Transformasi pendigitalan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan satu mekanisma terbaik dalam membentuk graduan yang kompeten, profesional dan mempunyai kemahiran keusahawanan.
Usaha ini mestilah dipertingkatkan dalam melahirkan graduan yang berjiwa keusahawanan dan mampu bersaing di peringkat global bagi mencapai matlamat pembangunan ekonomi sesebuah negara. Proses ini memerlukan pendekatan secara berperingkat dan berstruktur. Berikut ialah beberapa langkah yang boleh diambil untuk mencapai matlamat ini:
1. Kurikulum pendidikan berorientasikan keusahawanan
Peranan pihak universiti adalah menyediakan kursus dan program khusus yang membantu pelajar mengembangkan kemahiran keusahawanan, seperti pengurusan perniagaan, pemasaran, kewangan dan kepimpinan. Usaha ini mestilah menggabungkan kursus mengenai pasaran global, perdagangan antarabangsa dan budaya perniagaan bagi menyediakan pelajar menghadapi cabaran dalam pasaran global. Di samping itu pendedahan kepada mahasiswa dalam mengintegrasikan projek praktikal, latihan amali atau kerjasama industri dalam kurikulum untuk memberikan pengalaman praktikal dalam dunia perniagaan. Berdasarkan analisa meta, terdapat empat elemen utama telah dikenal pasti iaitu kurikulum, kompetensi, proses pengajaran dan pembelajaran serta sokongan kerjaya keusahawanan. Setiap elemen utama tersebut mempunyai sub elemen masing-masing dan semua elemen tersebut saling berhubungan antara satu sama lain. Semua elemen yang terhasil ini adalah merupakan keperluan asas yang penting dalam pelaksanaan pendidikan keusahawanan yang berkesan dalam kalangan Program Latihan Kemahiran TVET.
2. Menyokong inovasi dan penyelidikan
Pihak universiti hendaklah memperkenalkan modul atau kursus yang menekankan pemikiran kreatif, pembangunan produk dan proses inovasi dalam konteks perniagaan. Ia dapat diusahakan melalui pembangunan platform penyelidikan keusahawanan dalam institusi pendidikan untuk memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah menjalankan penyelidikan berkaitan dengan keusahawanan. Di samping itu, pihak universiti mestilah terlibat dalam menyelenggara pertandingan atau program anugerah inovasi keusahawanan untuk menggalakkan pelajar mencipta penyelesaian baharu dan mengaplikasikannya dalam projek perniagaan mereka. Persediaan para graduan ke arah peningkatan secara tahunan adalah dengan mengintegrasikan elemen keusahawanan dalam penilaian akademik dan proses pengajaran serta pembelajaran bagi memupuk sikap proaktif dan keupayaan mengambil risiko dalam kalangan pelajar. Dengan menyokong inovasi dan penyelidikan serta memperbaiki persediaan graduan dalam aspek keusahawanan, institusi pendidikan boleh memainkan peranan yang lebih penting dalam menangani cabaran global dan mendorong pertumbuhan ekonomi menerusi pembangunan keusahawanan yang mapan dan berdaya saing.
3. Pembinaan dan mentorship
Pihak universiti mestilah mempunyai perancangan dan pelaksananaan dalam menyediakan program pembangunan diri yang meliputi pembinaan kepimpinan, penyelesaian masalah dan kemahiran interpersonal untuk menyokong perkembangan holistik pelajar sebagai bakal usahawan. Program mentorship mestilah digalakkan yang mana graduan boleh mendapatkan bimbingan daripada usahawan berpengalaman atau alumni yang berjaya dalam bidang keusahawanan.
Dengan usaha yang berterusan, ia dapat menyusun rangkaian sesi perkongsian pengalaman dengan usahawan yang berjaya bagi memberikan wawasan praktikal dan inspirasi kepada graduan yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri. Dengan pendekatan pembinaan dan mentorship yang teliti serta sokongan berterusan untuk graduan, institusi pendidikan dapat memastikan pelajar yang tamat pengajian mempunyai akses kepada sumber daya dan sokongan yang diperlukan untuk memulakan perniagaan mereka dengan keyakinan dan kejayaan.
