SALAM DARI BEIJING

MENEROKA KEAJAIBAN SENI BINA PERPUSTAKAAN TIANJIN BINHAI

15/11/2023 01:59 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurhafizah Tan

Di tengah-tengah kota Tianjin, yang terletak di wilayah Heibei, China, terdapat sebuah bangunan dengan karya seni bina yang menakjubkan, menjadikanya sebagai mercu tanda ikonik di ibu kota berkenaan.

Perpustaan Tianjin Binhai, atau juga dirujuk sebagai ‘Mata Binhai’ terletak kira-kira 135 km dari Beijing. Penulis mengetahui tentang kewujudan perpustaan ini menerusi carian di internet yang menyenaraikannya sebagai antara tempat tarikan di ibu kota itu, sekaligus menarik minat penulis untuk meneroka keajaiban seni bina gedung ilmu mega berkenaan.

Simbol inovasi dan reka bentuk moden

Direka oleh agensi seni bina dan reka bentuk bandar yang berpangkalan di Rotterdam, Belanda, MVRDV dengan kerjasama arkitek tempatan, Perpustakaan Tianjin Binhai dikatakan sebagai destinasi yang harus dikunjungi khususnya oleh peminat seni bina.

Namun, walaupun penulis bukanlah peminat seni bina, tetapi penulis amat menghargai dan mengagumi reka bentuk perpustakaan ini yang pada pandangan penulis telah mentakrif semula konsep tradisional ruang perpustakaan yang biasanya kita lihat.


Tianjin Binhai Library, Tianjin, China

Perpustakaan yang juga pusat kebudayaan ini siap pada 2017 dan mempunyai keluasan 33,700meter persegi. Ciri futuristik Perpustakaan Tianjin Binhai terletak pada auditorium sfera gergasi di tengah-tengah bangunan lima tingkat itu yang kelihatan seperti mata. Sfera berkenaan dikelilingi rak buku dari lantai ke siling sebagai ruang utama. Berlatarkan warna putih, rak buku bertingkat dan bertangga direka bentuk secara beralun, menyuntik elemen kontemporasi dalam seni binanya.

Perpustaan Tianjin Binhai ini boleh dikatakan syurga bagi peminat buku kerana keseluruhan buku yang ditawarkan di situ dianggarkan sebanyak 1.2 juta naskhah!


Tianjin Binhai Library, Tianjin, China

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata buku yang disediakan adalah dalam bahasa Cina dalam pelbagai genre. Perpustakaan ini juga diwujudkan bukan sahaja sebagai pusat pendidikan, tetapi juga ruang sosial dan penyambung dari taman ke daerah kebudayaan.

Bangunan lima tingkat itu mengandungi pelbagai kemudahan pendidikan, termasuk ruang perkhidmatan bawah tanah, penyimpanan buku dan arkib yang besar. Dari tingkat bawah pelawat juga boleh mengakses kawasan bacaan untuk kanak-kanak dan orang tua, auditorium dan rak buku bertingkat.

Tingkat satu dan dua terdiri daripada bilik bacaan, buku dan ruang rehat manakala tingkat atas mempunyai bilik mesyuarat, pejabat, bilik komputer dan audio serta dua teres atas bumbung. Kompleks ini dibina bertujuan sebagai titik persimpangan antara daerah pusat perniagaan (CDB), bandar lama, daerah perumahan dan kawasan komersial.

Bergambar Atau Membaca?

Seperti mana penulis dan rakan-rakan yang mengunjungi untuk melihat sendiri keunikan seni bina pusat tersebut selain merakamkan gambar, penulis mendapati pengunjung lain yang terdiri daripada warga tempatan yang berusia sekitar 15 ke 35 tahun juga datang untuk tujuan sama. Malah bilik yang terletak di bahagian belakang auditorium dengan kemudahan meja juga tampak kosong jika dibandingkan dengan ruangan utama yang dipenuhi pengunjung yang asyik merakam gambar.

