Inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan pasukan khas bagi menyuntik minat dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar di negara ini perlu disokong dan disambut baik oleh semua pemegang taruh seperti pembuat dasar, guru, ibu bapa dan juga pelajar.
Ironinya pelbagai kajian dan laporan yang dibentang dengan jelas menunjukkan minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) semakin merosot khasnya membabitkan pelajar di luar bandar. Misalnya, laporan Kementerian Pendidikan pada 2020 menunjukkan hanya 47.18 peratus pelajar peringkat menengah atas di seluruh negara yang memilih bidang STEM. Malah situasi yang sama berlaku di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara apabila bidang perniagaan, perakaunan dan kewangan kekal sebagai pilihan utama pelajar Malaysia, tetapi bukan STEM.
Penekanan kemahiran aras tinggi
Tatkala kita bercakap mengenai kepentingan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), kecerdasan pembuatan (AI), Internet of Things (IoT) serta keperluan untuk menggarap kemahiran dalam pelbagai bidang sains dan teknologi yang pesat membangun, kemerosotan minat generasi muda terhadap bidang ini sangat membimbangkan. Perkara ini bakal mencetuskan masalah besar untuk Malaysia mencapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Pendidikan STEM banyak memberi penekanan kepada aspek kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di mana komponen ini dilihat dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan pelbagai masalah kompleks melalui pengetahuan dalam bidang komunikasi, kerjasama berpasukan, kreativiti dan pemikiran kritikal.
Kepentingan bidang STEM untuk memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat sudah tidak boleh disangkal lagi. Namun persoalan utama sekarang ialah bagaimana kita boleh memupuk minat anak-anak terhadap bidang STEM sekali gus bersedia menghadapi cabaran dan ketidaktentuan pada masa hadapan?
Dalam hal ini, ia memerlukan inisiatif tambahan daripada semua pemegang taruh untuk mencapai sasaran 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030 bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat STEM yang mencukupi sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2030. Kita perlu cari jalan untuk menghilangkan rasa takut dan fobia anak-anak terhadap subjek sains tulen seperti fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan.
Antara langkah awal yang perlu dilaksanakan segera ialah, membuat kajian semula laporan terdahulu serta memperincikan punca generasi muda tidak meminati bidang STEM. Selain itu, teliti cadangan penambahbaikan yang telah dikemukakan oleh pakar bagi menangani masalah itu. Kita tidak mahu cadangan yang dikemukakan tinggal cadangan semata-mata tanpa sebarang tindakan susulan oleh pihak yang berkaitan. Oleh itu, pasukan khas yang bakal ditubuhkan hanya perlu meneliti semua kajian lepas dan segera memberi perhatian terhadap cadangan penambahbaikan yang telah digariskan.
Penambahbaikan yang hendak dilakukan perlu dilihat dalam konteks sistem, kaedah dan silibus pengajaran serta pembelajaran, terutamanya di sekolah. Kenal pasti kelemahan dan tangani segera masalah tersebut. Dalam hal ini, pihak kementerian wajar melaksanakan sesi libat urus bersama pelajar, guru serta ibu bapa bagi mendapatkan gambaran jelas serta mendengar sendiri faktor yang menyumbang kepada kemerosotan minat pelajar terhadap bidang ini.
Pengalaman penulis sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sebuah sekolah menengah, mendapati masih ada ibu bapa yang kurang berminat dengan bidang STEM sekali gus tidak membenarkan dan tidak menggalakkan anak memilih bidang tersebut ketika memasuki Tingkatan Empat. Terdapat ibu bapa yang mengutamakan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia lebih selesa membenarkan anak mengikuti aliran selain sains dengan andaian anak mereka akan mencatatkan keputusan lebih cemerlang untuk menyambung pengajian.
Ini menunjukkan ibu bapa tidak memahami kepentingan bidang STEM untuk memacu masa hadapan anak mereka serta keperluan menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, perlu ada inisiatif untuk membetulkan mentaliti ibu bapa selain memujuk mereka memahami situasi sekali gus menggalakkan anak mereka menceburi bidang STEM. Ringkasnya, ibu bapa wajar memainkan peranan signifikan membantu meningkatkan bilangan pelajar yang mengikuti aliran STEM. Mereka perlu menjadi faktor penggalak dan pendorong kepada minat anak.
Tingkat minat terhadap STEM, perkasa peranan universiti dan sekolah
Selain itu, peranan sekolah dan universiti juga perlu diperkasa untuk menarik minat pelajar memilih bidang kritikal ini. Peranan guru khususnya di sekolah rendah perlu dipertingkatkan kerana pemupukan minat itu perlu berlaku pada usia yang lebih muda agar mudah untuk kita membentuk kecenderungan minat anak-anak umpama melentur buluh biar dari rebungnya.
Para guru perlu secara berterusan menanamkan minat pelajar terhadap bidang ini melalui pelbagai aktiviti dalam dan luar bilik darjah secara lebih kreatif. Untuk itu, infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan terutamanya di makmal perlu dipertingkatkan dan dipastikan mencukupi.
Pihak kementerian perlu meneliti perkara ini dan mengaudit semua kelengkapan infrastruktur makmal sains di sekolah di seluruh negara terutamanya di luar bandar. Hal ini penting kerana kelengkapan yang terbatas akan menyebabkan pelajar tidak dapat meneroka sepenuhnya apa yang ada dalam bidang ini sekali gus menyebabkan rasa ingin tahu pelajar tidak akan bercambah, dan minat pelajar terhadap STEM juga akan terus berkurangan.
Hakikatnya, penurunan jumlah pelajar dalam aliran STEM boleh memberi implikasi kepada universiti dan politeknik atau institusi latihan kemahiran yang bertujuan menghasilkan sumber manusia mahir dan separa mahir seperti jurutera, juruteknik, arkitek, saintis atau penyelidik. Jika ini berlaku, penawaran bakat dan modal insan untuk sektor pekerjaan bersandarkan STEM akan terjejas teruk.
Justeru, besarlah harapan kita agar masalah penurunan bilangan pelajar STEM ini dapat ditangani dengan strategi jangka pendek dan panjang yang berkesan. Sudah tiba masanya diwujudkan dasar dan pelan tindakan komprehensif mengenai STEM merangkumi proses transformasi dan penambahbaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sekali gus menjenamakan semula STEM secara menyeluruh.
-- BERNAMA
Noor Mohamad Bin Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Di Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia