TINTA MINDA

MEMARTABAT SENI PIDATO DALAM SERUMPUN BANGSA

06/12/2021 12:00 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Arif Hakimi Mat Yusuf

“Leaders aren’t born, they’re created”, ungkapan tuan Vince Lombardi yang biasa didengari masyarakat majmuk di Malaysia, terutamanya di kalangan pelajar sekolah dan pelajar pengajian tinggi. Ungkapan ini boleh disamakan dengan skil dan kemampuan seseorang untuk berpidato, di mana ia merujuk bahawa kemahiran dan kemampuan seseorang untuk berpidato harus diajar dan diasah. Walau bagaimanapun, kemahuan dan kesedaran belia untuk melibatkan diri dalam semangat berpidato harus dipupuk terlebih dahulu.

Sewaktu di bangku sekolah, pidato merupakan suatu perkara yang seram, menakutkan, tidak digemari oleh sahabat-sahabat seperjuangan. Alasan “malas”, “takut”, dan “tidak tahu” sering diungkapkan oleh rakan-rakan sekolah. Tidak dinafikan bahawa berucap di khalayak ramai memerlukan kemahiran dan keyakinan yang tinggi, justeru ia tidak mengejutkan jikalau pidato merupakan sesuatu yang tidak digemari atau jarang dikenali di kalangan belia.

Namun pada hari ini, pidato masih kekal relevan, di mana kita dapat melihat bagaimana pertandingan pidato masih diadakan di seluruh negara. Antaranya, Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan (Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka), Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, dan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021.

Teringat saya sewaktu zaman sekolah dahulu, saya cuba mengerti apakah maksud pidato, bagaimanakah konsep pidato berbeza dengan sinonimnya iaitu syarahan dan ucapan, dan mengapakah pidato merupakan sebuah seni pengucapan? Semua ini terjawab apabila saya terkenang suatu video yang bertajuk “PABM 2011 - Amirrudin Abd. Rahman - Malaysia - Juara Kategori Nusantara”, di mana saya dapat menyaksikan saudara Amirrudin menyampaikan pidato beliau yang bertajuk “Bangsa Berilmu, Bangsa Bertamadun”, sekaligus merangkul anugerah Johan untuk “Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu” (PABM) Kategori Nusantara tahun 2011.

Bertemakan “memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di pentas dunia”, penganjuran PABM merupakan antara usaha untuk memperkukuh dan memperluas penggunaan Bahasa Melayu ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh dunia, disamping memberi kesedaran kepada masyarakat majmuk khususnya kepada para pelajar kepentingan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai alat penyatuan pelbagai kaum dan negara.

Penganjuran PABM Piala Perdana Menteri 2021 edisi yang ke-14 ini melibatkan kerjasama Universiti Awam, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai tuan rumah untuk kali ini. Justeru, Seramai 78 peserta dari IPTA/IPTS seluruh negara telah bertanding mewakili institusi masing-masing bagi merebut tiket final dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021.

PABM 2021 merupakan kesinambungan kepada penganjuran PABM edisi terdahulu dengan matlamat untuk memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di mata dunia. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam PABM iaitu kategori Alam Melayu, kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia dan kategori Antarabangsa.

Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 pada hari Ahad lepas 28 November telah menyaksikan sembilan finalis merentap dengan cukup semangat dan penuh berwibawa. Setiap pemidato telah memberi yang terbaik untuk mendapat gelaran juara dalam kategori masing-masing. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada para pemenang dan syabas kepada para finalis. Teruskan minat dan perjuangan anda dalam seni pidato, serta membuktikan bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dipelajari. Sekali lagi saya mengucapkan segulung tahniah kepada juara Kategori Alam Melayu Siti Nur Shafika mewakili Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), juara Kategori Antarabangsa di Malaysia Aminata Koutour Sano mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan juara Kategori Antarabangsa Nargiza Ortikoya Amirdin Qizi mewakili Uzbek State University of World Languages (USUWL).

