Oleh Dr Aizat bin Khairi
Malaysia terus memperkukuhkan kawalan sempadannya dengan penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) iaitu sebuah badan tunggal yang bertanggungjawab ke atas semua pintu masuk negara.
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan sempadan tetapi juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) No. 17 yang menekankan elemen kepentingan kerjasama dalam mencapai pembangunan lestari.
AKPS: Penyelarasan Pengurusan Sempadan
Penubuhan AKPS pada tahun 2024 menandakan satu anjakan besar dalam pengurusan sempadan negara.
Sebelum ini lebih daripada 20 agensi berbeza mengendalikan aspek keselamatan dan kawalan di sempadan Malaysia.
Keadaan ini mewujudkan pertindihan kuasa, kesukaran dalam koordinasi serta ketidakcekapan dalam penguatkuasaan undang-undang.
Kini dengan AKPS sebagai entiti tunggal maka kawalan sempadan menjadi lebih tersusun, mengurangkan birokrasi serta meningkatkan koordinasi antara pelbagai agensi.
Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa AKPS bukan sekadar satu mekanisme keselamatan tetapi juga bertujuan mempermudah perdagangan, memperkukuh daya saing negara serta meningkatkan kelancaran perjalanan di sempadan.
Dengan 22 pusat pemeriksaan di bawah kawalannya ketika ini dan sasaran untuk mengawal kesemua 114 pusat pemeriksaan menjelang 2026 maka AKPS memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan negara terjamin tanpa menjejaskan kelancaran pergerakan individu dan barangan.
Hal ini amat penting bagi Malaysia yang mempunyai hubungan dagangan antarabangsa untuk bergantung khususnya dalam aspek kestabilan dan keselamatan sempadan dalam usaha menarik pelaburan asing.
Kerjasama serantau dan antarabangsa dalam pengurusan sempadan
Dalam dunia global, kawalan sempadan bukan lagi tanggungjawab satu-satu negara sahaja.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 perlu memastikan kawalan sempadan yang efektif bagi memudahkan mobiliti dalam kalangan negara jiran.
Kerjasama serantau dalam menangani isu keselamatan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, ancaman jenayah rentas sempadan dan serangan siber memerlukan pendekatan yang lebih kolektif dan terkoordinasi.
Melalui AKPS Malaysia dapat memperkukuh hubungan dengan negara serantau dalam menangani isu keselamatan dengan lebih sistematik dan strategik.
Kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara jiran dalam memperkukuh sistem pemantauan, pertukaran maklumat risikan serta penyelarasan prosedur imigresen akan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan di rantau ini terjamin.
Selain itu, Malaysia boleh mengambil contoh daripada model pengurusan sempadan yang digunakan oleh negara- negara maju yang telah berjaya mengintegrasikan teknologi dan pendekatan bersepadu dalam kawalan sempadan mereka.
Teknologi sebagai Pemacu Kawalan Sempadan
Pada era digital masa kini, teknologi memainkan peranan utama dalam meningkatkan kecekapan dan keselamatan sempadan.
AKPS berupaya memanfaatkan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data besar (big data), sistem pengecaman wajah dan pemantauan CCTV berkeupayaan tinggi dalam analisis risiko serta pengesanan ancaman.
Penggunaan teknologi ini membolehkan pemantauan yang lebih cekap dan mempercepatkan pemeriksaan di pintu masuk negara sekali gus mengurangkan kesesakan di samping mampu meningkatkan tahap keselamatan.
Penyelarasan dan analisis data daripada kamera litar tertutup serta mesin pengimbas barangan yang dilengkapi teknologi AI dapat mempertingkatkan keupayaan pegawai dalam membangunkan analisis risiko.
Pendekatan ini membolehkan AKPS bertindak secara proaktif dalam mencegah ancaman sebelum ia berlaku.
Selain itu, teknologi seperti blockchain juga boleh diteroka untuk memastikan keselamatan dan ketelusan dalam pemprosesan data serta dokumen perjalanan.
Peranan AKPS dalam Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan
Kawalan sempadan yang berkesan bukan hanya berkaitan dengan keselamatan, tetapi juga memberi impak kepada ekonomi negara.
Bagi memastikan pintu masuk negara berfungsi dengan cekap maka AKPS berperanan mempercepatkan pergerakan barangan dan meningkatkan daya saing sektor perdagangan Malaysia.
Keadaan ini termasuk mempercepatkan pemeriksaan barangan berisiko rendah, mengurangkan kelewatan di pelabuhan dan terminal kargo serta menggalakkan aktiviti perniagaan rentas sempadan yang lebih lancar.
Proses pelepasan barangan yang lebih lancar di pelabuhan dan terminal kargo mampu menarik lebih banyak pelaburan asing.
Selain itu, usaha AKPS dalam mempercepatkan pemeriksaan bagi barangan berisiko rendah juga memberi kelebihan kepada pelabuhan Malaysia dalam menarik lebih banyak kapal kargo antarabangsa.
Melalui sistem yang lebih cekap maka Malaysia dapat mengurangkan kos perdagangan dan meningkatkan daya saing dalam rantau ASEAN.
Langkah ini amat penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila negara dijangka menerima lonjakan jumlah pelancong antarabangsa yang memerlukan sistem kemasukan secara terpadu, cekap dan selamat.
Masa Depan Kawalan Sempadan Malaysia
Berada di era globalisasi dan ancaman keselamatan yang semakin kompleks menyebabkan AKPS menjadi komponen penting dalam strategi keselamatan negara.
Kejayaan AKPS bukan sahaja mencerminkan ketegasan Malaysia dalam menjaga kedaulatan negara tetapi juga memastikan kawalan sempadan yang cekap bagi mendukung matlamat pembangunan mampan.
Malaysia perlu terus menyesuaikan strategi kawalan sempadan dengan perubahan landskap geopolitik, cabaran keselamatan siber dan ancaman hibrid yang semakin berkembang.
Kerajaan juga bersedia untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bagi meneroka penggunaan teknologi termasuklah sistem baharu yang boleh meningkatkan lagi keupayaan pengurusan sempadan negara.
Kerjasama dengan institusi akademik dan sektor swasta dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan sistem pengurusan sempadan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing dalam jangka panjang.
Selain itu, program latihan dan pembangunan sumber manusia dalam AKPS harus diperkukuh bagi memastikan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap kawalan sempadan mempunyai kepakaran dalam menangani ancaman yang lebih canggih.
Melalui strategi yang berkesan dan kerjasama erat antara pelbagai pihak maka Malaysia dilihat berada di landasan yang betul dalam memastikan sempadan negara selamat dan terkawal.
Di samping itu, ia turut melibatkan usaha memperkasakan aktiviti perdagangan dan perjalanan serta menyokong agenda pembangunan mampan global.
Kejayaan AKPS bukan sahaja mencerminkan ketegasan Malaysia dalam menjaga kedaulatan negara tetapi juga komitmen kita terhadap Matlamat Pembangunan Mampan iaitu membina dunia yang lebih selamat, makmur dan progresif.
-- BERNAMA
Dr Aizat bin Khairi ialah Pensyarah Kanan Program Strategi & Hubungan Antarabangsa Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA) Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).