Usah menyalahkan alam hanya kerana sikap tamak diri sendiri. Hari demi hari kita dikejutkan dengan pelbagai jenis ancaman alam termasuk cuaca panas yang melampau pada awal tahun lepas sehingga sekitar September kerana fenomena gelombang haba yang luar biasa. Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (National Oceanic and Atmospheric Administration) (NOAA) turut merekodkan suhu permukaan laut tertinggi pada Julai dalam tempoh 142 tahun.
Ibarat kata pepatah ‘hinggap bak langau, titik bak hujan’, Malaysia dilanda bah yang menenggelamkan sebahagian besar daripada negara ini sejak dua minggu yang lepas. Kejadian banjir yang melanda kali ini dilaporkan antara yang terburuk dalam sejarah bencana di Malaysia sejak 1971. Sehingga 4 Januari 2022, hampir 50 orang maut dan lebih 200,000 mangsa banjir di seluruh negara dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Luluh hati melihat keadaan mangsa dan mendengar luahan hati mereka yang terjejas apabila berkesempatan menjadi sukarelawan membantu mengagihkan barangan keperluan dan aktiviti pembersihan selama dua minggu. Rumah dipenuhi selut dan lumpur yang tebal, peralatan dan perabot rosak teruk, manakala jumlah mangsa yang terjejas juga meningkat hari demi hari.
Belum hilang rasa penat melakukan kerja-kerja pasca banjir, dikhabarkan pula mengenai gelombang kedua di beberapa tempat akibat kenaikan air susulan hujan lebat yang berterusan. Apakah kesudahan kepada episod bencana kali ini, di manakah salah kita sebenarnya. Adakah kita akan terus berada dalam keadaan seperti ‘telur di hujung tanduk’ berdepan dengan peristiwa yang sama setiap tahun? Ini antara persoalan yang hebat dipersoalkan rakyat Malaysia ketika ini.
Sebenarnya, kejadian banjir di negara kita bukanlah perkara baharu dan tidak menghairankan, ia sudah menjadi kebiasaan terutama di sebelah Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, manakala kejadian banjir kilat di sebelah Pantai Barat. Kebanyakkan daripada komuniti pesisir pantai juga memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot atau sampan. Setiap keluarga juga bersedia menanti musim luruan monson yang menyebabkan taburan hujan yang lebih tinggi dari biasa. Namun, adakah keadaan ini akan berterusan, dibiarkan melarat dan ditunggu sehingga musibah yang lebih teruk menimpa?
Kerakusan manusia sebabkan kemusnahan alam semulajadi
Kekerapan berlakunya bencana alam sejak kebelakangan ini bukanlah kerana faktor semulajadi tetapi berpunca daripada kerakusan manusia yang mengejar kekayaan hingga sanggup mengeksploitasi alam sekitar dengan aktiviti yang hanya menguntungkan untuk jangka masa pendek. Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian dari segi kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda malah kemusnahan alam yang kekal selamanya.
Antara kemusnahan yang dilakukan adalah penggondolan kawasan tadahan hujan, kepincangan perancangan guna tanah dan pencemaran tidak terkawal. Aktiviti pembalakan yang semakin membimbangkan setiap tahun mengakibatkan litupan hutan kian menyusut khususnya di kawasan tadahan hujan. Selain itu, kesan pembangunan yang tidak lestari juga boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai bencana alam khususnya di kawasan tanah lembap seperti tanah bencah, paya dan tasik.
Aktiviti pembangunan bandar yang tidak terancang juga adalah antara faktor utama berlakunya banjir dan sering dikaitkan dengan kemusnahan kawasan tadahan air. Hutan mempunyai fungsi yang sangat penting untuk menghalang daripada berlakunya bencana banjir. Struktur fizikal pokok termasuk batang dan akar mampu bertindak sebagai penghalang semula jadi bagi menghalang air hujan menimpa terus ke tanah, menyebabkan pengurangan yang signifikan terhadap kelajuan aliran air hujan yang mengalir ke sungai seterusnya mengurangkan risiko limpahan sungai ketika hujan lebat.
