TINTA MINDA

BANJIR DAN PEMBANGUNAN MESRA ALAM : BERANIKAH KITA UNTUK BERUBAH?

29/12/2021 09:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr Zulkarnain Hassan

Banjir besar pada penghujung 2021 yang berlaku di lapan negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pahang,Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Perak dan Terengganu amat luar biasa dan membimbangkan. Ribuan orang awam dipindahkan dan setakat 26 Disember lepas, 47 orang awam terkorban dan beberapa lagi masih hilang.

Media menyifatkan banjir kali ini antara banjir terburuk dalam sejarah Malaysia selain bah besar pada 2014. Kejadian banjir ini juga tidak diduga berlaku di kawasan Lembah Klang dan Shah Alam, di mana kedua-dua kawasan tersebut jarang mengalami masalah banjir besar sehingga paras air naik sehingga ke paras bumbung rumah. Musibah banjir kali ini juga menyebabkan masyarakat terutama penduduk di kawasan yang tidak pernah mengalami banjir berasa panik akibat kelewatan pihak penyelamat dalam menghulurkan bantuan.

Faktor-faktor kepada kejadian banjir

Banjir besar ini terjadi berikutan taburan hujan dengan keamatan yang tinggi dan berterusan berlaku di kebanyakkan kawasan Semenanjung Malaysia. Menurut Ketua Setiausaha Kementererian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, taburan hujan ketika berlakunya banjir ini dengan amat luar biasa dengan Kala Kembali Purata (KKP) melebihi 100 tahun dan hujan yang turun melebihi taburan hujan untuk sebulan, iaitu melebihi 247 mm di sekitar Lembah Klang.

Kebiasaanya, taburan hujan tinggi hanya berlaku di kawasan Timur Semenanjung Malaysia sahaja sepanjang fasa peralihan Monsun Timur Laut ini. Namun, satu fenomena lekukan tropika terbentuk dan melalui bahagian tengah Semenanjung seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang dari Laut China Selatan ke Selat Melaka. Lekukan ini terbentuk akibat tekanan udara atmosfera yang rendah di Selat Melaka yang menyebabkan angin monsun yang membawa hujan lebat bergerak melintasi Banjaran Titiwangsa ke kawasan barat Semenanjung. Lazimnya, angin monsun tersebut dihalang atau beransur menghilang apabila melalui Banjaran Titiwangsa.

Situasi banjir ini turut diburukkan dengan fenomena air pasang di sekitar persisiran pantai Selangor. Air yang mengalir tidak dapat ke laut dan tertahan di muara sungai akibat air pasang. Perkara ini menyebakan air melimpah ke kawasan rendah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan, sebanyak 134 pintu air di muara sungai terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang, bagi mengelakkan kejadian banjir ini menjadi lebih buruk. Faktor ini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kejadian banjir besar yang berlaku sebelum ini selain taburan hujan yang tinggi, sepertimana banjir besar yang berlaku pada tahun 2014 di sekitar persisiran pantai timur Semenanjung Malaysia.

Ramai tidak sedar, peningkatan banjir yang berlaku di Malaysia mungkin disebabkan kesan perubahan iklim akibat pemanasan global. Pencairan air di Kutub Utara dan Kutub Selatan amat membimbangkan akibat pemanasan global dan seterusnya menyebabkan ketidakstabilan pada iklim global dan peningkatan air laut global. Di negara kita, peningkatan luar biasa taburan dan keamatan bagi hujan, banjir, serta kemarau merupakan kesan secara langsung akibat perubahan iklim global ini. Semasa banjir yang berlaku, terdapat satu taufan yang melandai Filipina dan Vietnam, iaitu Taufan Rai yang membawa angin dan taburan hujan yang tinggi di negara-negara tersebut. Walaupun Jabatan Meterologi Malaysia menyangkal hubungan kait antara banjir buruk yang berlaku di Malaysia dan Taufan Rai, ianya perlu dikaji sebaiknya bagi memastikan negara kita bersedia jika menerima impak daripada taufan tersebut dimasa hadapan.

Mengatasi dan Mitigasi Masalah Banjir

Semua masyarat di Malaysia bersimpati dengan mangsa kejadian banjir ini yang menghadapi pelbagai kesukaran dan kerugian. Oleh itu, tindakkan dan langkah yang sesuai perlu diambil bagi mengatasi dan mitigasi masalah ini daripada berlaku. Masyarakat awam, kerajaan, institusi awam dan penyelidikan, serta swasta boleh berganding bahu bagi menjayakan langkah bagi mengatasi kejadian banjir. Diketahui, masalah banjir ini tidak boleh dielak, namun jika langkah yang sewajarnya diambil, ianya dapat mengurangkan kesan banjir jika berlaku.

