TINTA MINDA

PEMUSNAHAN PESONA PULAU

24/04/2024 02:31 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Wee Hin Boo

Industri pelancongan di Malaysia merupakan sektor yang menguntungkan negara (RM 86.14 bilion pada tahun 2019), disebabkan oleh iklim tropika, kepelbagaian biodiversiti, pulau-pulau yang indah, dan kekayaan kebudayaan tempatan.

Malaysia mempunyai banyak pulau yang masih cantik, memberikan pengalaman yang eksotik dan terpencil bagi para pelawat. Pulau-pulau tersebut sangat penting bagi industri ekopelancongan Malaysia, tetapi rancangan pembangunan kebelakangan ini yang melibatkan peningkatan kapasiti pulau dan membawa pembangunan ke pulau-pulau tersebut, telah minumbulkan kebimbangan banyak pihak.

Rancangan-rancangan ini akan mengganggu ekosistem tempatan, mempengaruhi pengalaman unik yang ditawarkan kepada pelawat, dan merosakkan budaya dan warisan kepulauan. Oleh itu, ancaman kelestarian dan keaslian industri pelancongan kepulauan Malaysia amat membimbangkan, jika trend pembangunan semasa diteruskan dan tidak terkawal.

Pembangunan pelancongan tak terkawal bawa mudarat

Pembangunan pelancongan pulau yang tidak terkawal adalah memudaratkan dan akan merosakkan ekosistem dan budaya tempatan. Proses pembangunan mengganggu proses semulajadi dan ekosistem tempatan, dan pencemaran dari operasi pasca-pembangunan boleh mengganggu habitat yang berdekatan.

Selain itu, pembangunan infrastruktur dan aktiviti rekreasi yang tidak seiras dengan identiti kepulauan, akan menimbulkan persoalan identiti dan budaya kepulauan Malaysia.

Walaupun ada yang berpendapat bahawa pembangunan tersebut memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan, penubuhan industri yang lebih besar (perhotelan dan pelancongan) akan menjejaskan ekonomi tempatan pulau. Industri tempatan tidak dapat bersaing secara skala ekonomi, justeru akan menjejaskan budaya dan warisan kepulauan. Akhirnya, jumlah pelancong yang meningkat ke pulau-pulau akan menyebabkan ketegangan sumber asli tempatan.

Ini akan menyebabkan masalah seperti isu pengurusan sisa pepejal, pencatuan air tawar, dan pemusnahan sumber semulajadi. Tanpa perancangan yang baik dan integrasi dengan agensi dan penduduk tempatan di pulau, sumber di pulau-pulau akan terjejas.

Dengan kesemua masalah kelestarian dihadapi dan tanpa perancangan yang mampan, daya tarikan asli pulau-pulau akan terjejas.

Tetapi mengapa kita memerlukan pembangunan seperti itu? Mengapa perlu menambah lebih banyak daya tarikan buatan di pulau-pulau Malaysia ketika kita mempunyai warisan semula jadi ini yang tidak dapat ditemui di tempat lain di dunia?

Perlu ada had pada pembangunan, usaha kurangkan kesan negatifnya

Walaupun pembangunan di pulau-pulau Malaysia mungkin membawa pendapatan yang lebih tinggi dan menaik taraf hidup penduduk tempatan, tetapi harus ada had pada pembangunan dan usaha untuk mengurangkan kesan negatifnya terhadap alam sekitar.

Selain itu, perlu ada peralihan ke arah pengurusan dan pemeliharaan lestari kemudahan pulau dan tarikan semula jadi untuk memastikan pemuliharaan warisan pulau Malaysia.

Untuk memelihara kelestarian ini, pandangan penduduk tempatan tentang pembangunan harus dipertimbangkan dan manfaatnya harus dinyatakan dengan jelas kepada mereka, untuk pembangunan secara holistik.

Tumpu produk pelancongan budaya dan warisan bukan taman tema

Oleh itu, sektor pelancongan pulau Malaysia harus memberi tumpuan kepada pemeliharaan dan penghargaan budaya dan warisan pulau tempatan, bukan memperkenalkan taman tema dan pembangunan besar-besaran. Ini dapat dicapai melalui penggunaan semula bangunan lama, mempromosikan kraftangan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana, serta membangunkan industri ekopelancongan dengan garis panduan dan dasar yang sesuai.

Dengan ini, ekonomi tempatan dapat dipertahankan, sambil memelihara identiti dan budaya pulau-pulau tersebut.

Selain itu, perlu juga memberikan lebih banyak tumpuan kepada pengurusan dan pemeliharaan lestari kemudahan pulau dan tarikan semula jadi, bukan hanya fokus kepada keuntungan ekonomi jangka pendek.

Ini boleh dicapai dengan kerjasama antara penduduk tempatan pulau dan kerajaan tempatan, dengan bantuan kerajaan persekutuan.

Seperti yang difahami, pulau-pulau Malaysia memberikan pelbagai faedah ekonomi, jika ia dikelola dan dirancang secara lestari.

Kita tidak sepatutnya campur tangan budaya pulau dan memperkenalkan pembangunan berlebihan hanya kerana ingin meningkatkan keuntungan dalam jangka masa yang pendek.

Ini kerana pembangunan seperti itu tidak lestari dan boleh menyebabkan kemerosotan pada tarikan utama pulau-pulau Malaysia.

Jika tidak diambil tindakan yang sesuai untuk membetulkan keadaan dalam masa terdekat, saya bimbang ekonomi kepulauan Malaysia akan terjejas dan runtuh atas beban sendiri disebabkan oleh kehabisan sumber tempatan.

Kita harus memikirkan semula tentang jangka masa panjang dalam pemeliharaan dan pemuliharaan budaya dan alam semula jadi pulau sebelum terlambat.

“Apabila pokok terakhir ditebang, ikan terakhir dimakan, dan sungai terakhir diracun, anda akan menyedari bahawa anda tidak boleh memakan wang” ~Peribahasa Indian Amerika

--BERNAMA

Dr Wee Hin Boo ialah Felo Penyelidik dan Pensyarah Kanan di Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)