan pelajar pasca siswazah tersebut. Pensyarah juga dalam masa bekerja dari rumah (BDR) ini perlulah mengambil kesempatan ini untuk menghasilkan penerbitan dalam artikel sorotan kajian kepustakaan (review paper).
Artikel jenis ini tidak memerlukan kehadiran ke makmal, tetapi lebih kepada pembacaan yang luas dalam bidang kajian bagi menghasilkan “review paper” yang berkualiti tinggi dan dalam masa yang sama masih menjaga nilai-nilai etika kesarjanaan.
Pada ketika ini, pelajar pasca siswazah menerima kesan yang hebat dalam pelaksanaan perintah pergerakan. Ada di antara pelajar yang terkandas di kampung halaman. Walaupun pelajar dibenarkan rentas negeri atau daerah untuk kembali ke kampus tetapi isu keselamatan masih menjadi keutamaan ibu bapa kepada pelajar-pelajar ini. Kita sedar dengan peningkatan kes yang sangat tinggi terutamanya di Selangor menyebabkan ibu bapa kurang yakin membenarkan anak masing-masing untuk kembali berada di kampus universiti.
Justeru itu, adalah menjadi tanggung jawab pelajar untuk merujuk kepada penyelia masing-masing bagi memastikan projek penyelidikan mereka juga tidak terkandas. Pelbagai fleksibiliti wajar diberikan kepada pelajar ini seperti membenarkan penangguhan pendaftaran semester. Pelajar yang masih aktif juga perlu mengambil kesempatan ini untuk menyiapkan hasil penyelidikan dengan menganalisis data, membuat bacaan tambahan bagi menyiapkan bab dalam tesis. Kerja-kerja yang boleh dilakukan di hadapan komputer riba seperti ini boleh disiapkan semasa tempoh ini.
Secara kesimpulannya, dalam isu mendepani cabaran era pandemik ini, semua pihak perlu mengembleng usaha dan tenaga serta mencapai kesepakatan dan fleksibiliti dalam memastikan kebajikan, kesihatan emosi dan fizikal tidak terjejas. Kerajaan telah menumpukan segala usaha dalam memerangi pandemik COVID-19, maka kita seharusnya perlu meringankan beban kerajaan dengan menjaga kesejahteraan dan kesihatan “soul” (jiwa) bersama dalam menghadapi cabaran getir era pandemik ini.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr Syarul Nataqain Baharum merupakan Timbalan Pengarah dan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Siswazah, Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia.