TINTA MINDA

BIMBINGAN, SENTUHAN DAN PANDUAN TANGANI KES BULI DI SEKOLAH 

24/07/2023 09:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar dan Basmin Maarof

Hampir setiap orang mengalami trauma dalam tempoh usia mereka. Bagaimanapun, trauma yang dialami pada zaman kanak-kanak boleh meninggalkan kesan yang sukar dibaik pulih. Keperitan yang dialami sewaktu usia rentan boleh berkekalan hingga menghantui kehidupan dewasanya. Maka, memahami kesan jangka panjang trauma boleh mengubah keadaan.

Justeru, perkara terbaik yang boleh dilakukan selaku orang dewasa yang menjaga kanak-kanak adalah mendapatkan ilmu dan kemahiran keibubapaan atau pendidikan bagi mengasuh dan mengurus mereka dengan cara terbaik, berbekalkan sabar dan kasih sayang. Apabila perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak difahami secara baik, mudah bagi golongan dewasa mengurus mereka dengan lapang dada. Terpenting, anak-anak dapat tumbuh besar dengan lebih sempurna dan gembira.

Kes buli memberikan kesan serius terhadap mangsa, pembuli dan saksi yang mengetahuinya. Oleh itu, perbuatan ini sepatutnya mendapat perhatian dan intervensi dari awal sebelum melarat. Perbuatan membuli dikaitkan dengan niat untuk menyakiti secara mental atau fizikal secara berulang dan mahu menampakkan kuasa. Tindakan ini boleh terjadi secara depan-depan atau tersembunyi seperti dalam talian melalui media sosial menyebabkannya lebih sukar disedari.

Jangan dibiar berpanjangan

Membiarkan buli berpanjangan dengan tanggapan keadaan akan beransur pulih boleh mengakibatkan kesan yang sebaliknya. Masalah sering kali bertambah kritikal apabila dibiarkan tanpa tindakan berkesan sehingga boleh membawa kepada tragedi yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu, membiarkan kegiatan buli boleh jadi sesuatu yang membahayakan. Sebagaimana luka dirawat dengan ubat, begitu juga luka mental yang tersembunyi tetap harus mendapat perhatian yang sama.

Kanak-kanak yang dianggap lemah biasanya menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk dibuli. Mereka ini selalunya adalah kanak-kanak daripada komuniti terpinggir, keluarga miskin, dilihat lain dan berbeza, serta kanak-kanak kurang upaya. Menyaksikan anak melalui kesakitan fizikal dan emosi akibat buli boleh meruntun jiwa. Segelintir ibu bapa tidak pasti harus bermula dari mana untuk melindungi anak mereka daripada buli dan kesakitan.

Bagi kanak-kanak yang membuli, tindakan mereka salah, namun adalah penting untuk beringat bahawa mereka tidaklah jahat. Kita masih ada peluang untuk memulihkan kelakuan mereka agar kelakuan negatif ini tidak terbawa hingga dewasa. Oleh yang demikian, penting agar mereka diberikan bimbingan, sentuhan dan panduan agar mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat pula.

Tindakan negatif tersebut berkemungkinan boleh terjadi disebabkan beberapa faktor di sekeliling. Didapati kanak-kanak yang sering membuli kebiasaannya hanya mahu menyesuaikan diri, memerlukan perhatian atau caranya bertindak balas menangani emosi yang rumit. Dalam sesetengah kes, pembuli sendiri adalah mangsa atau saksi kepada keganasan di rumah atau dalam komuniti mereka. Hakikatnya, walaupun usia mereka telah menginjak umur remaja, namun perkembangan otak mereka masih membangun dan kurang kemampuan untuk berfikir secara matang seperti selayaknya orang dewasa.

Mengapa perlu intervensi?

Ketahuilah, kes buli merupakan perbuatan yang mampu mendatangkan impak sepanjang hidup dan penting untuk ditangani semasa di peringkat awal. Penyelesaiannya menjadi lebih rumit dan sukar sekiranya tiada intervensi awal dilakukan. Sudah terjadi begitu banyak kes buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengakibatkan tekanan yang teruk sehingga akhirnya membawa kepada penyakit mental.

Dalam sesetengan keadaan, tekanan yang dihadapi mangsa tidak berjaya dikesan di peringkat awal sehingga mendorong kepada suatu peristiwa di luar jangkaan. Ini terjadi kerana mangsa buli sering memendam perasaan, apatah lagi jika tiada tindakan diambil terhadap pembuli.

Perasaan yang tidak terluah atau disantuni dengan baik menyebabkan mangsa mungkin bertindak di luar batas kemanusiaan dan di luar kawalan. Maka, ibu bapa harus cakna anak yang mendakwa dibuli dan tidak memaksa anak bertahan dalam situasinya.

Selain membuat aduan kepada pihak sekolah dan pihak polis, ibu bapa harus membawa kes buli ke meja perbincangan dan bertindak memindahkan anak ke sekolah lain jika perbuatan buli berterusan dan tiada tindakan efektif diambil. Mengalah tidak semestinya kalah sekiranya boleh mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Sekali gus, ini menjadikan peranan guru sekolah sangat penting dalam memantau aktiviti buli daripada berterusan.

Mewujudkan persekitaran sekolah yang positif, penggunaan bahasa komunikasi yang positif dalam kalangan guru dan pelajar boleh membantu mengurangkan tekanan pembelajaran dan masalah yang dialami. Pentadbiran sekolah seharusnya memandang berat perbuatan buli dan mengambil tindakan tegas terhadap pembuli. Mewajibkan sesi kaunseling kepada pembuli merupakan satu daripada langkah berkesan yang boleh dibuat selain tindakan disiplin.

Peranan semua pihak

Sudah terlalu lama kanak-kanak dihidangkan dengan kekerasan dan keganasan sehingga menjadi suapan harian daripada persekitaran termasuk media sosial. Jenayah terhadap kanak-kanak oleh pelaku orang dewasa juga sangat serius di negara ini. Namun, keadaan ini boleh berubah sekiranya semua pihak bersatu dan bertekad untuk menghentikannya seterusnya bersama dan bergerak memimpin perubahan dalam masyarakat demi masa depan generasi yang lebih baik.

Perbincangan tentang kesan buli harus digalakkan dari semasa ke semasa supaya isu ini dapat diatasi secara menyeluruh. Advokasi secara berterusan harus dilakukan dengan mesej menolak kekerasan dan keganasan dan bersama kita bekerja untuk menoktahkannya. Kita semua berperanan tanpa kecuali, bermula daripada sifat terbuka dan kesediaan untuk membaik pulih keadaan.

Sekiranya golongan dewasa menghadapi kesulitan menangani hal ini, maka tentunya ia lebih sukar bagi kanak-kanak. Oleh itu, golongan dewasa harus bertindak dahulu melangkah ke hadapan, memimpin melalui teladan. Anak-anak mesti diberitahu dan mempercayai bahawa apa sahaja tindakan buli yang terjadi, mereka ada ruang selamat untuk merujuk dan bersedia untuk mendengar dan menyokong mereka. Kebiasaannya kanak-kanak sukar menyuarakan kesukaran atau bahaya yang dialami mereka. Kitalah sebagai orang dewasa yang harus menjadi suara itu.

--BERNAMA

Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar ialah Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Pakar An Nur

Basmin Maarof ialah Pegawai Jabatan Komunikasi Media Pertubuhan IKRAM Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)