SALAM DARI BEIJING

GEMERLAPAN ACARA PERASMIAN SUKAN ASIA KE-19 DI HANGZHOU

04/10/2023 01:26 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurhafizah Tan

Salam dari Beijing....

Jika minggu lepas penulis dan peserta Program China Asia Pacific Press Center 2023 dibawa mengunjungi Chengdu, kali ini rezeki kami untuk menjejak kaki ke Zhejian, wilayah kedua dilawati peserta dari negara Asia Pacifik ini sejak tiba di Beijing pada hujung Julai lepas. Lawatan lima hari ini diadakan bersempena acara perasmian Sukan Asia Ke-19 bertempat di ibu kota wilayah tersebut iaitu Hangzhou.

Ini merupakan pengalaman kali pertama penulis melihat acara pembukaan sukan berprestij seperti ini secara berdepan. Lebih mengujakan, apabila peluang ini dapat dirasai di negara asing. Selepas menaiki pesawat dari Beijing hampir tiga jam, kami akhirnya tiba di Hangzhou Xiaoshan International Airport sekitar pukul 1.35 petang. Sejurus tiba, kehangatan suasana Sukan Asia Ke-19 sudah dapat dirasai dengan paparan logo acara tersebut yang diletakkan di merata ruangan lapangan terbang.

Selain 'disambut' tiga maskot comel Sukan Asia Hangzhou berwarna biru, kuning dan hijau yang dinamakan Chenchen, Congcong dan Lianlian, tetamu juga disajikan dengan pameran beberapa peralatan antaranya Dragon Boat dan Canoe Sprint yang digunakan dalam acara sukan. Apabila tiba di hotel Crowne Plaza, sekali lagi kami disambut Chenchen, Congcong dan Lianlian. Tiga maskot comel ini berada di merata pelusuk ibu kota tersebut termasuk di landskap jalan raya serta pelbagai pintu masuk tempat tumpuan pelancong.


The 2022 Hangzhou Asian Games official mascots named (from left) Chenchen, Congcong and Lianlian on showcase at the media centre, Hangzhou.

Dari tingkap hotel, penulis sudah dapat melihat keindahan seni bina Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou yang direka bentuk seakan bunga teratai, terletak kira-kira dua kilometer dari tempat penginapan kami. Pemandangan stadium yang juga diberi nama julukan Teratai Besar atau Lotus Bowl lebih indah lagi pada waktu malam kerana dimeriahkan dengan pantulan cahaya berwarna biru dan ungu. Melihat betapa gah nya seni bina stadium yang mampu memuatkan 80,000 orang itu, penulis dapat menjangkakan tentunya acara pembukaan sukan tersebut akan berlangsung meriah dan luar biasa.

Acara perasmian sukan tersebut dijadualkan pada 23 September iaitu pada hari ketiga lawatan. Kami mula bergerak sekitar pukul 2 petang, dimulakan dengan lawatan di pusat media.

APA KHABAR KAWAN

Perkara pertama yang dilakukan penulis adalah menghubungi Ketua Meja Sukan Bernama, iatu R.Vikneswaran yang bertugas membuat liputan selama tiga minggu di situ. Turut bertugas bersama Vikneswaran adalah wartawan sukan Ahmad Nazrin Syami Mohamad Arif, jurufoto Muhammad Mustaqim Khairudin dan juruvideo Bernama TV Mohd Hafiz Kamal. Seronok rasanya dapat bertemu, berbual dan bertanya khabar dengan rakan dari negara sendiri, terlupa sebentar yang masing-masing sedang berada di perantauan.

Sempat juga penulis berseloroh yang lawatan penulis ke situ hanya bertujuan memberi sokongan kepada media Malaysia untuk memberi liputan berita terbaik kepada negara, dan bukannya menyertai mereka bertugas. Ya, memang rasa sedikit aneh dan timbul 'rasa bersalah' menjadi pengamal media yang datang membuat lawatan ke pusat media, ketika wartawan lain sibuk membuat liputan berita.

