Oleh: Dr Siti Suriani Othman
Konsep 'Keluarga Malaysia' menarik dan memberi harapan besar kepada rakyat, namun ia bukanlah sesuatu yang begitu mudah untuk dicapai malah tidak akan datang bergolek semudah sebutan istilah ‘keluarga’ nan indah.
Ia menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment) serta 20 pengkayaan nilai termasuklah penekanan kepada budaya integriti, amanah dan keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga. Konsep
Keluarga Malaysia wujud kena pada masanya iaitu ketika ramai antara kita diduga dengan kedukaan akibat pandemik, malah ada yang kehilangan keluarga tempat bergantung sekali gus merenggut kebahagiaan yang dikecapi.
Keluarga sebagai elemen penting membangunkan tamadun
Islam sendiri melihat keluarga sebagai elemen terpenting dalam membangunkan sesebuah tamadun. Tanpa keluarga yang sakinah, pastinya komuniti yang lebih besar seperti bangsa dan negara yang baik dan berkat sukar dicapai. Keluargalah pemula segala yang baik, juga pemula yang buruk andai tidak diurus dengan baik.
Namun, konsep Keluarga Malaysia diharapkan tidak dilihat sebagai satu bentuk retorik daripada pihak kerajaan. Ia perlu dijadikan hasrat ikhlas kerajaan dan hasrat yang menjadikan rakyat merasa dibantu dan dihargai, sama perasaannya seperti berada dalam sebuah entiti yang digelar “keluarga”.
Ini berdasarkan hakikat bahawa berkeluarga itu memberikan rasa ‘selamat’ bagi seseorang. Mereka yang berkeluarga selalunya rasa lebih berani dan kuat menghadapi cabaran dalam hidup berbanding mereka yang hidup berseorangan. Inilah rasa berkeluarga yang perlu diwujudkan daripada konsep Keluarga Malaysia, terutamanya untuk menyokong golongan yang terkesan akibat pandemik serta pelbagai cabaran hidup yang mendatang.
Kasih sayang dalam keluarga tanpa syarat
Ada pendapat mengatakan bahawa dalam hidup ini, ia bukan tentang di mana kita tinggal (material, kekayaan) semata-mata, sebaliknya siapakah insan yang berada di sekeliling kita yang membuat kita rasa selesa. Itulah asas konsep berkeluarga dan itulah juga yang menjadikan keluarga satu entiti yang istimewa. Walau siapa pun ahli keluarga kita, ia menjadikan kita selesa dengan mereka. Hakikat ahli keluarga menyayangi ahli lain tanpa syarat juga cukup istimewa. Tidak mungkin ada ikatan seperti ini dalam bentuk yang lain.
Dalam pada itu, apabila berkeluarga, kita pastinya merasakan keperluan untuk memastikan ahli keluarga selesa dan hidup dengan keperluan yang sempurna. Paling tidak, keperluan asas ahli keluarga perlulah sama-sama menjadi keutamaan dan saling melengkapkannya.
Makanan, air bersih dan elektrik haruslah dapat dicapai oleh setiap ahli keluarga. Bantuan-bantuan yang diberikan kepada golongan memerlukan haruslah dipermudahkan prosesnya. Dipendekkan proses yang panjang atau penuh keperluan mengisi borang yang pelbagai. Lihat sahaja mudahnya seorang anak memohon sebarang bantuan kepada ibu bapa dan ahli keluarga.
Maka inilah juga antara perkara yang harus Keluarga Malaysia sasarkan dan sediakan. Eko sistem sebuah keluarga tidak hanya dibibir tetapi menjadi amalan, budaya dan terpancar dalam tindakan.
Manfaatkan kemudahan yang disediakan
Namun, kemudahan yang disediakan dalam sesebuah keluarga perlulah diterima dalam bentuk timbal balik oleh setiap ahli keluarga. Bantuan yang diberikan dapat digunakan dengan sebaiknya. Selain itu, usaha juga dapat diteruskan untuk melestarikan kehidupan agar menjadi lebih baik. Dengan pelbagai bantuan yang diberikan, ahli keluarga pula perlu berdikari, agar dapat memastikan keluarga yang teguh dan lestari baik dari segi akhlak dan ekonomi.
Dalam keluarga sebenar juga berlaku keadaan yang sama. Ibu ayah yang menyokong pendidikan anak-anaknya dengan membayar yuran untuk memasuki sekolah atau Instutusi Pengajian Tinggi yang baik bagi mendapatkan pendidikan yang berkualiti haruslah dibalas dengan segala kebaikan oleh anak-anak. Hanya dengan fungsi timbal balik ini maka akan wujud eko sistem keluarga yang positif, seterusnya mewujudkan ahli keluarga yang berdikari dan berdaya saing tinggi.
Hakikatnya, menumbuhkan rasa satu keluarga bukanlah datang tanpa usaha. Ia memerlukan usaha dan tidak datang bergolek sama sekali. Justeru itu, jika benar kita serius untuk menjadikan Keluarga Malaysia itu satu usaha ikhlas berkeluarga, maka setiap daripada kita harus mengusahakannya. Tidak akan wujud keluarga tanpa usaha, tidak akan wujud kasih sayang ikhlas tanpa rasa dipunya.
-- BERNAMA
Dr Siti Suriani Othman merupakan pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, beliau juga adalah Pengasas dan Presiden USIM Writers’ Pool (UWP)