Pada masa yang sama, susur akar juga mampu meningkatkan cengkaman tanah yang boleh menyebabkan pergerakan tanah ke dalam sungai diperlahankan, ia boleh mengurangkan risiko hakisan sungai dan tanah runtuh sekaligus mengurangkan kandungan air dalam tanah dengan peningkatan kadar penyerapan air hujan ke dalam akar pokok.
Longgokan sampah, kayu dan batu di dalam sistem saliran boleh mengganggu dan memperlahankan aliran air serta tidak mampu mengalirkan air hujan keluar dengan cepat sekiranya berlaku hujan lebat secara tiba-tiba. Ketidakupayaan sistem perparitan untuk menampung air yang banyak dan arus deras juga boleh menyebabkan risiko air melimpah keluar ketika hujan. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh mendapan tanah akibat daripada hakisan dan pengumpulan sampah atau saiz parit yang kecil.
Di samping itu, aktiviti manusia yang semakin rancak terutama di kawasan-kawasan bandar turut mempengaruhi sistem iklim semulajadi dan menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa perubahan iklim dan pemanasan global adalah antara penyumbang utama kepada kejadian bencana khususnya banjir yang semakin kerap berlaku.
Kajian semula pengurusan risiko
Secara keseluruhannya, sistem pengurusan risiko mesti dikaji semula bagi memastikan kejadian banjir seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang. Pihak kerajaan juga perlu akur bahawa kekerapan kejadian bencana alam ini adalah akibat daripada aktiviti manusia yang tidak terkawal. Hal ini memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengenalpasti punca berlakunya bencana dan meneliti langkah pencegahan yang lebih strategik dan berstruktur.
Selain itu, perbanyakan program dan kempen untuk meningkatkan kesedaran awam untuk menghadapi bencana. Perlu bersedia dan peka dengan isu-isu semasa serta amaran yang dikeluarkan kerajaan. Setiap individu juga perlu mempunyai kesedaran untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Mempunyai kesedaran bahawa setiap tindakan boleh menjejaskan kualiti alam sekitar sekaligus menyebabkan peningkatan frekuensi berlakunya bencana alam seperti banjir.
Sifat mementingkan diri dan tamak akan kekayaan material tanpa memikirkan keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam jelas merugikan dan mewujudkan bencana yang memberi pelbagai kesan buruk kepada manusia dan hidupan lain termasuk flora dan fauna.
Saya berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu membiarkan sesuatu perkara yang boleh membahayakan diri dan orang lain tanpa melakukan apa-apa walau jelas mengetahui puncanya adalah umpama merancang untuk membunuh diri dan keluarganya sendiri.
Di kesempatan ini juga saya ingin memanjangkan rasa simpati kepada semua mangsa banjir dan semoga terus cekal menghadapi tempoh yang mencabar ini.
Penghormatan saya juga kepada para sukarelawan yang tidak jemu membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Saya sendiri berpeluang untuk berganding tenaga dengan beberapa sukarelawan yang datang beratus kilometer jauhnya semata-mata untuk membantu dalam operasi menyelamat dan menjadi sukarelawan aktiviti pasca banjir.
Saya berasa amat terharu melihat semangat permuafakatan ini dan harapan saya adalah supaya kesepakatan Keluarga Malaysia ini turut dapat diamati dalam usaha membantu melindungi dan menjaga alam sekitar kerana beringatlah bahawa bumi ini satu-satunya rumah yang kita ada.
-- BERNAMA
Mogesh Sababathy merupakan Aktivis Alam Sekitar, Pengasas Bersama Projek Ocean Hope, beliau juga adalah Finalis Anugerah Belia Komanwel 2021 Wakil Malaysia ke Youth4Climate, Milan