TINTA MINDA

MEMPERKUKUH MUTU PERKHIDMATAN PENJAWAT AWAM MELALUI TEKNOLOGI TERKINI

15/01/2024 09:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor Dr Rusli Abdullah

Penggunaan teknologi maklumat khususnya teknologi terkini dalam kalangan penjawat awam bukan lagi perkara asing atau baharu terutamanya dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna atau rakyat pada setiap masa tanpa mengira di mana mereka berada.

Dalam hal ini, penggunaan teknologi terbaharu yang dikaitkan dengan penggunaan teknologi revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0) seperti sistem kecerdasan buatan, teknologi data raya dan rangkaian pengkomputeran awan dilihat dapat membantu memperkukuhkan mutu perkhidmatan sektor awam khususnya kepada penjawat awam yang menjadi tunggak atau nadi utama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan berkesan.

Di samping itu, penggunaan teknologi terbaharu juga dapat memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat diperkukuhkan melalui transformasi digital bagi setiap urusan yang melibatkan rakyat. Ini termasuk urusan yang melibatkan penggunaan sistem aplikasi di pejabat yang menggunakan kaedah konvensional dapat diautomasikan dengan sistem pintar melalui penggunaan teknologi terbaharu IR4.0 tersebut.

Seterusnya, peranan penjawat awam juga boleh dilihat dalam konteks pengurusan dan maklumat lain yang disimpan dalam pangkalan data raya yang juga boleh dianalisis serta dipersembahkan kepada mereka yang terlibat secara masa nyata (real time).

Keadaan itu membolehkan penjawat awam mengetahui tentang data dan maklumat yang terkini supaya tahap kesediaan untuk membuat keputusan bagi menghadapi sebarang bentuk bencana seperti kebakaran, kemalangan dan sebagainya dapat diatasi dan ditangani dengan baik dan bersistematik.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan juga boleh mendapatkan maklum balas dengan cepat terhadap mutu perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka melalui sistem itu yang dihubungkan dengan pengkomputeran awan iaitu sama ada secara setempat atau global atau kedua-duanya sekali.

Peranan teknologi terkini

Peranan teknologi terkini dalam pengurusan dan perkhidmatan penjawat awam dikaitkan dalam pelbagai kontek sistem pengurusan maklumat utama (SPMU) terutamanya bagi memperkukuhkan program atau fungsi penjawat awam tersebut yang merangkumi fungsi bagi meningkatkan penyelarasan antara jabatan dan mempercepatkan membuat keputusan. Ini termasuk sistem yang dilengkapi dengan sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi data raya bagi memaklumkan dan menghantar notifikasi kepada mereka yang berkepentingan melalui penggunaan aplikasi mudah alih yang dapat dicapai di mana-mana dan pada setiap masa.

Kewujudan SPMU itu juga dapat dimanfaatkan untuk berfungsi menyimpan semua rekod harian atau rutin bagi keperluan mereka dalam pangkalan data raya terutamanya menerusi transformasi digital bagi tujuan perancangan, perolehan, penggunaan dan segala aspek yang berkaitan.

Di dalam hal ini, proses perolehan barangan dan perkhidmatan bagi penjawat awam juga boleh dimanfaatkan melalui sistem aplikasi SPMU yang disambungkan dengan sistem pembekal melalui sistem rantaian pembekalan bagi tujuan perolehan dan pembayaran kepada penerima dengan mudah dan berkesan.

Penggunaan sistem aplikasi

Penggunaan sistem aplikasi turut dilihat dapat mempertingkatkan fungsi kawalan ekosistem dan sistem pemantauan penjawat awam seperti percutian dan kerja luar melalui sistem aplikasi dan peranti bergerak seperti dron dan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan sistem dalam talian di rangkaian komputer terkini iaitu sistem telekomunikasi 5G.

Seterusnya, sistem pengumuman bagi keadaan atau peristiwa tertentu juga dapat dihebahkan kepada mereka yang berkepentingan melalui sistem pintar yang menggunakan teknik atau teknologi AI yang membolehkan pengguna membuat tindakan awalan dan mengambil langkah tertentu bagi menghadapi permasalahan yang mungkin timbul.

Sementara itu, program atau aktiviti tambahan di pejabat dapat dimanfaatkan dan diikuti dengan sambungan kepada sistem utama dengan mempelbagai program tertentu seperti program pendidikan dan hiburan melalui teknologi realiti maya (Virtual Reality - VR).

Isu dan cabaran penjawat awam

Dalam penggunaan teknologi terbaharu bagi memperkukuhkan mutu perkhidmatan penjawat awam, terdapat beberapa isu dan cabaran yang perlu diberi penekanan teliti di samping membuat perancangan dan keputusan yang strategik bagi ditangani oleh pihak yang berkepentingan dengan sektor awam berkenaan.

Ini termasuk, isu utama yang melibatkan penyediaan infrastruktur yang baik bagi memastikan pengurusan dan perkhidmatan diperolehi melalui sistem dalam talian dan juga melalui sistem aplikasi mudah alih yang disambungkan dengan sistem utama yang berfungsi pada bila-bila masa dan dicapai di mana-mana sahaja.

Selain itu, mereka yang terlibat dengan sistem utama bagi pengurusan dan perkhidmatan juga perlu bersikap terbuka dalam meningkatkan tahap pengetahuan (upskilling) dengan menghadiri latihan dari semasa ke semasa terutamanya yang melibatkan penggunaan teknologi terbaharu yang sentiasa berubah supaya mutu perkhidmatan sistem itu dapat dilestarikan dan menjadi lebih kompetitif.

Isu privasi data dan penggunaan sistem yang beretika juga perlu dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Ini kerana ianya akan memberi nilai tambah kepada sistem utama dan meningkatkan kepercayaan mereka yang terlibat untuk tujuan pelaksanaan pada masa terdekat atau panjang.

Di samping itu, pihak yang berkepentingan perlu memastikan proses pendigitalan juga berlaku secara inklusif terutamanya bagi memastikan semua pihak mengharungi arus perdana penggunaan teknologi terbaharu yang terkini dapat mencapai sasaran tertentu dan berjalan dengan berkesan dan lancar.

Kemunculan teknologi terkini mengubah norma pengurusan dan perkhidmatan

Kesimpulannya, penggunaan teknologi terkini dilihat sangat berupaya dalam memperkukuhkan pengurusan dan perkhidmatan penjawat awam ke tahap yang lebih baik terutamanya bagi memastikan semua urusan dapat dilaksanakan dan diselenggarakan secara digital dengan berkesan.

Kemunculan teknologi terkini itu juga akan mengubah norma pengurusan dan perkhidmatan yang lama atau konvensional kepada norma pengurusan dan perkhidmatan baharu yang menekankan kepada aspek atau urusan yang lebih berbentuk pendigitalan yang lebih terurus dan bersistematik.

-- BERNAMA

Profesor Dr Rusli Abdullah ialah Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), ahli pemikir di Institut Pengajian Sosial (IPSAS), UPM dan Timbalan Pengerusi Kluster ICT, Majlis Profesor Negara.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)