Oleh: Hamdan Hj Abu
Setiap tahun pada minggu ketiga bulan Ogos, lebih daripada 500 buah rumah api daripada 95 buah negara di dunia akan dibuka untuk dikunjungi orang ramai terutama penggiat radio amatur. Aktiviti ini dikenali sebagai Hujung Minggu - Rumah Api dan Kapal Api Antarabangsa (International Lighthouse Lightship Weekend – ILLW) dan kini sangat popular sebagai acara tahunan di seluruh dunia.
Program ILLW pertama kali bermula di Scotland pada 1998. Atas kejayaannya, acara ini telah berkembang menjadi perhimpunan antarabangsa kepada penggiat radio amatur. Untuk mengendalikan ILLW, semua peserta perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditentukan di peringkat antarabangsa.
ILLW tingkat kesedaran dan pemahaman
Antaranya, lokasi rumah api mestilah yang telah didaftarkan dan mempunyai tanda isyarat panggilan khas untuk radio amatur yang diperakui oleh agensi kawal selia di negara masing-masing. Selain itu, ILLW mesti dijalankan pada minggu ketiga bulan Ogos dan dilangsungkan selama dua hari atau tidak kurang daripada 48 jam.
Program ILLW juga menggalakkan pemilik rumah api membuka rumah api atau stesen lampu mereka kepada orang ramai. Tujuannya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya warga maritim mengenai rumah api, kapal suar cahaya dan peralatan navigasi di samping memupuk sikap memelihara warisan maritim.
Rumah api ialah sebuah menara berbentuk selindir bulat atau octagon berketinggian tertentu yang sangat penting kepada navigasi pelayaran kapal. Kebanyakannya dibina di kawasan berbukit atau di tebing bukit berhampiran pantai. Terdapat juga rumah api yang dibina di tengah lautan. Tanpa rumah api, jurumudi atau nahkoda kapal mungkin sukar untuk belayar dan boleh menyebabkan kapal tersasar daripada laluan, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Lebih membimbangkan tanpa lampu rumah api, boleh memungkinkan berlaku tragedi di laut yang tidak diingini.
Bukti sempadan maritim
Di Malaysia terdapat 43 buah rumah api dengan 14 daripadanya di Semenanjung, Sabah (22) dan Sarawak (7). Rumah Api di negara ini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Malaysia (JLM).
Rumah api mempunyai peranan yang besar kepada perairan maritim. Oleh itu, pentingnya sesebuah rumah api dilengkapi peralatan yang cukup dan terkini di samping petugas setiap masa. Peralatan terpenting pada sesebuah rumah api ialah radar, lampu rumah api yang memberikan panduan kepada kapal di laut dan juga peralatan radio komunikasi.
Rumah Api Gereja St Paul di Bukit Melaka yang dibina oleh Portugis misalnya merupakan antara rumah api yang tidak lagi digunakan. Penggantinya ialah rumah api Pulau Undan yang dibina oleh British pada 1879 dan siap pada 1870. Rumah Api Pulau Undan memberikan panduan kepada semua kapal yang belayar di Selat Melaka.
Kini, rumah api di Bukit Melaka peninggalan Portugis itu telah menjadi harta warisan di bawah tanggungjawab Perbadanan Muzium Melaka apatah lagi kedudukannya di lokasi Kota Farmosa yang popular dalam kalangan pelancong. Rumah api yang tertua di negara kita ialah Rumah Api Cape Rachado yang dibina pada 1819 terletak di Tanjung Tuan, Melaka berhampiran Port Dickson.
Secara umumnya, orang ramai tidak mengetahui secara tepat bangunan rumah api, apatah lagi peranan serta fungsinya. Disebabkan kekurangan pemahaman itu, program ILLW juga berupaya menggalakkan kesedaran awam tentang rumah api dan kapal rumah api (kapal suar). Di samping itu dapat menyedarkan mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemulihan sebagai warisan maritim bagi rumah api yang tidak digunakan.
Rumah api bukan sekadar memudahkan pergerakan kapal, malah ia menjadi bukti bertanda bahawa kawasan itu adalah di dalam perairan atau sempadan negara tertentu. Kedudukan geografi sesebuah rumah api ditunjukkan di dalam peta maritim sesebuah negara.
ILLW 2023
Di samping memberi kesedaran mengenai rumah api, ILLW juga bertujuan mempromosikan penggunaan radio dua hala, khususnya radio amatur di serata dunia. Pada masa sama, melalui acara tahunan ini, penggiat radio amatur tempatan boleh mempromosikan negara kita kepada dunia luar serta memupuk perhubungan muhibah di peringkat antarabangsa. Malah, usaha ini sudah dilakukan oleh pengiat radio amatur negara kita sejak sebelum tahun 1998 lagi menerusi acara ILLW.
Pada tahun ini, sempena ILLW 2023 sebanyak lapan buah rumah api di negara ini dibuka untuk kunjungan ramai. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh penggiat radio amatur di Malaysia untuk mengaktifkan stesen radio amatur dan berkomunikasi dengan penggiat radio amatur antarabangsa.
Untuk tujuan pengaktifan stesen radio amatur di rumah api, MARTS yang merupakan satu-satunya organisasi yang mewakili Malaysia yang diiktiraf oleh International Amateur Radio Union (IARU) akan menguruskan permohonan isyarat panggilan (callsign) khas kelab atau individu yang berminat. Permohonan itu akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Rumah Api yang terlibat menjayakan ILLW pada tahun ini ialah Rumah Api One Fathom Bank (OFB) di perairan Selat Melaka, terletak kira-kira 43 batu nautika (79.6 km) ke Pelabuhan Klang dengan menggunakan isyarat panggilan 9M4LHO.
