TINTA MINDA

TINDAKAN PELUPUSAN QURAN SECARA TANAM DALAM MUSIM BANJIR: KEPERLUAN ATAU KESALAHAN?

22/01/2024 09:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Mohd Zahir Abdul Rahman

Kejadian bencana banjir di Malaysia kini dilihat tidak konsisten sama ada peningkatan mahupun penurunan dari tahun ke tahun bagi bilangan keluarga dan mangsa. Pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 56,624 keluarga melibatkan sebanyak 199,244 mangsa di seluruh negara terkesan dengan bencana banjir. Angka ini bukan suatu yang boleh dibanggakan malah jika dibuat kiraan secara purata sekiranya satu keluarga memiliki senaskah mushaf al-Quran di setiap rumah maka sebanyak sebanyak 56,624 naskah mushaf al-Quran perlu dilupuskan. Ini tidak termasuk koleksi mushaf al-Quran di masjid dan juga Madrasah yang tidak kurang mempunyai sejumlah al-Quran yang banyak.

Oleh yang demikian, pendekatan pelupusan Teks al-Quran secara pembakaran ketika pasca banjir dilihat kurang efisyen. Ini disebabkan faktor cuaca dan pengurusan yang kurang cekap ketika dikumpulkan Teks al-Quran yang rosak dilakukan. Maka langkah lain yang boleh dipraktikkan adalah secara penanaman agar segala pandangan mazhab dan ulama lain terhadap pelupusan al-Quran ini diharmonikan dengan lebih glokal dan bersepadu.

Kaedah yang diguna pakai pada masa kini dan kelemahan jika banjir

Benar kaedah yang diguna pakai di Malaysia dalam pelupusan al-Quran lebih kepada pembakaran sebagaimana yang difatwakan. Namun beberapa kelemahan proses ini dapat dilihat jika al-Quran tersebut dalam keadaan basah dan berlumpur akibat banjir.

Pertama: Kekurangan sukarelawan untuk proses pengeringan setiap helaian al-Quran yang basah. Proses pengeringan ini mengambil masa yang panjang. Bayangkan satu helaian kertas al-Quran memerlukan masa sehari untuk kering.

Kedua: Tiada peralatan pemanasan yang moden seperti oven besar untuk mengeringkan setiap helaian al-Quran yang basah. Kesemuanya bergantung kepada panas matahari. Sekiranya hari tersebut hujan maka proses pengeringan terpaksa ditangguhkan.

Ketiga: Tempat penggumpulan yang terhad dan kecil. Apabila proses pengeringan dilakukan setiap helaian kertas yang mempunyai ayat al-Quran perlulah dicarik-carikan dan dijemur satu per satu. Sekiranya jumlah al-Quran basah yang dterima berpuluh-puluh tan maka kawasan yang besar sangat diperlukan dalam proses ini.

Keempat: Proses pembakaran tidak dapat dilakukan sekiranya al-Quran itu dalam keadaan basah. Api sudah tentu lawanya air. Maka mustahil al-Quran itu dapat dibakar dengan efisyen sekiranya setiap helaian itu masih basah. Oleh itu, pembakaran boleh dilakukan sekiranya al-Quran itu dalam keadaan yang sudah kering.

Kelima: Kualiti kertas al-Quran kini menyebabkan pelupusan secara pembakaran mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan. Situasi ini tidak sama dengan al-Quran pada zaman dahulu yang agak nipis dan tidak tebal.

Keenam: Kesihatan sukarelawan dalam proses pembakaran. Pembakaran ayat-ayat al-Quran ini memerlukan usaha dan tempoh masa yang panjang. Sukarelawan berhadapan dengan asap dan kehangatan api ketika proses ini memungkinkan mereka terdedah dengan masalah kesihatan kelak.

Kaedah penanaman dibincang ulama

Sebenarnya kaedah penanaman merupakan salah satu dari kaedah-kaedah yang dibincangkan para ulama dalam proses pelupusan mushaf al-Quran selain dari pembakaran. Tujuan kaedah penanaman ini adalah untuk menghindari daripada pijakan dan hinaan ayat-ayat yang mengandungi kalam Allah SWT.

Syeikh Muhammad Ibrahim (1399H) dalam kitabnya Fatāwā wa Rasā’il mencadangkan agar pelupusan al-Quran diperbolehkan secara penanaman samada di masjid atau di tempat yang suci yang terhindar dari najis dan galian. Selain itu, kaedah ini merupakan qiyas kepada kaedah penanaman jasad seorang mukmin yang perlu ditanam di tempat yang terpelihara.

Justeru, satu garis panduan pelupusan al-Quran secara tanam secara jelas perlu dibangunkan di Malaysia untuk menampung kelemahan serta melengkapkan pelupusan al-Quran selain dari pembakaran.

-- BERNAMA

Dr Mohd Zahir Abdul Rahman Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)