Kebijaksanaan bukan diukur dari paras rupa
Sebagai seorang suami, bapa, anak, abang, dan juga adik, saya merupakan pencari nafkah ataupun penyumbang utama (breadwinner) kepada kewangan keluarga. Sebagaimana saya berusaha keras untuk memberikan yang terbaik kepada orang yang tersayang, sebegitu jugalah tingginya tekanan untuk memastikan apabila saya telah tiada, saya mampu untuk meninggalkan orang yang tersayang di dalam keadaan sedia ada atau lebih baik lagi.
Sebagai seorang Ketua Pegawai Agensi, Alhamdulillah saya menyedari akan keperluan perlindungan takaful di dalam kehidupan. Ianya dapat membantu kita sekiranya situasi tidak diduga dan di luar kawalan berlaku pada bila-bila masa. Manfaat takaful akan membantu pesertanya di dalam situasi di mana dana kecemasan diperlukan diakibatkan oleh musibah yang menyebabkan kematian, kemalangan, sakit kritikal atau rawatan kemasukan ke hospital. Peribahasa ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ boleh dielakkan sekiranya kita mempunyai pelan takaful yang komprehensif yang mampu mengekalkan kita atau waris di kedudukan sedia ada di saat musibah melanda.
Saya juga sering ditanya apakah erti takaful dan mengapa ia berbeza dengan insurans konvensional.
Apa itu takaful?
Insurans konvensional dan takaful mempunyai objektif yang sama iaitu menawarkan perlindungan dan simpanan jangka panjang untuk individu dan keluarga. Namun begitu, jika diperhalusi dengan lebih dekat, insurans dan takaful mempunyai perbezaan yang ketara.
Takaful adalah berdasarkan prinsip-prinsip Islam iaitu sistem ‘saling menjamin’ yang berteraskan konsep bekerjasama, tanggungjawab dan saling membantu di kalangan pesertanya. Di dalam takaful, peserta memenuhi kewajipan mereka dengan menyumbang sejumlah derma ke dalam sebuah dana yang dikenali sebagai dana tabarru’ ia berfungsi untuk melindungi antara satu sama lain daripada kerugian atau kerosakan yang meliputi nyawa, am (aset) dan perubatan. Pengendali takaful adalah pihak yang dilantik untuk menguruskan dana ini.
Pengendali takaful mengagihkan dana mengikut keperluan pesertanya sekiranya mengalami musibah atau kerosakan. Setiap tahun, lebihan dana atau dikenali sebagai surplus akan diagihkan diantara pelanggan dan pengendali pada akhir tempoh kewangan berdasarkan nisbah yang dipersetujui. Ini hanya akan dilakukan selepas semua kewajipan membantu peserta telah dipenuhi.
Walaupun takaful adalah berdasarkan prinsip Islam, semua umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendapatkan perlindungan takaful, kerana takaful itu tidak membezakan malah menerima sesiapa sahaja untuk menyertainya.
Faktor yang mempengaruhi jumlah caruman takaful
Seperti insurans konvensional, faktor gaya hidup mempengaruhi jumlah caruman yang perlu dibuat oleh setiap peserta. Ini termasuk pekerjaan, umur, sejarah keluarga dan faktor kesihatan asas.
Oleh kerana takaful adalah berdasarkan konsep menderma, maka jika dana tabarru’ tidak mencukupi, syarikat takaful selaku pengendali akan melakukan semakan semula terhadap kadar caruman. Contoh, sekiranya berlaku kekurangan dana diakibatkan oleh tuntutan yang melebihi kadar tabung tabarru’ atau inflasi diakibatkan oleh peningkatan kos rawatan serta perubatan. Sekiranya, semakan kepada kadar caruman perlu dilakukan, pengendali akan memaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu supaya tiada kejutan terhadap pelanggan.
Pengendali takaful yang bertanggungjawab akan sentiasa memantau dan menguruskan tabung tabarru’ dari semasa ke semasa. Ini adalah untuk memastikan hak pelanggan sentiasa dilindungi untuk jangka panjang.