Situasi ini membuatkan penulis tertanya-tanya, adakah matlamat dan fungsi asal perpustakaan sebagai pusat rujukan maklumat itu masih kekal? Adakah ia masih relevan memandangkan lebih ramai pengunjung yang lebih berminat untuk bergambar daripada membaca buku yang disediakan di situ.

Perpustakaan Tianjin Binhai bukan perpustakaan insta-worthy popular pertama yang penulis kunjungi. Di Korea Selatan misalnya, terdapat sebuah perpustakaan dinamakan Starfield Library yang terdapat di satu sudut pusat membeli-belah juga popular sebagai latar bergambar di media sosial.

Walaupun tiada tempat tarikan lain berhampiran, pengunjung sanggup datang semata-mata untuk bergambar di situ yang seolah-olah telah menjadi tempat wajib kunjung di Seoul. Namun, ia tidaklah setanding dengan Perpustakaan Tianjin Binhai yang bersaiz lebih besar dan berfungsi khusus ini.

Di Malaysia juga terdapat beberapa perpustakaan yang gemar dijadikan latar bergambar antaranya L45 Perpustakaan Komuniti Kurau (Kurau Community Library) di Bangsar, Kuala Lumpur namun tidaklah bersaiz mega dan hanya melibatkan beberapa sudut.

Timbul juga persoalan sejauh mana kecantikan seni bina sesebuah perpustakaan yang berjaya menarik kunjungan golongan muda ini mampu mempromosikan budaya membaca. Mungkin tiada statistik atau kajian dilakukan, tetapi pada pandangan penulis sekurang-kurangnya inisiatif seperti ini boleh mengangkat martabat perpustakaan sebagai pusat ilmu.

Secara tidak langsung, ia berupaya mengubah persepsi golongan muda yang mungkin menganggap pusat tersebut sebagai tempat yang membosankan kepada lebih 'cool'.

Amalan Membaca, Buku, Dan Digitalisasi

Menurut laporan Xinhua pada April, budaya membaca dalam kalangan orang China menunjukkan peningkatan yang berterusan dengan purata 4.78 buku bercetak dan 3.33 e-buku bagi setiap orang dewasa pada 2022, kedua-duanya lebih tinggi sedikit berbanding angka dari 2021. Laporan itu berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Akademi Akhbar dan Penerbitan Cina (CAPP).

Selain daripada peningkatan bilangan buku bercetak yang dibaca, tinjauan itu menunjukkan 45.5 peratus lebih suka membaca buku bercetak berbanding penerbitan digital. Selain itu, mendengar buku audio merupakan satu lagi tabiat yang semakin meningkat dalam kalangan pembaca Cina, dengan 35.5 peratus orang dewasa mengatakan mereka sudah biasa mendengar buku audio.

Xinhua juga melaporkan perkhidmatan membaca awam terus memenuhi keperluan pembaca Cina, kerana 78.2 peratus daripada yang dikaji berpuas hati dengan perkhidmatan perpustakaan awam dan 72.5 peratus berpuas hati dengan pengalaman mereka di perpustakaan komuniti atau layan diri.

Di Malaysia pula, menurut data kajian interim oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), budaya membaca kekal rancak dan terus berkembang walaupun menghadapi cabaran penerbitan digital. Menurut kajian itu, setakat Mei tahun ini, rakyat Malaysia membaca purata 20 buku setiap tahun, berbanding 15 buku pada 2014.

Objektif utama PNM adalah untuk menggalakkan literasi dan membaca, menyediakan akses kepada maklumat melalui koleksi sumber yang luas yang merangkumi pelbagai subjek, membolehkan orang ramai meneroka pelbagai topik dan mengembangkan pengetahuan mereka.

Perpustakaan itu baru-baru ini mengalami peningkatan yang stabil dalam bilangan pelawat dari April hingga Jun 2023.

Jadi anda rasa sejauh mana kecantikan seni bina sesebuah perpustakaan mampu mempengaruhi dan menggalakkan amalan membaca?

-- BERNAMA

Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)