Oleh: Profesor Madya Munzilah Md. Rohani
Sejak dahulu hingga kini, pelbagai isu keselamatan pejalan kaki diperkatakan di media massa, sama ada di media cetak mahupun media elektronik. Di Malaysia, pejalan kaki merupakan golongan ketiga tertinggi yang terlibat dengan kemalangan maut selepas pengguna motosikal dan juga pengguna kereta. Berdasarkan ranking ini, keselamatan pejalan kaki menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan risiko kemalangan terhadap mereka.
Mentaliti perlu berubah, guna sebaiknya fasiliti yang tersedia
Terdapat banyak fasiliti telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi menjamin keselamatan pejalan kaki dipelbagai peringkat umur untuk melintas jalan. Antara kemudahan yang disediakan ialah seperti lintasan belang, lorong pejalan kaki, jejantas dan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat. Kesemua fasiliti ini telah direka bentuk bagi memenuhi keupayaan dan keselesaan pengguna, dan paling penting ia dapat menjamin dalam aspek keselamatan pengguna terutamanya bagi golongan kurang upaya semasa melintas jalan.
Namun begitu, fasiliti laluan pejalan kaki untuk menyeberang yang disediakan oleh pihak kerajaan sebahagiannya seringkali tidak dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia. Malah ramai pengguna lalu lintas yang mengambil mudah dengan melintas menggunakan jalan raya walaupun sudah sedia maklum risikonya yang boleh mengundang maut.
Lebih menakutkan apabila ada di antara pejalan kaki yang melintas bersama kanak-kanak di kawasan yang berisiko dengan keadaan trafik yang tinggi walaupun terdapat jejantas disediakan di kawasan berhampiran. Antara alasan mereka, adalah kedudukan jejantas jauh, terlalu tinggi atau tidak menghala ke tempat yang dituju.
Alasan sebegini mencerminkan mentaliti masyarakat terhadap kemudahan awam dan risiko kemalangan adalah masih rendah. Bukan setakat itu, sikap pejalan kaki yang kurang memberi tumpuan atau kurang mengambil endah tentang keadaan trafik sewaktu melintas jalan dengan mengabaikan keselamatan diri dan orang lain adalah punca utama berlakunya kemalangan jalan raya yang melibatkan mereka.
Sikap pengguna jalan raya
Selain itu, tindakan pemandu kenderaan yang cenderung untuk memecut laju di jalan raya juga boleh menyebabkan risiko kemalangan kepada pejalan kaki. Terutama di lokasi yang tiada kemudahan lintasan pejalan kaki. Apabila kadar aliran trafik meningkat, jurang selamat atau ruang masa antara ketibaan kenderaan di tempat pejalan kaki boleh melintas jalan dengan selamat adalah semakin berkurang. Ini menyebabkan lebih banyak masa menunggu diperlukan sebelum dapat melintasi jalan tersebut.
Bagi mereka yang mementingkan keselamatan, mereka akan menunggu saat yang paling selamat untuk melintas. Bagaimanapun, kepada yang tidak sabar kadang kala sanggup menggadaikan nyawa dengan mengambil risiko dalam jurang masa yang singkat dan sanggup berdiri di tengah-tengah jalan untuk melintas. Pada ketika ini, keselamatan diri bukan lagi jaminan, sama ada mereka ini selamat melintas jalan tersebut ataupun terlibat dalam kemalangan.
Sehubungan itu, lintasan pejalan kaki harus digunakan. Penyediaan laluan pejalan kaki penting kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan keselamatan pejalan kaki malah dapat melancarkan pergerakan manusia dan juga aliran kenderaan di atas jalan raya. Ia juga sekali gus dapat menjamin keselesaan orang ramai bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Sebagai pengguna jalan raya, alangkah baiknya mempraktikkan pembelajaran keselamatan jalan raya yang dipelajari ketika di sekolah. Begitu juga latihan yang diterima di institusi pemanduan ketika proses untuk mendapatkan lesen memandu. Pengguna jalan yang bijak akan sentiasa mengambil perhatian dengan peraturan asas jalan raya seperti penggunaan lintasan pejalan kaki, papan tanda dan simbol yang berada di jalan raya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Ini termasuklah tidak menyalahgunakan fasiliti yang disediakan untuk golongan berisiko seperti pejalan kaki. Apabila setiap pengguna mengetahui dan sentiasa bertanggungjawab terhadap keselamatan ketika di jalan raya, risiko kemalangan sekali gus dapat dikurangkan. Jadi, soal keselamatan ini adalah hak dan tanggungjawab masing-masing. Kepada pejalan kaki, manfaatkanlah lintasan pejalan kaki ini untuk menjamin keselamatan diri.
-- BERNAMA
Profesor Madya Munzilah Md. Rohani merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Beliau telah mengetuai dalam penghasilan artikel ini bersama-sama Nurul Atiqah Osman dan Nurulain Nordin iaitu sebahagian daripada projek KidSafe UTHM.