"Tak apa, just enjoy the night," pesanan Vikneswaran mengurangkan sedikit rasa janggal tersebut. Hanya sempat berbual kira-kira 10 minit, kumpulan kami yang terdiri daripada 35 peserta dari negara Asia Pacific dan Afrika serta dua peserta dari negara Arab perlu bersedia untuk program lain sebelum bergerak ke stadium. Kami perlu menaiki bas disediakan penganjur dan perlu menjalani beberapa proses pemeriksaan keselamatan , sebelum dibenarkan menuju ke stadium.

Di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, kami ditempatkan di tempat duduk disediakan petugas media yang terletak di barisan hadapan. Penonton yang majoritinya terdiri daripada penduduk tempatan memenuhi tempat duduk, bersedia untuk memberi sokongan kepada kontinjen China, khususnya.

Manakala, beberapa peserta program kami yang merupakan wartawan stesen televisyen dan tidak mempunyai wakil dari agensi berita mereka mengambil kesempatan untuk membuat lintas langsung bagi berkongsi suasana sebelum acara itu bermula.

SEMANGAT SATU ASIA

Acara pembukaan bermula dengan persembahan dinamakan "Water in Autumn Glow" bersempena waktu temasya sukan benua itu dirasmikan, iaitu pada Qiufen, Ekuinoks Musim Bunga di China yang jatuh pada hari pembukaan tersebut.

Perbarisan 45 negara yang bertanding dalam temasya sukan benua itu bermula selepas bendera negara tuan rumah dibawa masuk dan lagu kebangsaan Negara Tembok Besar itu berkumandang dengan kontinjen Afghanistan yang pertama masuk ke dalam stadium menurut turutan abjad sementara perbarisan masuk Kontinjen China menerima sorakan gemuruh daripada penonton.

Walaupun kumpulan peserta Program China Asia Pacific Press Center 2023 hanya terdiri daripada 17 peserta, kami cuba memeriah dan menaikkan semangat patriotik dengan memberikan sorakan sekuat mungkin kepada setiap kontinjen yang mewakili negara masing-masing.

Daripada 45 negara, kami mempunyai wakil peserta dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand, Nepal, Laos, Filipina, Timor Leste, Pakistan, Syria dan Kuwait. Jadi apabila nama kontinjen 11 negara ini diumumkan pengacara majlis, semua peserta program termasuk dari negara Afrika akan turut berdiri dan memberi sorakan gemuruh kepada kontinjen. Hebatnya 'kuasa sukan' yang sentiasa mampu menjadi agen mengharmoni dan menyatukan masyarakat.

Aksi kami turut mencuri perhatian media tempatan yang merakamkan sorakan kami, malah beberapa wartawan China yang duduk berhampiran kami turut serta bersorak. Paling mencuri perhatian adalah peserta yang juga wartawan dari Thailand, Phonsawan Jarupan atau lebih mesra kami panggil Poppy, yang memakai pakaian tradisional negaranya ketika membuat lintas langsung. Poppy menjadi selebriti segera paling popular malam itu dan tidak henti-henti ditemuramah media tempatan.

China menyajikan persembahan yang hebat dalam acara perasmian Sukan Asia Ke-19 yang memukau para atlet dan penonton dengan pertunjukan kebudayaan dan cahaya yang unik di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou. Pada acara pembukaan, persembahan bunga api tradisional digantikan dengan persembahan bunga api digital dengan animasi dan peralatan tiga dimensi seiring dengan ikrar Sukan Asia Hangzhou 2022 untuk menjadi Sukan Asia pertama yang neutral karbon dan menggunakan tenaga hijau.

Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dirasmikan Presiden China Xi Jinping, setahun selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, juga mencatat sejarah sebagai Sukan Asia dengan penyertaan terbesar iaitu 11,831 atlet dari 45 negara, lebih daripada 11,000 atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kira-kira 10,500 atlet untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

China memukau penonton di dalam stadium dan mereka yang menyaksikannya di skrin dari pelbagai pelosok dunia dengan persembahan bertenaga bertema “Peningkatan Arus Dalam Asia” menampilkan Sungai Qiantang dan gunung-ganang menghijau, yang merupakan mercu tanda bagi bandar raya tuan rumah.

-- BERNAMA

Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)