Langkah terbaik untuk mengatasi isu banjir ialah perancangan pembangunan yang mesra alam dan mengambil kira faktor banjir serta perubahan iklim. Kita dapat lihat, pembangunan pesat berlaku di sekitar Lembah Klang tanpa mengambil kira pembangunan lestari serta pemeliharaan alam sekitar. Kawasan tadahan air semula jadi daripada hutan makin mengecil akibat pembangunan yang tidak terkawal menyebabkan tragedi banjir berlaku setiap kali musim hujan dikawasan bandar dan muara sungai.

Dalam al- Quran, Allah SWT jelas menyatakan bahawa manusia tidak dilarang, bahkan dipermudahkan dan digalakkan untuk memanfaatkan hasil bumi.

Oleh itu, pembangunan masa hadapan perlu mengambil kira segala faktor banjir. Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang diterbitkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) perlu diwajibkan kepada semua pembangunan baru tidak mengira projek kerajaan ataupun swasta.

Rekabentuk pemparitan dan kolam tadahan, serta pembangunan lestari seperti dicadangkan dalam MSMA amat berguna bagi mengatasi atau mitigasi masalah banjir ini. Sistem tadahan air yang sedia ada di kawasan pembangunan dapat diubahsuai dengan konsep saliran mesra alam. Seterusnya, pembangunan lestari seperti ini dapat mengurangkan kos yang berbilion ringgit yang ditanggung oleh pihak berwajib bagi menjayakan projek-projek rancangan tebatan banjir yang berskala besar.

Di samping itu, rekabentuk bangunan dan penempatan perlu mengambil kira faktor paras banjir termasuk paras akibat perubahan iklim dalam pembangunan masa hadapan. Menurut Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, kebanyakkan kawasan perumahan dan perindustrian di Lembah Klang dibina di kawasan ‘dataran banjir’.

Kawasan dataran ini sepanjang pesisir Sungai Klang dan Sungai Langat amat berharga dan stategik bagi pembangunan. Malah, ada kawasan pembangunan tiada rizab sungai. Dataran banjir dan rizab sungai ini merupakan kawasan sepatutnya kawasan semula jadi yang dilimpahi dengan air apabila sungai tidak dapat menampung air yang banyak.

Bayangkan, jika pembangunan dibuat pada kawasan tersebut? Kawasan tersebut berpontensi dan berisiko tinggi untuk berlakunya banjir. Tambahan, jika ada projek tambatan, ianya menyukarkan pihak berwajib untuk membuat penambahbaikan di sepanjang sungai tersebut. Oleh itu, sebarang pembangunan dan penempatan baru perlu mengambil faktor ini bagi mengelakkan orang awam memiliki aset dan kediaman yang berisiko tinggi untuk banjir.

Bagi pembangunan sedia ada, kawasan berisiko untuk banjir perlu dianalisa dan dipetakan. Sistem saliran sedia ada perlu diselenggara dan dibaiki. Banyak banjir kilat berlaku disebabkan sistem saliran sedia ada tidak diselenggara dengan baik serta saliran tersumbat dengan sampah-sarap. Pembinaan kolam tadahan boleh juga dicadangkan bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Namun, jika banjir besar seperti ini terjadi, projek tambatan banjir secara holistik dan menyeluruh perlu diambil oleh pihak berwajib, kerana banjir besar bersifat lebih meluas dan pelbagai faktor perlu diambil kira. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi pandangan penulis, amat pakar dalam bidang teknikal ini.

Kesimpulan

Kita banyak boleh belajar daripada kejadian banjir besar ini yang berlaku di negara kita, sehingga menggelamkan banyak kawasan perumahan dan komersial di Lembah Klang. Cuaca yang tidak menentu seperti taburan hujan yang tinggi, faktor perubahan iklim akibat pemanasan global, serta perubahan ‘guna tanah’ bagi tujuan pembangunan menyebabkan antara faktor-faktor utama kepada kejadian banjir yang berlaku. Semua pihak perlu berani berubah ke arah masa hadapan yang sejahtera dan mengambil langkah yang produktif bagi mencapai bebas banjir. Namun, adakah kita berani berubah?

-- BERNAMA

Dr Zulkarnain Hassan merupakan pensyarah kanan dan ahli hidrologi daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Perlis. Beliau juga seorang felo di Pusat Kecemerlangan Kajian Air dan Perkembangan Persekitaran Lestari.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)