PENA WANITA

HOBI BERCUCUK TANAM MANFAAT SEPANJANG MASA

11/03/2022 08:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurulisyaliza Othaman

"Berbudi pada tanah, kita tidak ditipu tanah" pastinya kita selalu mendengar kata-kata ini. Ianya bermaksud jika kita menggunakan tanah yang ada untuk bercucuk tanam pastinya membuahkan pelbagai manfaat.

Walau kita tiada tanah kebun sekalipun kalau sudah menjadi hobi pasti kita akan berusaha sehabis mampu mengusahakannya. Tambahan pula kini banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai kelengkapan bercucuk tanam baik daripada biji benih sehinggalah ke tanah baja organik. Bukan itu sahaja, turut mengujakan lagi kini anak-anak pokok turut dijual di dalam talian seperti aplikasi shopee dan Lazada. Percaya atau tidak pemandu syarikat kurier sekarang turut menyampaikan bungkusan yang mengandungi anak-anak pokok ini. Penjual-penjual dalam talian semakin kreatif memikirkan cara terbaik bagi memastikan kesegaran anak pokok yang telah dibeli.

Hobi yang menjanjikan hasil yang lumayan ini pastinya memberi pelbagai manfaat kepada setiap lapisan umur.

Erat hubungan keluarga, cipta memori indah bersama

Bercucuk tanam mengeratkan hubungan kekeluargaan. Masa yang diluangkan bersama ahli keluarga mengusahakannya memberi memori yang cukup indah terutama buat anak-anak yang baru ingin mengenali khasiat alam. Waktu inilah kita ambil peluang sebaik mungkin memperkenalkan kepada anak-anak dengan alam semulajadi. Paling penting, anak-anak dan seisi keluarga turut diterapkan dengan sifat bersyukur dan menghargai semua anugerah Tuhan.

Selain menyemai biji benih, sifat sabar turut disemai dalam diri ketika bercucuk tanam. Ada kalanya apa yang kita tanam tidak mengeluarkan hasil seperti yang kita mahu dan ada masanya juga langsung tidak membuahkan hasil. Ketika ini sabar paling penting dan jangan mudah mengalah. Teruskan mencuba, kadangkala daripada kegagalan tersebut kita belajar sesuatu. Mungkin tanah atau tempat yang digunakan kurang sesuai atau tanaman tersebut memerlukan cahaya yang lebih untuk hidup subur.

Beri manfaat kesihatan

Percaya atau tidak hobi bercucuk tanam ini turut memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan kita. Tanaman yang diusahakan sendiri yang menentukan jenis baja yang digunakan dan cara melindungi tanaman daripada haiwan perosak. Pastinya kita akan memilih cara dan kaedah terbaik dan selamat untuk tanaman tersebut. Bercucuk tanam juga membuatkan tubuh badan kita aktif, dapat mengeluarkan peluh lalu sedikit sebanyak memberi manfaat kepada tubuh badan.

Seringkali kita memilih waktu pagi untuk membersih, menggembur dan menyiram tanaman kita. Waktu ini tubuh badan kita terdedah dengan cahaya matahari pagi yang dikatakan penuh khasiat vitamin D asli. Cahaya matahari pagi adalah sumber vitamin D percuma yang boleh didapati setiap pagi sambil mengusahakan tanaman di kawasan rumah dan ianya membekalkan manfaat kepada tubuh badan termasuk meningkatkan sistem kekebalan tubuh secara semulajadi.

Amalan berjimat cermat

Berjimat cermat amalan mulia. Hobi bercucuk tanam membawa kepada amalan berjimat cermat. Walaupun nilai tersebut mungkin pada pandangan mata kasar terlalu sedikit, namun ia sebenarnya memberi pulangan yang berbaloi. Bayangkan sahaja apabila kita mahu menyediakan makanan untuk keluarga, kita hanya perlu memetik sahaja hasil tanaman yang diusahakan tanpa perlu berkejar pada waktu pagi untuk ke pasar. Bukan sahaja daripada segi kewangan malah masa juga dapat kita berjimat di samping hati yang gembira dapat merasa hasil tuaian yang disemai dengan penuh keikhlasan.

Sudah tentu apabila melakukan sesuatu yang digemari ia akan memberi kesan yang menggembirakan emosi. Kita akan merasa lebih tenang dan segala tekanan yang dihadapi akan hilang. Paling penting ia adalah hobi yang memberi pulangan yang berbaloi. Hati yang tenang membawa kepada kehidupan yang lebih bermakna.

Tumbuhan yang menghijau juga menenangkan jiwa serta menjadi terapi mata. Bayangkan apabila kita pulang dari kerja mata terus menikmati keindahan tanaman di halaman rumah, pasti hilang sebentar penat bekerja. Bagi golongan suri rumah pula, hobi ini memberikan kepuasan kepada mereka selain dapat mengisi masa setelah selesai kerja-kerja rumah. Perasaan ini sukar digambarkan melalui kata-kata namun ia akan dirasai oleh setiap pencinta hobi bercucuk tanam.

Ancaman makhluk perosak

Menjadi sesuatu yang normal jika setiap yang dilakukan punyai cabaran. Begitu juga dengan hobi bercucuk tanam, pastinya ada cabaran tersendiri. Kadang kala tanaman diusahakan sama ada sayuran atau bunga-bungaan tidak terlepas daripada haiwan perosak. Mungkin juga ujian dan cabaran datang dari segi kekangan masa dan kewangan bagi memastikan tanaman sentiasa segar dan sihat.

Namun begitu ia sedikit sebanyak dapat menambah pengalaman kepada pengusaha hobi ini. Kita akan sentiasa berusaha mencari maklumat dari internet, buku, dan individu yang berkongsi hobi ini tentang cara dan teknik terbaik supaya tanaman sentiasa terpelihara. Sedikit sebanyak hobi bercucuk tanam ini bukan sahaja sekadar mengisi masa terluang, ianya juga turut menambah pengetahuan serta kenalan kita.


-- BERNAMA


Nurulisyazila Othaman merupakan guru di Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)



(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)