Oleh : Dr. Norunnajjah Ahmat dan Dr Siti Suriani Othman
Konsep Keluarga Malaysia yang diinspirasikan Perdana Menteri Malaysia merupakan matlamat murni yang diharap mampu membawa Malaysia ke arah negara yang berjiwa kekeluargaan dengan cabaran politik dan etnik yang wujud.
Dapat kita fahami bahawa konsep ini dilancarkan dengan hasrat untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu di bawah naungan kerajaan Malaysia yang demokrasi. Beliau dalam ucapannya pada 22 Ogos 2021 berkata “Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita iaitu Keluarga Malaysia.”
Pendekatan persaudaraan Ansar Muhajirin
Di bawah idea keluarga Malaysia, perdana menteri telah meletakkan tiga nilai utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. Ciri nilai pertama dilengkapkan dengan aspek ‘inklusiviti’ iaitu setiap individu mestilah saling menghormati dan mengasihi sesama ahli keluarga.
Keduanya dilengkapkan dengan pendekatan bersatu padu dan prihatin transformasi politik. Ciri kedua ini berperanan mencari titik persamaan dalam segenap perkara, memiliki fikiran terbuka dan senang bekerjasama, bertoleransi terhadap sebarang perbezaan secara berprinsip dan bersepakat dan bersatu dalam menghadapi cabaran.
Nilai terakhir ialah kesyukuran yang menetapkan pendekatan keharmonian dan kecintaan di mana seseorang itu akan sentiasa besyukur dan berterima kasih dan menghargai dan memahami sejarah tanahair.
Kesemua nilai-nilai yang diperkenalkan adalah satu pendekatan yang baik dan lebih mantap untuk dilaksanakan dengan pengenalan konsep yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW; iaitu mempersaudarakan masyarakat dengan pengenalan Ansar Muhajirin.
Kepentingan perpaduan dalam pembentukan sebuah negara
Kita sedia maklum bahawa ketika berlaku tahun hijrah, Muhajirin dan Ansar terdiri dari pelbagai suku kaum dan puak. Walaupun sifat assobiyah di tanah Arab berjaya dilenturkan oleh Rasulullah SAW sebelum ini, namun dengan penghijrahan ini semangat ketuanan semakin pudar dan mereka mampu saling menerima, saling tolong menolong dan bersusah senang bersama untuk membangunkan kota Madinah.
Hijrah Nabi ini adalah titik totak untuk bersatu padu membangunkan sebuah negara. Dari peringkat pertama ajaran Nabi di Mekah mengenai akhlak dan tauhid, kini tugas Nabi sudah masuk ke fasa seterusnya, iaitu mengurus atur sebuah negara iaitu Madinah, sebagai satu negara yang baharu bermula, perpaduan adalah satu perkara yang amat penting.
Hikmat Hijrah Nabi yang paling besar adalah perpaduan. Nabi mengajarkan kepada kita bagaimana akhlak perpaduan yang baik. Langkah-langkah mewujudkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama iaitu mengamalkan sikap toleransi dalam kehidupan; hormat menghormati antara satu dengan yang lain; dan akhir sekali ialah berkerjasama dan bantu membantu dalam perkara kebaikan. Kesemua nilai-nilai ini tidak jauh beza dengan apa yang dihasratkan oleh perdana menteri Malaysia kesembilan.
Konsep Ansar Muhajirin merangkumi aspek global
Konsep Ansar Muhajirin ketika zaman nabi Muhammad (SAW) tidaklah hanya berkisar kepada penghijrahan, perpindahan atau imigrasi. Konsep Ansar Muhajirin boleh sahaja merangkumi aspek yang lebih global yang meliputi perubahan dan penghijrahan dari aspek-aspek fizikal, minda, sikap, hati, selain persekitaran dan pelbagai keadaan kehidupan. Dalam hal ini Allah menjelaskan sebahagian besar ungkapan reformasiNya pada ayat 11 Surah al-Ra'd:
إن الله لا يغير مابقم حتى يغيروا ما بأنفسهم...
"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri,''.
Keduanya ialah konsep ansar muhajirin yang menitikberatkan pengurusan masa supaya manusia itu tidak berada dalam kerugian sebagimana peringatan tegas oleh Allah dalam firmanNya:
والعصر* إن الإنسـنلفي خسر* إلا الذين ءامنوا وعملوالصلحات وتواصوابالحق وتواصوابالصبر
Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.
Semoga pendekatan ini membangunkan negara tanpa kelalaian dengan kerakusan kuasa dan harta.
Ketiga ialah konsep ansar muhajirin yang melahirkan modal insan terbilang sepertimana Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud:
ومن يهاجرفي سبيل الله يجد في الأرض مرغم كثيرا وسعةومن يخرج من بيته مهاجرا إلى الله ورسوله ثم يدركه الموت فقد وقع أجره على الله وكان الله غفورا رحيما
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang di tuju maka telah tetap pahala di sisi Allah dan adalah Allah s.w.t Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”.
Nyatalah, konsep Ansar Muhajirin yang bermatlamat mencapai kejayaan. Setiap individu dalam masyarakat mestilah membentuk suatu pegangan yang kuat agar segala masalah dapat diselesaikan berpaksikan akidah Islamiah dan juga parlimen berdemokrasi.
Kita positif bahawa pengenalan konsep Ansar Muhajirin sebagai dasar pemupukan Keluarga Malaysia mampu mencapai kejayaan kerana ia telah berjaya ketika zaman Nabi Muhammad dan tiada mustahil untuk dicapai semula kerana panduan dari Quran dan sunah sudah tersedia.
-- BERNAMA
Dr. Norun Najjah Ahmat, merupakan Pensyarah Kanan dari Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Dr Siti Suriani Othman merupakan pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia