Oleh : Prof Madya Dr Nadirah Musa dan Prof Dr Najiah Musa
Sektor perikanan tangkapan diketahui membekalkan sumber protein yang murah malah merupakan sumber mata pencarian dan peluang pekerjaan terutamanya kepada komuniti perikanan pesisir pantai. Namun, sejak akhir-akhir ini, eksploitasi berlebihan sumber perikanan tangkapan negara telah menyebabkan sumber perikanan semakin berkurangan. Ketidakcukupan pengeluaran ini juga didorong oleh peningkatan permintaan domestik akibat pertambahan populasi penduduk.
Justeru, perkembangan industri perikanan bukan-tangkapan contohnya seperti akuakultur dijangka berpotensi menyaingi dan mengambilalih kefungsian semasa industri perikanan tangkapan.
Pada masa sekarang, hampir 20,000 pengusaha terlibat dalam sektor ternakan akuakultur di Malaysia. Ternakan akuakultur sama ada akuakultur air tawar dan air payau, pada amnya melibatkan ternakan kolam, sangkar dan tangki, selain bekas lombong, kandang serta estet. Spesies ternakan utama bagi akuakultur air tawar adalah tilapia merah, keli, patin dan tilapia hitam (Foto 1), manakala bagi ternakan air payau atau masin pula adalah rumpai laut, udang marin, ikan marin (Foto 2) selain kerang-kerangan.
Foto 1 : Tilapia hitam
Foto 2 : Ternakan ikan marin iaitu ikan kerapu
Cabaran populasi dan spesies ikan asing
Seperti sektor bekalan makanan yang lain, sektor akuakultur ini juga tidak terkecuali dalam menerima tempias daripada segi isu dan cabaran. Cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pengusaha akuakultur adalah untuk menghasilkan sumber bekalan ikan yang berterusan, sihat dan berkualiti di pasaran. Sesetengah pengusaha akuakultur juga didapati memilih untuk menternak spesies ikan asing (alien fish species) kerana memberi pulangan yang lumayan.
Namun demikian, terdapat sebahagian spesies ikan asing ini yang bersifat invasif. Pada asasnya, spesies asing invasif (invasive alien species, IAS) merupakan istilah yang merujuk kepada spesis haiwan atau tumbuhan yang bukan-tempatan namun telah berhijrah atau diperkenalkan di sekitaran baharu serta berupaya berkembang biak dengan cepat di kawasan tersebut. Ciri phenotypic plasticity yang signifikan pada ikan asing invasif berbanding spesies lain membolehkan ia membiak dan membesar dengan cepat dalam sekitaran baharu, malah berupaya menggunakan sumber makanan yang sedia ada di sekeliling dengan cekap.
Di Malaysia, antara spesies ikan asing invasif yang diperkenalkan untuk ternakan sektor akuakultur dan telah lama berasimilasi dalam sistem perairan tempatan ialah ikan keli Afrika, Clarias gariepinus, dan tilapia hitam (Oreochromis mossambicus dan Oreochromis niloticus). Kedua-dua spesies ikan ini telah tersebar secara meluas di Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak. Manakala kehadiran ikan baung ekor merah, Hemibagrus wyckioides mula mendapat perhatian masyarakat melalui beberapa laporan hasil pancingan di Sungai Perak setelah berlakunya kejadian sangkar ternakan hanyut dan pecah di Teluk Intan yang menyebabkan beribu-ribu ekor ikan pelbagai spesis tempatan dan bukan-tempatan terlepas ke lembangan sungai pada awal tahun yang lalu.
Impak kehadiran spesies ikan asing
Adalah satu hal yang amat malang sekiranya spesies asing invasif terlepas ke sekitaran tempatan, kerana spesies ikan tempatan terpaksa bersaing bagi mendapatkan sumber makanan dan perlindungan. Malah kebanyakan ikan asing invasif ini adalah bersifat pemangsa, dan akan memakan ikan-ikan tempatan lain yang bersaiz lebih kecil, menyebabkan populasi dan bilangan spesies ikan tempatan berkurangan. Maka, komponen rantaian makanan dalam sistem ekologi perairan tempatan yang tersedia ada akan berubah dan akhirnya terjejas.
Kehadiran ikan asing invasif ini juga dikhuatiri membawa bersama penyakit baharu dan berisiko merebak kepada spesies tempatan yang lain. Impak lain ialah hibridisasi iaitu penghasilan spesies baharu akibat percantuman benih spesies asing dengan spesies tempatan. Spesies baharu pula mudah tersebar ke kawasan yang lebih luas kerana dilengkapi dengan ciri adaptasi yang lebih baik. Kemerosotan habitat perairan tempatan akan memberi impak yang berganda kepada aktiviti sosio-ekonomi komuniti yang bergantung hidup kepada sumber akuatik sebagai sumber mata pencarian.
Oleh itu, para pengusaha akuakultur disaran untuk sentiasa peka dengan peraturan-peraturan perikanan yang ditetapkan dan merujuk secara langsung kepada agensi berwajib iaitu Jabatan Perikanan sekiranya wujud sebarang kekeliruan. Tenaga kerja yang terlibat dalam sektor akuakultur juga perlu diberi pemahaman yang mendalam mengenai ternakan spesies ikan asing.
Malah, pemilihan sistem ternakan akuakultur yang bersesuaian boleh membantu mengurangkan impak kepada kepelbagaian fauna sedia ada. Kesedaran yang tinggi mengenai impak kehadiran spesies ikan asing invasif kepada ekologi perairan tempatan perlu didedahkan kepada bakal pengusaha serta pengusaha akuakultur sedia ada melalui sesi ceramah yang berterusan.
Penyelidikan dan pemantauan
Pemantauan secara berkala oleh pihak Jabatan Perikanan merupakan satu inisiatif tepat dalam menangani isu kehadiran spesies ikan asing invasif dalam sektor akuakultur di negara kita. Penyelidikan berterusan yang memfokuskan sumber spesies baharu ikan tempatan bernilai tinggi dan dalam masa yang sama memberikan nilai tambah kepada spesies ikan ternakan tempatan sedia ada juga perlu dipergiatkan.
Masih banyak ruang dan peluang yang boleh diterokai oleh penyelidik bagi menjalankan kajian saintifik ke atas impak spesies ikan asing invasif ke atas ekologi perairan tempatan. Maklumat sebegini akan dapat membantu kita memahami secara saintifik dan jelas bagaimana spesies ikan asing invasif boleh beradaptasi serta berinteraksi dengan spesies tempatan dan sekitaran, selain boleh membantu dalam membangunkan dan menambah baik polisi dan peraturan sedia ada. Tindakan secara kolektif melalui kerjasama dan persefahaman semua pihak dan pemegang taruh dalam sektor akuakultur akan memastikan kelestarian ekologi sistem perairan negara terus terpelihara dan dalam masa yang sama membantu meningkatkan jumlah pengeluaran sektor akuakultur negara serta menjamin sumber bekalan protein yang murah dan berterusan.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Nadirah Musa merupakan pensyarah dalam bidang Ekofisiologi Akuatik di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Profesor Dr. Najiah Musa merupakan pensyarah dalam bidang Kesihatan Haiwan Akuatik di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM),Universiti Malaysia Terengganu (UMT).