Oleh : Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed dan Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Kes baharu kolera yang dikesan di Selangor pada Oktober yang lalu memerlukan kawalan supaya wabak yang melibatkan jumlah pesakit yang ramai sehingga mengorbankan nyawa tidak berlaku. Kolera adalah salah satu penyakit wabak tertua yang dicatatkan dalam sejarah. Kolera atau taun merupakan penyakit akibat jangkitan kuman yang menyebabkan cirit-birit yang teruk dan akhirnya boleh menyebabkan kematian melalui kehilangan air dalam tubuh bahan yang teruk.
Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Vibrio cholerae yang merebak melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dengan najis atau muntah orang yang dijangkiti. Lebih membimbangkan, penyakit ini mudah merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih, sistem sanitasi yang tidak teratur serta tidak mempunyai kemudahan tandas yang sempurna. Lazimnya, dalam kalangan penempatan yang berkepadatan tinggi, penularan lebih mudah untuk berlaku. Di kawasan bandar pula, kebersihan premis makanan terutamanya yang tidak berlesen serta tidak mempunyai sumber air yang bersih boleh menjadi punca penularan wabak. Amat penting bagi peniaga makanan sentiasa peka tentang kebersihan diri dan makanan yang disediakan.
Tanda, gejala dan komplikasi
Kolera dikategorikan sebagai endemik di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa jumlah kes kolera dari 2006 hingga 2015 ialah sebanyak 244 kes, kebanyakannya dari negeri Sabah. Pada 2020, wabak kolera telah dilaporkan di beberapa tempat di negeri Sabah.
Untuk memahami cara pencegahan dan kawalan penyakit ini, penting untuk kita tahu cara jangkitan, gejala penyakit dan akibat daripada jangkitan yang tidak dirawat sehingga boleh menyebabkan kematian. Selepas seseorang itu terjangkit dengan kolera, tempoh pengeraman Vibrio cholerae dalam badan ialah daripada beberapa jam sehingga lima hari. Bakteria ini menghasilkan toksin dan merangsang penghasilan air yang banyak oleh usus.
Ada individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala. Bagaimanapun, bagi pesakit yang bergejala, mereka akan mengalami cirit birit, sakit perut dan muntah. Najis pesakit adalah sangat berair dan keadaan ini disamakan keadannya dengan air basuhan beras (rice water stool). Bagi sesetengah pesakit, pembuangan air yang sangat banyak semasa cirit birit boleh menyebabkan kekeringan air dalam badan yang serius dan kematian sekiranya tidak dirawat. Dengan rawatan segera, pesakit boleh diselamatkan dengan memberi air yang banyak termasuk rawatan larutan air garam (ORS) bagi menggantikan air serta garam dalam badan. Jangkitan yang teruk pula memerlukan rawatan air melalui salur darah dan antibiotik.
Bakteria Vibrio cholerae boleh ditemui di dalam najis mereka yang dijangkiti termasuk dalam kalangan pesakit yang tidak bergejala sehingga 14 hari selepas jangkitan. Bakteria ini yang terdapat dalam najis berpotensi mencemari makanan dan air serta menyebabkan penyebaran jangkitan. Air yang tercemar adalah sumber utama jangkitan. Hasil laut yang mentah atau makanan tidak dimasak dengan sempurna, buah-buahan dan sayur-sayuran mentah sering dikaitkan dengan jangkitan kolera.
Kebersihan dan keselamatan makanan
Antara siasatan di lapangan yang dilakukan oleh petugas kesihatan ialah menemu bual keluarga pesakit dan kontak rapat serta bertanya secara khusus tentang makanan yang diambil sepanjang lima hari sebelum dia jatuh sakit. Selain itu, sampel air di dalam dan sekitar rumah daripada bekas minuman, paip, longkang, dan tandas turut diambil untuk dihantar ke makmal. Sampel-sampel najis akan diambil dalam kalangan kontak rapat pesakit. Siasatan akan merangkumi tempat-tempat makan dan tempat pesakit membeli keperluan harian untuk mengenal pasti dan mengawal jangkitan dalam komuniti.
Kolera dapat dicegah dengan mengamalkan kebersihan diri dan memastikan pengambilan makanan yang selamat. Kerap mencuci tangan dengan sabun sebelum makan, semasa mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas. Pastikan minum air yang telah dirawat atau dididihkan. Makan buah yang telah dikupas dan dicuci bersih. Sayur-sayuran dan ulam-ulaman juga perlu dicuci bersih sebelum dimakan. Jika makan di luar, elakkan sayur mentah dan buah-buahan tidak boleh dikupas seperti anggur dan strawberi. Pilih buah yang boleh anda kupas sendiri seperti pisang dan limau. Pastikan bahawa makanan laut, ikan dan daging dimasak dengan sempurna pada suhu yang betul dan seboleh-bolehnya makan semasa makanan masih panas.
Sekiranya kita mengunjungi negara-negara atau tempat-tempat yang dilaporkan mempunyai jumlah kes kolera yang tinggi ataupun tempat yang mempunyai sistem sanitasi yang tidak sempurna, elakkan meminum air selain air yang telah dibotolkan. Minuman sejuk yang diletakkan ais juga perlu dielakkan. Ini adalah kerana di sesetengah tempat, ais dibuat menggunakan air yang tidak bersih ataupun tidak dimasak.
Pada masa ini, terdapat beberapa jenis vaksin yang untuk mencegah kolera. Namun vaksin ini biasanya diberikan kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan ke negara-negara luar yang mempunyai kes kolera yang tinggi serta diberikan kepada golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk.
Kesimpulannya, penyakit ini boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan daripada sudut penyediaan makanan serta minuman, amalan mencuci tangan sebelum makan dan sebelum menyediakan makanan. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan hanya makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna serta minum air yang telah dimasak atau dirawat. Sekiranya kakitangan kesihatan ingin melakukan pemeriksaan atau memohon sampel najis anda, berikan kerjasama. Dapatkan rawatan awal kerana rawatan awal boleh mencegah komplikasi yang serius termasuk kematian.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) dan Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.