SALAM DARI BEIJING

PENGALAMAN BAHARU SERTAI FELLOWSHIP MEDIA DI CHINA

02/04/2024 10:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Siti Radziah Hamzah

Dahulu penulis pernah mendengar seseorang berkata "menjadi wartawan tidak akan membuat kamu kaya, tetapi ia akan memberimu pengalaman-pengalaman yang berharga dan tidak terduga."

Adakah ia benar? Jawapannya mungkin.

Selama tiga minggu penyertaan penulis dalam program China International Press Center 2024, penulis telah memperoleh pengalaman membuat liputan mengenai polisi luar negara dan berpeluang untuk menyertai wawancara dengan pelbagai pembuat polisi negara Tembok Besar tersebut.

Ini merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana di Malaysia, sebahagian besar dari liputan harian penulis, ia hanya tertakluk kepada liputan korporat dan ekonomi dalam negara sahaja.

Peluang untuk liputan polisi luar negara ini hadir dengan kesempatan untuk menyertai sesi tahunan yang dikenali sebagai "Two Sessions" untuk penulis memerhati dengan lebih dekat mengenai perjalanan sidang parlimen negara ekonomi kedua terbesar dunia tersebut yang berlangsung secara seminggu.

"Two Sessions" merujuk kepada mesyuarat tahunan Kongress Rakyat China (NPC) dan Jemaah Mesyuarat Konsultansi Rakyat China (Chinese People's Political Consultative Conference) (CPCC), dimana kedua-dua acara tersebut dijalankan secara serentak setiap bulan Mac di Great Hall of the People di Beijing.

Perbezaan antara sistem Malaysia dan China, yang dipengaruhi oleh struktur kerajaan dan latar belakang budaya yang berbeza, telah membawa kepada pendekatan berbeza dalam menjalankan wawancara dan menguruskan liputan akhbar.

Walaupun ramai tidak lagi memilih untuk meneruskan prosedur operasi standard COVID-19 walaupun penyakit tersebut masih berlegar dalam kehidupan kita, namun negara China masih mewajibkan ujian asid nukleik bagi pengamal media domestik dan juga antarabangsa.

Rata-rata peserta program China International Press Center 2024 termasuk penulis tidak menyangka kami diwajibkan untuk melalui prosedur tersebut sekali lagi.

Walaubagaimanapun, prosedur tersebut tidak menyakitkan kerana pengamal perubatan di negara tersebut hanya menyapu swab di bahagian pipi di dalam mulut dan gusi beberapa kali untuk mendapatkan sampel individu. Alhamdulillah, setiap peserta program tersebut dibenarkan untuk menyertai sidang "Two Sessions" tahun ini.

Apa yang menarik perhatian saya semasa sidang "Two Sessions" ialah pematuhan ketat terhadap ketepatan masa, berbeza dengan masa menunggu yang biasanya dikaitkan dengan wawancara dan sidang akhbar di Malaysia.

Sama ada pembukaan NPC, CPPCC atau sidang akhbar oleh pelbagai menteri, acara dimulakan tepat pada masanya. Para wartawan juga tiba sekurang-kurangnya sejam lebih awal untuk mendapatkan tempat duduk dan menyediakan peralatan mereka, menonjolkan profesionalisme yang tertanam dalam prosiding ini.

Penganjuran venue dan pengendalian sidang akhbar di China, bercirikan sesi soal jawab bersama media turut menawarkan perspektif baharu berbanding pengalaman Malaysia.

Di sini, sidang media bersama menteri-menteri tempatan diadakan lebih sejam dengan soalan yang dikemukakan lebih daripada 15 soalan. Adakalanya, jawapan-jawapan tersebut dilihat agak "scripted" dan ada juga dijawab secara terus.

Program China International Press Center 2024, yang difasilitasi oleh Pusat Komunikasi Akhbar Antarabangsa China (CIPCC), bertujuan untuk mengembangkan pemahaman peserta tentang pembangunan China.

Berlangsung dari akhir Februari hingga Jun, program itu, kini memasuki tahun ke-10, telah menarik lebih 100 wartawan dari lebih 90 negara di seluruh Asia Pasifik, Afrika, Amerika Latin dan Caribbean, Timur Tengah dan Tengah Eropah Timur.

-- BERNAMA

Siti Radziah Hamzah ialah wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)