TINTA MINDA

RAMADAN: BERMUHASABAH TENTANG NILAI KEBAJIKAN

22/04/2022 08:48 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Wan Puspa Melati Wan Abdul Halim

Ramadan, adalah bulan yang mulia dan dirahmati bagi orang Muslim. Selain berpuasa ,membaca al-Quran dan melakukan aktiviti kebajikan, Ramadan memberi peluang kepada orang Muslim untuk melaksanakan ibadah, bermuhasabah diri, menyucikan roh, dan berbuat baik. Sudah pasti, perbuatan ini semuanya boleh dan mesti dilakukan sepanjang tahun, tetapi dengan mengaitkannya dengan bulan yang suci ini sering menjadi peringatan kepada individu untuk terus melakukan kebaikan atau berbuat baik dengan lebih banyak lagi.

Ramai yang akan berusaha untuk mendapat manfaat ini dan berharap akan mendapat ganjaran terbaik sama ada di dunia ini ataupun di akhirat nanti. Saya kerap ditanya terutamanya oleh rakan-rakan bukan Muslim, “Mengapakah lebih banyak sumbangan dan aktiviti kebajikan dengan anak-anak yatim di bulan Ramadan berbanding pada waktu lain?” Sebahagian daripada mereka juga hairan dengan pilihan makanan mewah pada majlis berbuka puasa yang sering dianjurkan untuk golongan anak yatim dan miskin berbanding dengan aktiviti kebajikan lain.

Ramadan bulan mulia penuh keberkatan

Bagi mereka yang tidak begitu memahami, Ramadan adalah bulan mulia kerana ia adalah bulan al-Qur’an diturunkan buat pertama kali (Qur’an 2:185) dan malam Al-Qadar adalah dalam bulan ini (Qur’an, 2:183).

Sesetengah hadis mengetengahkan peringatan oleh Nabi Muhammad S.A.W. mengenai ganjaran berbuat kebaikan pada bulan Ramadan, termasuklah dengan menyediakan makanan kepada orang yang berpuasa. Satu hadis yang diketahui yang disampaikan oleh Zaid bin Khalid Al-Juhani menyatakan bahawa Rasul Allah (ﷺ) bersabda: “Siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” Selain itu, terdapat banyak lagi yang menyebut tentang menjaga kebajikan anak-anak yatim dan pahalanya telah dijanjikan di dalam al-Qur’an dan hadis.

Oleh itu, tidak hairanlah jika dilihat adanya sesi berbuka puasa mewah dengan anak-anak yatim di bulan Ramadan, pemberian ‘duit raya’ dan pakaian yang cantik untuk merayakan Aidil Fitri. Semoga semua perbuatan baik dan ikhlas oleh individu yang bermurah hati ini mendapat ganjaran yang tertinggi.

Dilema moral dan sosial

Sebagai seorang ahli sosiologi klinikal Muslim, Ramadan sering membuatkan saya terfikir tentang perbuatan baik yang kita cuba usahakan. Walaupun kita mahu buat yang terbaik dan berharap pihak yang menerima akan menikmatinya, namun pernahkah kita berfikir lebih dalam lagi tentang perbuatan ini dan kesannya? Pernahkah kita mengkaji tentang pihak yang menerimanya dan apa sebenarnya kemahuan mereka, ataupun adakah kita terperangkap dalam gelembung keunggulan kita dan menganggap bahawa apa yang baik untuk mereka adalah mengikut kaca mata dan standard kita?

Saya telah mendapat maklum balas daripada institusi penerima tentang dilema moral dan sosial yang dialami dalam menerima tawaran daripada pihak yang mahu berbuat kebajikan. Sudah tentu, mereka berterima kasih dengan individu yang baik dan bermurah hati ini, tetapi menurut mereka, tiada perbincangan dibuat mengenai apa yang diperlukan dan dimahukan oleh penerima. Ini menyebabkan penerima mengalami keletihan di bulan Ramadan dan mungkin menerima lebih banyak daripada yang diperlukan. Contohnya, terdapat banyak tawaran berbuka puasa dan sesi Qiamulail (bersembahyang di tengah malam) untuk sesebuah institusi, ataupun lebih banyak kasut dan pakaian yang cantik daripada majlis di mana mereka boleh memakainya.

Kadangkala institusi-institusi ini, terpaksa menerima jemputan dan barangan yang diberi kerana tidak mahu menolak peluang kepada orang lain untuk mendapat pahala ataupun untuk penerima mendapat hak mereka. Sesetengah orang juga merasakan bukan tempat mereka untuk bersuara tentang cadangan berkenaan kerana tidak mahu dilihat seperti memberi ‘arahan’ dan mengambil kesempatan daripada penderma, seperti pepatah “diberi betis, minta paha”. Tetapi, adakah ini yang kita mahu untuk penerima dalam usaha kita untuk berbuat kebaikan?

Mungkin dalam bulan Ramadan ini, kita boleh memulakan inisiatif yang lebih bermakna dan berkesan. Kita boleh menganjurkan inisiatif kebajikan dengan mengadakan perbincangan dengan institusi terpilih dan mungkin, dengan pihak penerima sendiri untuk mengetahui apa yang diperlu dan dimahukan.

Kita juga boleh mencari organisasi lain yang tidak dipilih sebagai penerima, dan membolehkan agihan kebaikan yang lebih meluas di seluruh negara. Pertimbangan juga boleh dibuat kepada kumpulan penerima yang ‘kurang popular’ seperti warga emas dan golongan kurang berupaya, kerana mereka juga memerlukan manfaat daripada inisiatif dan amalan kebaikan ini. Diharapkan inisiatif kita ini akan menjadi lebih bermakna kepada kita dan juga penerima dengan kesedaran ini.

--BERNAMA

Dr Wan Puspa Melati Wan Abdul Halim merupakan Pensyarah Kanan, School of Liberal Arts and Social Sciences, Taylor’s University

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)