4. Pembelajaran berasaskan pengalaman
Pendedahan industri dan peluang praktikal kepada bakal graduan adalah melalui menyelenggara program pendedahan industri yang melibatkan lawatan ke syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa, seminar industri atau pameran perniagaan bagi memberi pelajar pemahaman yang lebih mendalam tentang operasi perniagaan sebenar. Di samping itu, bakal graduan mestilah diberikan tawaran peluang praktikal yang terstruktur di dalam industri kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa pengajian dalam suasana kerja yang sebenar. Program projek secara kolaboratif dengan dengan pihak industri antara graduan dan dapat menyelesaikan cabaran perniagaan sebenar yang dihadapi oleh syarikat-syarikat atau organisasi. Program pembangunan penyelidikan atau projek inovasi yang dipacu oleh industri yang melibatkan graduan sebagai ahli pasukan, memberikan mereka pengalaman praktikal dalam memecahkan masalah dan mencipta nilai dalam konteks perniagaan sebenar. Melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang melibatkan pendedahan industri yang luas dan peluang praktikal yang berharga, graduan akan dapat mengembangkan pemahaman yang mendalam tentang dunia perniagaan dan memperoleh kemahiran praktikal yang diperlukan untuk berjaya dalam karier keusahawanan mereka.
5. Pembangunan kemahiran insaniah
Program membangunan kemahiran insaniah untuk graduan sangat penting dalam mengintegrasikan modul pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi efektif, kerja berpasukan, dan kemahiran pemecahan masalah ke dalam kurikulum keusahawanan. Usaha ini juga dapat menggalakkan aktiviti luar bilik kuliah yang mementingkan kerjasama, kebertanggungjawaban dan penghayatan nilai sosial untuk membentuk sikap dan kepemimpinan yang beretika dalm kalangan graduan. Dalam aspek lain, ia dapat menyelenggara sesi pembangunan diri yang menekankan pemahaman diri, pengurusan tekanan, dan daya tahan mental untuk membantu graduan menghadapi cabaran dalam keusahawanan dengan keyakinan dan kesungguhan. Dengan penekanan yang kukuh pada pembangunan kemahiran insaniah, graduan akan tidak hanya memiliki kemahiran teknikal yang diperlukan dalam perniagaan, tetapi juga akan menjadi individu yang berdaya saing, beretika dan mampu beradaptasi dalam persekitaran perniagaan yang dinamik.
6. Penggalak kesediaan mental dan emosi
Program kesihatan mental dan kesejahteraan emosi dalaman merupakan usaha yang perlu diberikan perhatian kerana ia menyediakan sumber dan perkhidmatan kesihatan mental di kampus seperti kaunseling dan sokongan psikososial untuk membantu graduan menguruskan tekanan akademik dan mencapai keseimbangan emosi yang sihat. Ia boleh memberikan sesi kesedaran kesihatan mental dan kesejahteraan emosi yang meliputi topik seperti penjagaan diri, pengurusan stres, dan strategi pemulihan yang membantu graduan dalam menghadapi cabaran keusahawanan dengan tenang dan fokus. Di samping itu, ia juga dapat menyokong latihan dan aktiviti yang merangsang kreativiti seperti seni, muzik atau aktiviti keusahawanan bersepadu untuk membantu graduan mengekspresikan diri dan mencari penyelesaian inovatif dalam dunia perniagaan. Dengan menggalakkan kesediaan mental dan emosi yang positif dalam kalangan graduan, institusi pendidikan dapat membantu mereka menjadi lebih tangguh dan adaptif dalam menghadapi cabaran serta menjalankan perniagaan mereka dengan kejayaan.
Kesimpulannya, dalam melaksanakan langkah-langkah ini secara konsisten dan mampan, institusi pendidikan boleh melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kemahiran keusahawanan, tetapi juga mentaliti dan sikap yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia perniagaan global.
--BERNAMA
Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).