TINTA MINDA

SEMANGAT KELUARGA MALAYSIA PAKSINYA WUJUD DALAM INTEGRASI AQLI DAN NAQLI

10/12/2021 09:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Zizi Azlinda Mohd Yusof

Cetusan idea Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri, Ismail Sabri bin Yaacob dalam satu kata-kata beliau pada 22 Ogos 2021 ini adalah satu gagasan yang sangat tepat untuk diuar-uarkan pada musim pandemik ini, kerana tema itu seolah-olah membentuk sebuah benteng psikologi di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa etnik mahupun agama untuk membanteras wabak COVID-19 yang hadir tanpa diduga ini.

Keluarga Malaysia juga boleh diibaratkan seperti jentera yang terbina atas dasar hubungan perpaduan dan kerjasama yang utuh sesama rakyat Malaysia mengalahkan senjata yang sebelum ini dianggap mampu menundukkan pihak musuh. Falsafah kesatuan tanpa ragu inilah sebenarnya yang dituntut dalam al-Quran dan tujuan di sebalik paradigma dalil aqli.

Berdasarkan ayat Allah dalam Surah Al-Maidah ayat dua menyatakan:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

Ertinya: “Dan bekerjasamalah kamu di atas kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu bekerjasama atas kemaksiatan dan permusuhan”

Ibnu Kathir, seorang daripada ulama pentafsir al-Quran mentafsirkan Allah menyuruh setiap hamba-Nya berganding bahu dan bersatu padu untuk jalan-jalan kebaikan dan seterusnya meninggalkan kemungkaran (takwa). Allah juga melarang mereka daripada terlibat dalam pemusuhan, kebatilan dan saling bantu-membantu menegakkan kemaksiatan dan perkara yang haram.

Perpaduan, kerjasama bantu golongan terkesan akibat COVID-19

Berbicara soal bersatu-padu dalam usaha mencegah merebaknya wabak COVID-19 di negara kita pada masa kini, nilai pelan komunikasi kepada citra Keluarga Malaysia ini sangat dituntut kerana mana mungkin kemenangan bagi serangan wabak ini berjaya digapai dengan permusuhan sesama sendiri dan kerjasama yang rapuh.

Realiti dari segi dalil aqli, hubungan manusiawi sesama kita tanpa mengira warna kulit, fahaman politik mahupun agama sepakat bersolidariti membantu golongan yang tidak mampu dan terputus bekalan sara hidup keluarga terutama golongan B40 dan M40 menerusi tanda pagar #rakyatjagarakyat. Inisiatif menyediakan food bank di sudut-sudut yang mudah diakses dan juga segera menghulurkan bantuan kepada rumah-rumah yang mengangkat bendera putih adalah terjemahan kepada kebaikan hati setiap ahli masyarakat.

Gabungan nilai,ciri Keluarga Malaysia selari tuntutan agama

Gabungan nilai dan ciri Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (common ground) dan kesyukuran (contenment) sebenarnya tampak seiring dengan suruhan Allah Taala agar setiap mukmin itu bekerjasama dan bertoleransi dengan setiap individu agar sama-sama mencari titik persamaan sesama insan, meraikan perbezaan dan memperkasa perpaduan seperti yang terangkum dalam surah Al-Maidah ayat 2.

Di bawah payung Keluarga Malaysia, pelbagai inisiatif dan usaha untuk memulihkan ekonomi dan kesihatan negara difikirkan dan diimplimentasi dari setiap kementerian seperti Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia membuahkan sinar kepada Malaysia yang kita cintai. Inisiatif ini tidak akan menemui cahaya keluar dari kegelapan dengan perpecahan dan perceraian. Keharmonian tidak akan tercapai dan ekonomi negara terus berada di takuk yang lemah.

Berteraskan rukun negara yang pertama iaitu kepatuhan kepada perlembagaan dan kepercayaan kepada Tuhan, setiap rakyat Malaysia mempunyai nilai tambah yang membantu kepada kemenangan kita melawan COVID-19 ini menerusi langkah yang proaktif saling membantu atas dasar kebaikan dan keharmonian dan menutup lubang-lubang yang menyemarakkan wabak yang membelenggu hidup kita pada hari ini.

-- BERNAMA

Dr Zizi Azlinda Mohd Yusof merupakan Pensyarah di Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)