Oleh: Gs. Dr Azita Ahmad Zawawi
Sejak kebelakangan ini, negara sering dikejutkan dengan laporan insiden seperti tanah runtuh dan kepala air di kawasan rekreasi. Kurang sebulan insiden kepala air di Kuala Kubu Baharu, Selangor, kita dikejutkan pula dengan insiden terkini di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu. Situasi ini pastinya telah mengundang perasaan trauma dalam kalangan pengunjung dan masyarakat setempat.
Langkah-langkah Mitigasi
Kepala air adalah fenomena yang biasa berlaku disebabkan oleh faktor semulajadi apabila terdapat peningkatan isipadu dan halaju aliran air sungai secara mendadak berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Limpahan air dengan kuantiti yang tinggi ini mampu menyebabkan kemusnahan harta dan mengancam nyawa sesiapa yang berada dalam laluannya.
Masyarakat terutamanya penduduk setempat, pengunjung dan pengusaha kawasan rekreasi berhampiran sungai yang menawarkan ruang perkhemahan, perkelahan dan rekreasi air perlu diberi kesedaran tentang risiko fenomena kepala air supaya langkah-langkah mitigasi dapat dilakukan dengan efisien. Fenomena alam ini tidak dapat dielakkan, oleh itu keselamatan awam perlu diutamakan dalam perancangan ruang rekreasi.
Antara perkara yang boleh dilakukan oleh pengusaha kawasan perkhemahan adalah:
Meningkatkan pengetahuan tentang ciri-ciri geografi kawasan terutamanya takat paras air tertinggi. Pengetahuan dan kesedaran adalah perkara asas pengurusan risiko. Kenal pasti ciri-ciri persekitaran dan mengambil cakna tentang insiden lampau sangat kritikal bagi menjamin persekitaran rekreasi yang selamat. Dapatkan rekod paras air tertinggi di sungai berhampiran, fahami pola kenaikan paras air dan pemantauan berkala perlu dilakukan secara aktif. Perkongsian maklumat antara komuniti, pengusaha, agensi dan jabatan kerajaan juga akan membantu meningkatkan kesiapsiagaan dalam perancangan kawasan dan pengurusan risiko.
Mengutamakan ciri-ciri keselamatan dalam perancangan kawasan
Keselamatan dan aksesibiliti adalah antara prinsip utama perancangan kawasan rekreasi. Setiap kawasan perkhemahan perlu mempunyai tempat berkumpul bagi koordinasi kecemasan. Tapak khemah dan parkir perlu diperuntukkan di tempat tinggi dengan permukaan tanah yang kukuh bagi mengelakkan kemusnahan dan kerugian harta benda sekiranya kawasan dinaiki air.
Selain itu, zon penampan antara tapak perkhemahan dan tebing sungai perlu diwujudkan. Papan tanda peringatan perlu diletakkan bagi meningkatkan kesedaran pengunjung. Laluan keluar dan masuk perlu dipastikan sentiasa lapang bagi membolehkan aktiviti pengurusan bencana dilakukan.
Integrasi Teknologi
Optimumkan penggunaan teknologi dan aplikasi digital seperti ‘myCuaca’, dan ‘Penggera Hujan’ bagi membantu perancangan aktiviti rekreasi, terutamanya pada musim monsun. Pengusaha atau Kerajaan Tempatan juga boleh membangunkan sistem amaran setempat berpandukan takat paras air sungai atau intensiti hujan setempat. Sebagai contoh, Sistem Amaran Banjir dan Kepala Air (SABKA) telah dibangunkan di kawasan Gunung Jerai, Kedah bagi memberi amaran awal kepada penduduk untuk membuat persediaan jika berlaku limpahan air melebihi paras biasa.
Sistem amaran seperti penggera kecemasan amat ktitikal bagi meningkatkan kepekaan serta-merta pengunjung terhadap ancaman semasa. Pastinya pengunjung akan berasa lebih selamat dan yakin akan prosedur pengurusan keselamatan dan kecemasan yang diamalkan operator rekreasi.
Patuhi undang-undang dan saranan pihak berwajib
Aktiviti rekreasi dan perkhemahan pada musim monsun masih boleh dijalankan dengan selamat dengan adanya perancangan dan pengurusan yang teliti. Pihak pengusaha kawasan rekreasi dan pengunjung perlu memastikan arahan pihak pengurusan bencana tempatan dipatuhi. Amaran cuaca buruk yang disebarkan melalui laman web, dan saluran utama media masa tempatan perlu difahami dan disusuli pelan tindakan pengurusan. Pengusaha perlu bersedia untuk menghentikan operasi serta merta sekiranya diarahkan, terutamanya bagi lokasi berhampiran sungai, atau kawasan rendah.
Tidak dinafikan aspek keselamatan persekitaran terletak pada bahu pengusaha, namun kesedaran pengunjung, masyarakat setempat, dan pengusaha kawasan rekreasi perlu dipertingkatkan. Usahasama antara pengusaha, pihak bewajib dan pembuat dasar perlu diteruskan. Elakkan kejadian tidak diingini bagi mendapatkan pengalaman rekreasi yang berkualti.
--BERNAMA
Gs. Dr. Azita Ahmad Zawawi, Pensyarah Kanan, Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM