SUARA BELIA

PANDEMIK BUKAN HALANGAN AKTIF BERPERSATUAN

09/03/2022 08:23 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Noor Afzan Zakaria

Kegiatan berpersatuan di universiti merupakan platform terbaik bagi mengasah minat dan menggilap bakat pelajar untuk mahir dalam pengurusan organisasi dan kemahiran insaniah. Peluang yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar perlu direbut oleh mahasiswa.

Dalam mendepani era pandemik COVID-19 yang mana mahasiswa masih melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, kegiatan berpersatuan seharusnya tidak dipandang lesu.

Justeru, mahasiswa perlu proaktif seiring dengan perubahan semasa. Jika dahulu, kegiatan berpersatuan secara bersemuka mendapat sambutan yang amat menggalakkan, maka diharapkan perubahan dalam aktiviti berpersatuan dapat dilaksanakan mengikut kebiasaan baharu.

Manfaat kecanggihan teknologi

Platform digital sudah menjadi pilihan utama. Jika dahulu, misalnya untuk melaksanakan program merentas negara pastinya menggunakan modal yang besar, tetapi melalui kecanggihan teknologi dengan pelbagai pilihan platform digital, sesuatu program boleh dianjur dan disertai oleh peserta merentas benua.

Dalam memastikan kegiatan berpersatuan di universiti kembali rancak, sudah pastinya peranan penting perlu dimainkan oleh penasihat persatuan dan kelab. ‘Engagement’ perlu dibuat bagi memberi keyakinan dan kesedaran kepada mahasiswa bahawa kegiatan berpersatuan amat penting bagi mengasah potensi diri dan pengembangan bakat mereka.

Langkah mula ini perlu senada. Penasihat dan mahasiswa boleh menerajui penganjuran program yang berskala kecil sehinggalah program yang berimpak tinggi. Program yang dianjurkan perlu dirancang agar memberi kebaikan dan manfaat kepada penganjur mahupun peserta.

Kreatif mendepani cabaran

Mahasiswa adalah pemimpin pada masa hadapan. Mereka perlu dilatih menjadi pemimpin yang mahir dalam mengurus organisasi, juga bijak dalam menganjurkan program lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran pandemik mahupun krisis semasa.

Usah menjadikan alasan pandemik sebagai sekatan dalam aktif berpersatuan. Mahasiswa perlu kreatif dalam mendesain program yang bersesuaian. Setiap program mestilah mempunyai objektif yang jelas dan output yang ingin dicapai.

Pandemik bukanlah sekatan, malah peluang untuk mahasiswa aktif berpersatuan dan menggilap bakat kepimpinan masing-masing.

Pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada semua mahasiswa untuk aktif dalam kegiatan berpersatuan seiring dengan peranan dan fungsi utamanya untuk memastikan program pembangunan dan kepimpinan pelajar dapat dilestarikan dengan jayanya.

Pandemik perlu didepani dengan positif. Kembalikan kemeriahan aktiviti berpersatuan di kampus. Banyak pilihan dalam menganjurkan aktiviti misalnya boleh dianjurkan secara hidbrib iaitu gabungan secara dalam talian dan bersemuka dengan mematuhi segala prosedur yang ditetapkan.

Mahasiswa berbakat sudah pastinya menjadi graduan idaman majikan. Justeru, segala usaha yang digembleng mestilah seiring dengan Lonjakan 10 Dalam Pelan Pembangunan Pendidijkan Malaysia untuk Pendidikan Tinggi 2015-2025 iaitu untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang akan tercapai.

-- BERNAMA

Noor Afzan Zakaria merupakan Timbalan Pendaftar, Pusat Kegiatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)