TINTA MINDA

PEKERJA BERMOTIVASI TINGKAT PRODUKTIVITI

01/05/2022 05:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dato’ Abdul Latif Abu Seman

Kita sering mendengar pendapat yang mengatakan, pekerja merupakan aset penting bagi sesebuah organisasi. Tanpa pekerja, sukarlah bagi sesebuah organisasi mencapai matlamatnya. Pekerja yang berkebolehan dalam pelbagai bidang dan berdedikasi akan memberikan lebih manfaat kepada organisasi, lebih-lebih lagi semasa negara sedang dalam fasa peralihan ke endemik dan pemulihan.

Bertepatan dengan tema Hari Pekerja 2022 iaitu ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia dalam Pemulihan Negara’, pekerja diharap menjadi lebih bermotivasi dan produktif bagi membantu proses pemulihan ekonomi negara. Kerjasama diantara satu sama lain serta hubungan silaturrahim yang baik sangat penting bagi mempercepatkan proses pemulihan negara. Bagaimanakah matlamat ini boleh dicapai? Berikut adalah diantara perkara yang perlu diberi perhatian;

Program Pembudayaan Produktiviti Dan Kualiti

Pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan oleh organisasi bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti pekerja. Menerusi program inovasi seperti kumpulan peningkatan kualiti, sistem cadangan idea kualiti dan kaedah pembelajaran secara mikro. Kaedah–kaedah ini memerlukan aktiviti percambahan fikiran (brainstorming) dikalangan pekerja agar dapat meningkatkan semangat kerja berkumpulan atau esprit de corps.

Menerusi aktiviti ini, pekerja dapat bertukar pandangan seterusnya mendorong mereka untuk berfikir secara kreatif dan kritis disamping menggalakkan pekerja memberikan idea-idea yang lebih inovatif serta memberi ruang kepada mereka untuk meningkatkan prestasi organisasi.

Iktiraf Pekerja

Banyak persatuan atau Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) menyeru untuk terus mengiktiraf pekerja dan memberi ganjaran kepada mereka berdasarkan sumbangan, kemahiran, keupayaan dan komitmen yang telah mereka berikan kepada organisasi.

Pengiktirafan akan menjadikan pekerja berasa lebih dihargai dan secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi mereka untuk terus bekerja dengan lebih dedikasi. Majikan perlu sentiasa memberikan pengiktirafan kemahiran dan bakat yang ada berdasarkan kepada pencapaian kerja. Melalui penilaian yang tepat dan saksama dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam organisasi. Langkah ini juga dapat memupuk sikap positif dikalangan pekerja dan seterusnya meningkatkan produktiviti mereka.

Wujudkan Suasana Positif

Sebarkan nilai murni dan sikap positif menerusi kata-kata yang positif di tempat kerja. Pekerja dan majikan juga seharusnya sentiasa berkomunikasi dan berkongsi pendapat. Maklum balas yang membina penting bagi menggalakkan pekerja supaya lebih peka dalam menghasilkan kualiti kerja yang lebih baik dan sentiasa memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Rehatkan Minda

Rehatkan minda atau Take five. Ia penting bagi memberi ruang dan masa kepada pekerja mahupun majikan untuk recharge diri. Sebagai contoh aktiviti santai di luar tempat kerja seperti beriadah, hiking dan Team Building, dapat mendorong pekerja berehat seketika untuk menghirup udara segar disamping dapat membina hubungan baik dikalangan pekerja dan majikan. Ia sekali gus dapat memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan semangat Keluarga Malaysia seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Oleh yang demikian, keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan adalah penting, bukan sahaja ia memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental para pekerja, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara secara amnya. Pekerja Inovatif, Negara Produktif.

--BERNAMA

Dato’ Abdul Latif Abu Seman merupakan Ketua Pengarah di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)