Kebolehan berpidato merupakan antara kemahiran yang memberi banyak manfaat. Ini kerana, pidato dapat melatih kita untuk menjana idea yang bernas, justeru membolehkan kita khususnya golongan belia menjadi insan pemikir. Malah, berpidato dapat melatih minda untuk mengenali isu, memproses maklumat, dan mencari jalan penyelesaian dalam tempoh yang begitu singkat. Selain itu, pidato juga melatih keupayaan dan kemampuan kita untuk menggunakan bahasa secara fasih, formal dan lancar. Dengan wujudnya seni pidato, ia akan melahirkan generasi yang berhemah dan petah berucap, sekaligus mempersiapkan golongan belia dengan kemahiran insaniah yang lengkap dan holistik.

Melalui pelaksanaan PABM, ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan belia supaya kita sentiasa berbangga dengan penggunaan bahasa kebangsaan tercinta oleh berbilang kaum dan pelbagai negara di peringkat Antarabangsa. Di samping itu, golongan belia perlu berusaha untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu demi memastikan ia diperluaskan ke seluruh dunia, justeru seiring pengembangannya dengan arus pemodenan Revolusi Industri 4.0. Selain itu, penganjuran program yang berprestij dan promosi yang berkesan pasti dapat membawa mesej yang sebenar kepada masyarakat khususnya kepada golongan belia tentang Pidato dan apakah potensi serta peluang yang ada untuk mereka yang gemar berpidato.

Saya ingin memetik ulasan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, di mana penganjuran PABM merupakan suatu usaha untuk mengembalikan kegemilangan Bahasa Ibunda Tercinta sebagai bahasa lingua franca. Saya masih teringat lagi ketika menyambung pelajaran di Belanda, di mana Bahasa Melayu-Indo dibicarakan, malah ada orang Belanda yang cukup fasih dengan bahasa ini. Saya pada ketika itu merasa sangat bangga dengan Bahasa Melayu, dan cukup bangga menjadi rakyat Malaysia. Malah, sekolah yang saya hadiri juga mengajar subjek Bahasa Melayu, dan pelajar-pelajar tempatan atau antarabangsa diberi peluang untuk mempelajari Bahasa Melayu sebagai subjek teras. Selain itu, kita juga dapat melihat betapa mudahnya pengajaran dan penguasaan Bahasa Melayu oleh beberapa ‘influencer’ di Malaysia seperti Puan Maryam Younarae dan Mat Dan.

Benar kata-kata YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, sesungguhnya pertandingan PABM ini mempunyai keupayaan untuk bukan hanya menjentik hati dan minda khalayak global, malah memberi gambaran yang lebih jelas tentang seni Pidato dan membuktikan keunggulan Bahasa Melayu, terutamanya di golongan belia. Dengan bilangan penutur Bahasa Melayu yang berjumlah sebanyak 300 juta orang secara global, ia tidak mustahil bahawa suatu hari nanti Bahasa Melayu akan menjadi bahasa Dunia, seterusnya menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca di peringkat Antarabangsa. Justeru, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan sejuta penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengadakan pertandingan PABM.

Akhir kata, golongan belia perlu mempunyai kesedaran tentang kelebihan dan peluang yang sedia ada apabila mula melibatkan diri dalam bidang pidato. Ini kerana kemahiran berpidato membolehkan seseorang untuk berfikir secara spontan dan kritikal, serta berucap di hadapan orang ramai dengan penuh yakin. Justeru, ini membuktikan bahawa kemahiran untuk berpidato merupakan “soft-skill” yang perlu dipupuk dan bukan dilahirkan secara semulajadi. Namun demikian, dengan adanya pertandingan seperti PABM 2021, saya percaya ini jelas menunjukkan bagaimana Pidato dan Bahasa Melayu masih kekal sebagai seni, warisan dan sebahagian daripada identiti Malaysia. Saya berharap agar program seperti ini akan terus dilaksanakan bagi memupuk semangat berpidato di kalangan belia, serta mengukuhkan warisan pidato di kalangan masyarakat majmuk Malaysia dan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di mata dunia.

-- BERNAMA

Arif Hakimi Mat Yusuf daripada Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Selangor

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)