Apakah yang boleh pelanggan lakukan sekiranya tidak mampu memenuhi tanggungjawab caruman?
Sekiranya situasi kewangan anda adalah meruncing dan menyebabkan anda tidak dapat membuat caruman yang ditetapkan, maka anda boleh menghubungi pejabat takaful atau berbincang bersama wakil takaful anda agar penilaian semula manfaat pelan takaful anda boleh diubah suai berdasarkan kemampuan anda.
Anda mungkin akan diberikan beberapa pilihan seperti mengurangkan manfaat di bawah pelan perlindungan untuk mengekalkan jumlah caruman yang sama; atau mengeluarkan rider (tambahan) tertentu dan menggantikannya dengan faedah lain yang mungkin lebih relevan dengan keperluan anda.
Di sinilah pentingnya mempunyai wakil takaful yang berpengetahuan. Wakil takaful yang baik adalah mereka yang mampu memberi nasihat yang bernas dan menepati situasi serta keperluan pencarum. Keperluan perlindungan adalah berbeza bagi setiap individu, maka inilah antara faktor kenapa Bank Negara Malaysia mewajibkan setiap wakil takaful untuk menjalankan pencarian fakta pelanggan yang menyeluruh agar wakil takaful dapat menilai keperluan pelanggan dan memberikan cadangan yang bersesuaian.
Adakah saya masih memerlukan takaful jika majikan sudah menyediakan perlindungan?
Ramai yang terlepas pandang serta memandang remeh akan kepentingan mempunyai pelan perlindungan peribadi untuk diri mereka sendiri. Mereka menyangka yang majikan mereka akan sentiasa menyediakan perlindungan sehingga hari tua mereka. Tetapi cuaca tidak selalunya cerah. Jika diambil contoh di saat pandemik COVID-19, ramai yang tidak menyangka majikan mereka terpaksa membungkus perniagaan dan begitu ramai masyarakat Malaysia yang terkesan serta kehilangan pekerjaan. Di sinilah risiko sentiasa berlaku andai kata kita diberhentikan kerja serta sudah mempunyai penyakit. Siapakah yang akan membayar kos rawatan atau kos pengurusan seharian. Harus diingat apabila anda diberhentikan atau bersara maka perlindungan yang disediakan oleh majikan juga akan turut terhenti.
Penyertaan dalam takaful adalah suatu keperluan demi menjamin ketenangan emosi diri dan orang tersayang pada masa hadapan. Ianya adalah perancangan jangka panjang dan bukannya untuk kegunaan sekali sahaja. Tiada sesiapa yang boleh menjamin kesihatan yang baik akan berkekalan sepanjang hayat.
Adalah dinasihatkan untuk kita mengasingkan pelan takaful untuk menampung keadaan dan keperluan yang berbeza. Adalah baik sekiranya anda dapat membezakan pelan takaful mengikut objektif keperluan, contohnya pelan yang berbeza untuk tujuan perubatan, simpanan dan persaraan. Namun, sekiranya kemampuan adalah kekangan untuk mempunyai pelan yang berasingan, maka anda perlulah merujuk serta mendapatkan nasihat daripada wakil takaful anda.
Ini adalah kerana, pada hari ini terdapat pelbagai pelan dan rider yang kompetitif dan fleksibel. Ini membolehkan pengguna untuk memilih pelan komprehensif berdasarkan keperluan untuk memenuhi gaya hidup mereka. Adalah disyorkan untuk mendapatkan nasihat profesional daripada wakil takaful yang bertauliah untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik.
Bagaimana untuk mengetahui sama ada seseorang ejen itu sesuai untuk saya?
Wakil takaful bertanggungjawab untuk memastikan mereka tidak mencemarkan nama baik pengendali takaful yang mereka wakili dan melaksanakan amanah yang diinginkan oleh pencarum.
Semua wakil takaful wajib untuk mempunyai lesen dan berdaftar secara sah dengan Persatuan Takaful Malaysia serta syarikat Takaful yang diwakili. Pelanggan atau prospek seharusnya meminta untuk melihat bukti kelayakan wakil takaful sebelum menandatangani sebarang perjanjian.