Rumah Api yang lain ialah Rumah Api Bukit Pulai Terengganu (9M4LHT), Rumah Api Fort Cornwallis, Pulau Pinang (9M4LFC), Rumah Api Tumpat, Kelantan (9M4LTK), Rumah Api Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang (9M4LHC) dan Rumah Api Bukit Puteri, Terengganu (9M4LHT).
Dua buah lagi yang terpilih ialah Rumah Api Altinsburg, Kuala Selangor (9M4LHB) dan Rumah Api Bukit Segenting, Johor (9M4LHJ).
Tidak seperti rumah api di tempat lain, mengendalikan stesen radio di OFB yang terletak di tengah laut lepas terpaksa melalui beberapa masalah yang mencabar seperti kos penyewaan bot yang agak mahal, membawa keperluan harian termasuk air minuman serta perlu menghadapi perubahan cuaca yang di luar jangka. Berdasarkan pengalaman penggiat radio amatur, kadar sewa bot dua hala ke OFB boleh mencecah sehingga RM3,000.
Ahmad Husaini Marzuki yang mengetuai pasukan radio amatur di Rumah Api OFB, Kelang berkata, disebabkan masalah seperti itu, sukarelawan radio amatur tidak selalunya berkemampuan untuk megaktifkan stesen radio di situ pada setiap tahun atau pada acara-acara khas yang lain.
“Kali terakhir, stesen radio amatur sempena ILLW diaktifkan di OFB ialah pada 2015 dan pada 2023, pasukannya menghabiskan kira-kira RM4,000 untuk sewaan bot dan juga bekalan makanan serta peralatan guna habis untuk tempoh dua hari. Hanya penggiat radio amatur yang tegar dan bersemangat sahaja sanggup mengorbankn wang ringgit untuk melayan acara ini. Namun akan terhasil kepuasan kerana kami dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa”, katanya.
One Fathom Bank
Stesen One Fathom Bank pada asalnya beroperasi dalam sebuah kapal ringan pada 1852 sebelum sebuah rumah api cerucuk skru kekal dibina pada 1874. Dalam tempoh itu operasi rumah api tersebut telah diganti sebanyak dua kali iaitu pada 1907 dengan rumah api cerucuk konkrit. Pada 1999 rumah api moden yang lebih besar dibina pada kedudukan selari dengan rumah api yang sedia ada pada jarak 600 meter.
Kemudiannya, rumah api itu telah dirujuk sebagai Rumah Api One Fathom Bank "lama" dan Rumah Api One Fathom Bank "baharu" atau nama kebangsaannya Rumah Api Permatang Sedepa.
Oleh kerana kedudukannya yang jauh di tengah laut, kedua-dua rumah api tersebut hanya boleh diakses dengan bot atau kapal. Walaupun kawasan rumah api merupakan kawasan larangan tetapi ia masih boleh didatangi oleh pelaut terutama ketika dalam kecemasan. Namun, menara rumah api tidak boleh dimasuki oleh orang awam kerana di situ terdapat berbagai peralatan penting seperti peralatan radio dua hala dan peralatan navigasi yang berbagai-bagai.
Rumah Api ini menjadi persinggahan para pelaut, nelayan, pemancing, kapal besar dan kecil sama ada untuk berehat, berteduh daripada angin atau ombak besar dan lain-lain. Kapal dagang besar yang mengalami masalah juga singgah di One Fathom sama ada untuk mendapatkan bantuan, membaiki atau lain-lain.
Rumah api ini dikelaskan sebagai menara cerucuk konkrit dengan ketinggian 43 meter. Ia berbentuk menara silinder dengan balkoni dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi, surau, dapur, ruang tamu, ruang solat dan pejabat.
Operasi rumah api dikendalikan oleh kakitangan Jabatan Laut dikenali sebagai Pembantu Laut (Nama lama, Penjaga Rumah Api). Mereka bekerja 24 jam sehari secara bergilir-gilir. Antara tanggungjawabnya memastikan lampu rumah api sentiasa berkeadaan baik. Bergantung kepada ketinggian sesuatu rumah api, lazimnya lampu rumah api yang berkelip boleh dilihat oleh kapal-kapal sejauh kira-kira 23 batu nautika (42 km).
Dari aspek sejarah pula, pada pertengahan abad ke-19, John Turnbull Thomson, seorang juruukur hidrografi British melaporkan, One Fathom Bank ialah sebuah beting yang terletak di Selat Melaka, antara Beting Pasir Utara dan Beting Pasir Selatan sejauh 30 kilometer ke barat daya Delta Klang di Selangor (Delta Klang dirujuk sebagai muara sungai)
Pada peringkat awal tinjauan, beting itu sentiasa dirujuk sebagai Bank 2 dan 1/2 Fathom. Ia dinamakan begitu untuk menggambarkan tebing pasirnya yang hanya boleh dilihat atau muncul semasa air surut pada kedalaman air kurang daripada 4.6 meter.
Kegilaan Pemancing
One Fathom Bank terletak di tengah laluan kapal kira-kira 43 batu nautika dari jeti Pelabuhan Klang. Rumah Api ini menjadi nadi utama pergerakan kapal yang menyusuri Selat Melaka. Sekitar rumah api ini juga terdapat sebuah lubuk bangkai kapal karam yang tersadai di beting pasirnya. Kawasan inilah yang menjadi tumpuan ikan dan menjadi kegilaan pemancing. Bagaimanapun, para pemancing yang hendak memancing di mana-mana rumah api perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Laut sebelum melaksanakan aktiviti di Kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
Hamdan Hj Abu merupakan Penyelaras Komunikasi Kecemasan dan Bencana, Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS)