TINTA MINDA

MENJUAL MORALITI DEMI POPULARITI DALAM MEDIA SOSIAL

09/05/2022 12:31 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.


Oleh: Dr Suhaimee Saahar @ Saabar

Dunia media sosial semakin meluas serta jaringan komunikasi yang terbina dalam alam ini mendefinisikan semula sempadan dan batasan dari segi moral, nilai, etika, kepercayaan dan agama. Setiap kali ruang komunikasi itu terbuka maka satu nilai baru akan terbentuk dan mempengaruhi nilai sedia ada yang sudah sebati dalam kehidupan harian kita. Pegangan dan nilai yang diwarisi diterjemahkan semula bukan sahaja dalam bentuk keterbukaan tetapi turut menyentuh aspek equality dan equity dalam masyarakat.

Manusia semakin bersikap terbuka sehingga aspek moraliti kini boleh dijual beli, diperdagangkan dan dikomersialkan dalam perspektif ekonomi dan kewangan. Paparan masyarakat hari ini dibuka luas dalam pelbagai platform media sama ada dalam bentuk digital dan bukan digital. Paparan ini tidak pernah dilihat oleh masyarakat sebelum ini sehingga setiap aspek dalam kehidupan sama ada menyentuh nilai seperti pendidikan, kemanusiaan, moraliti, etika dan pegangan menjadi bahan komoditi budaya yang diperdagangkan secara terbuka.

Cabaran media tradisional, kawal kandungan media digital

Apabila sebuah kisah itu dibentuk dan dikawal oleh bukan pemilik media tradisional yang dikawal oleh undang-undang dan peraturan, kebebasan itu terbentuk sehinggakan kawalan media tradisional dilihat kehilangan kuasa dalam mengawal kandungan-kandungan dalam dunia digital. Pembinaan naratif disulam dengan pelbagai elemen seperti humor, jenaka, parodi, satira, sehinggakan terlepas pandang aspek moraliti, nilai dan etika serta menjadi komiditi yang boleh memberi nilai ekonomi kepada pemilik dan pembina kandungan sama ada secara langsung dan tidak langsung. Disini muncullah kandungan yang tidak wajar dari segi nilai, etika dan moraliti yang dihalalkan mengikut konsep keterbukaan dan kreativiti.

Kini, telah menjadi satu tanggungjawab baru kepada media tradisi untuk mendidik semula masyarakat mengenai aspek moral dan etika sebenar dalam kehidupan. Pertembungan ini menjadi satu perkara yang menarik untuk dilihat sejauhmana media tradisi berperanan dan meningkatkan pegangan kuasa mereka dalam bentuk pemilikan dan syer suara dalam dunia media massa. Ini juga menjadi kayu ukur kepada media tradisi yang sedang cuba menyeimbangkan kuasa mereka dalam dunia digital yang semakin terbuka dan terlopong luas.

Dalam masa yang sama, cabaran itu dilihat dalam keadaan mengubah kandungan asal kepada kandungan baharu yang dilihat akan mampu menaikkan populariti dan capaian menjadi matlamat utama dunia media sosial hari ini. Kemampuan dalam mengubah sesebuah kandungan sehingga boleh mencetuskan emosi luar kawalan juga menjadi satu penanda kepada tahap populariti sesebuah kandungan dan pemiliknya.

Pemilihan perkataan yang keras nadanya, jelik, lucah, luar kawalan seolah dilihat sebagai satu elemen penting dalam memastikan kejayaan sesebuah kandungan itu menarik perhatian khalayak. Timbul budaya baru seperti mengecam, buli siber, fitnah siber, ugutan, kutukan dan hukuman alaf baharu yang semakin mengganas dan mempengaruhi pengguna media sosial.

Kandungan nagatif, jadi virus ketepi aspek moral dan etika

Ada pemilik kandungan yang berani mengubah corak dan gaya persembahan agar kelihatan kontroversi dan luar biasa sehinggakan kewujudan elemen-elemen LGBTQ itu terserlah dan ditontoni oleh golongan kanak-kanak. Atas nama populariti aspek moraliti yang kita dukungi dulu dalam menyampai elemen-elemen kesopanan dan kesantunan budaya itu diketepikan dan dikikis dalam bentuk yang paling halus.

Kuasa khalayak media sosial dilihat sebagai satu bentuk ukuran moraliti baru dalam membuat sesebuah penilaian dan hukuman. Ini berbeza dengan masyarakat kita sebelum ini yang meletakkan aspek diplomasi dan budi bicara dalam merasionalkan sesebuah tindakan dan keputusan. Durasi kandungan yang pendek juga mampu mencetuskan keadaan luar kawalan sehinggakan platform media sosial lain turut mengambil kandungan seperti ini bagi memastikan aspek terkini menjadi sasaran utama dalam meningkatkan trafik dan algoritim kata kawalan dan kuasa sebaran dalam bentuk tularan dan penyampaian.

Sekiranya sebelum ini virus yang mengancam kemudahan fizikal pemilikan media digital menjadi kebimbangan dan kini sebaliknya berlaku apabila kandungan negatif ini menjadi satu bentuk virus yang mengenepikan aspek nilai,etika dan moral dalam kehidupan kita hari ini.

Pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang terlibat perlu semakin peka dengan keadaan yang berlaku hari ini. Laungan slogan untuk menyatupadukan rakyat perlu bersikap lebih jujur dan strategik bukan hanya semata-mata sebuah slogan yang dihiasi dengan elemen-elemen visual. Sekiranya perkara ini tidak dikawal semula melalui pendekatan-pendekatan seperti pendidikan, undang-undang, akta dan kawalan maka kita akan lihat sebuah lagi kejatuhan ketamadunan yang dibina dan diikat dengan unsur-unsur etik, moral, nilai, kepercayaan dan agama itu akan jatuh sedikiti demi sedikit.

--BERNAMA

Dr Suhaimee Saahar @ Saabar merupakan Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)