Demi memastikan, wakil takaful memberikan nasihat dan bijak menguruskan pelanggan. Maka setiap wakil takaful adalah wajib untuk menduduki Peperiksaan Asas Takaful (TBE) yang dikendalikan oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).
Selain itu, wakil takaful yang baik haruslah mempunyai pengetahuan asas yang kukuh serta memahami pelan-pelan yang ditawarkan oleh pengendali Takaful. Sebelum mencadangkan pelan yang sesuai kepada pelanggan, wakil takaful yang baik akan sentiasa meluangkan masa untuk mengisi borang Pencarian Fakta Pelanggan (CFF). Ini akan membolehkan wakil takaful untuk memahami gaya hidup dan keperluan pelanggan.
Apakah yang membuatkan seseorang wakil takaful terserlah hebat?
Ringkasnya, ia adalah usaha mereka untuk meningkatkan kemahiran dan memperbaiki diri.
Wakil takaful diwajibkan untuk melengkapkan latihan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) setiap tahun - minimum selama 30 jam. Wakil takaful yang berdedikasi biasanya melalui 60 hingga 70 jam pembelajaran setahun untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menyediakan perkhidmatan dan nasihat profesional untuk membantu pelanggan dengan lebih baik.
Wakil takaful yang hebat akan mengutamakan pelanggan dan memberikan fakta yang tepat mengenai tahap kesihatan pelanggan. Mereka haruslah mempertimbangkan keperluan masa depan pencarum dan menerangkan secara terperinci pelan yang disyorkan untuk menangani kebimbangan pelanggan dan memberikan ketenangan kepada fikiran.
Bolehkah wakil takaful membantu saya untuk mendapatkan kelulusan tuntutan saya?
Aduan yang sering diterima atau diviralkan mengenai industri insurans dan takaful adalah kesukaran untuk mendapatkan tuntutan apabila berlaku musibah.
Tuntutan mungkin dinafikan sekiranya pelan yang diambil tidak meliputi aspek perlindungan tertentu atau pencarum tidak mengisytiharkan keadaan sebenar kesihatan mereka sewaktu mendaftar pelan takaful. Selalunya selepas menghantar tuntutan, kes mereka akan dikaji dan pembayaran akan dibuat ke akaun peserta. Namun, sekiranya dokumen yang diperlukan tidak dihantar ataupun jika didapati terdapat fakta yang tidak diisytiharkan sewaktu permohonan atau tuntutan dibuat, maka tuntutan mereka boleh dinafikan.
Wakil takaful yang baik akan menasihati pelanggan supaya sentiasa jujur, dan bertanggungjawab . Pelanggan mesti membuat caruman tepat pada masanya untuk memastikan sijil takaful mereka tidak luput. Untuk tujuan ini, wakil takaful juga akan menasihati pelanggan tentang kaedah-kaedah pembayaran yang tersedia contohnya melalui portal dalam talian atau membuat caruman secara debit terus untuk mengelakkan kelewatan yang boleh menyebabkan pelanggan tidak dilindungi.
Dalam situasi di mana tuntutan takaful ditolak, pelanggan mempunyai pilihan untuk menulis semula kepada pengendali takaful untuk membuat rayuan atau mempertikaikan penafian tersebut.
Semua penyedia takaful akan bertindak secara adil apabila meneliti setiap kes. Penyedia takaful mempunyai tatacara pengendalian piawai (SOP) yang teliti untuk memastikan semua tuntutan yang sah dipenuhi.
Pilihan untuk mendapatkan perlindungan peribadi adalah satu keputusan yang kritikal. Adalah wajar untuk mendapatkan nasihat dari wakil takaful yang bertauliah dan berpengetahuan mengenai pelan dan perlindungan yang berbeza. Mendapatkan nasihat daripada beberapa orang wakil takaful sebelum membuat keputusan juga merupakan suatu tindakan bijak.
--BERNAMA
Nazrul Namizan merupakan Ketua Pegawai Agensi, Zurich Takaful Malaysia Berhad