Oleh Dasilah Nawang
Latihan industri adalah peluang keemasan bagi pelajar untuk merasai pengalaman bekerja dalam dunia sebenar. Ia memberi pelajar peluang untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari di bilik kuliah dan menghubungkannya dengan amalan di tempat kerja. Namun, untuk memaksimumkan pengalaman ini, pelajar perlu melakukan lebih daripada sekadar 'hadir' di tempat kerja. Mereka perlu proaktif, berdisiplin dan bersedia untuk belajar dengan cepat. Berikut adalah beberapa langkah yang bvoleh diambil oleh pelajar untuk memastikan pengalaman latihan industri mereka benar-benar berharga.
1. Tetapkan Matlamat Jelas dari Awal
Sebelum memulakan latihan industri, adalah penting untuk pelajar menetapkan matlamat yang jelas mengenai apa yang mereka ingin capai. Sama ada mempelajari kemahiran teknikal baharu, memahami proses kerja dalam syarikat atau membina rangkaian profesional; mempunyai matlamat akan membantu pelajar memberi tumpuan kepada aspek penting sepanjang tempoh latihan. Dengan matlamat yang jelas, pelajar boleh menyesuaikan pendekatan mereka semasa latihan dan memastikan setiap peluang dimanfaatkan sebaik mungkin.
2. Ambil Inisiatif dan Proaktif
Antara perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh pelajar ialah mengambil inisiatif dalam kerja harian mereka. Jangan tunggu untuk diberi tugasan, sebaliknya tanyakan kepada penyelia atau rakan sekerja jika ada tugas tambahan yang boleh dilakukan atau cara lain untuk membantu. Ini bukan sahaja menunjukkan kesungguhan, tetapi juga membantu pelajar mempelajari lebih banyak aspek tentang kerja yang mungkin mereka tidak terdedah.
Pelajar juga boleh menawarkan diri untuk terlibat dalam projek-projek khas atau tugasan yang memerlukan kemahiran yang ingin mereka pelajari. Misalnya, jika pelajar berminat dalam analisis kewangan, mereka boleh bertanya jika ada peluang untuk membantu dalam menyiapkan laporan analisis.
3. Menerima dan Meminta Maklum Balas
Maklum balas adalah kunci kepada pembelajaran yang berkesan semasa latihan industri. Pelajar perlu terbuka menerima maklum balas, sama ada ia positif atau kritikal. Maklum balas membantu pelajar mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki dan kemahiran yang perlu ditingkatkan.
Selain itu, jangan takut untuk meminta maklum balas. Setelah menyelesaikan satu tugasan, tanyakan kepada penyelia tentang cara kerja anda dan apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu kerja yang lebih baik. Ini menunjukkan bahawa anda komited untuk memperbaiki diri dan sentiasa ingin belajar.
4. Bangunkan Kemahiran Insaniah (Soft Skills)
Selain kemahiran teknikal, latihan industri adalah masa yang sesuai untuk pelajar memperbaiki kemahiran insaniah mereka seperti komunikasi, kerja berpasukan, dan pengurusan masa. Kemahiran insaniah ini adalah penting dalam dunia pekerjaan di mana komunikasi dengan klien, rakan sekerja, dan pengurusan adalah kunci kejayaan.
Pelajar perlu melatih diri mereka untuk menjadi lebih yakin dalam berkomunikasi, baik secara lisan atau bertulis. Mereka juga perlu belajar untuk bekerja dengan pelbagai personaliti dalam satu pasukan dan menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi kerja yang memerlukan fleksibiliti.
5. Membangun Rangkaian Profesional
Latihan industri memberi pelajar peluang untuk membina rangkaian profesional yang mungkin memberi manfaat kepada kerjaya mereka pada masa hadapan. Pelajar perlu berusaha untuk membina hubungan baik dengan penyelia, rakan sekerja, dan profesional lain dalam syarikat.
Rangkaian ini boleh membantu apabila pelajar mencari pekerjaan selepas tamat pengajian atau memerlukan rujukan profesional. Selain itu, hubungan baik dengan rakan sekerja juga boleh membuka pintu kepada peluang pekerjaan dalam syarikat yang sama.
6. Rekodkan dan Renungkan Pengalaman Anda
Pelajar harus merekodkan pengalaman mereka sepanjang latihan industri, sama ada dalam bentuk jurnal harian atau catatan berkala. Ini membantu mereka untuk melihat perkembangan diri, mengingati apa yang telah mereka pelajari, dan merenung bagaimana mereka boleh memperbaiki diri.
Rekod ini juga berguna apabila pelajar kembali ke universiti dan perlu menulis laporan latihan industri. Selain itu, mencatat pengalaman boleh membantu pelajar mempersiapkan diri untuk temu duga pekerjaan di masa hadapan, di mana mereka boleh merujuk kepada contoh-contoh praktikal semasa latihan.
7. Pelajari Aspek Lain dari Operasi Syarikat
Selain dari tugas-tugas yang diberikan, pelajar juga perlu cuba untuk memahami bagaimana syarikat beroperasi secara keseluruhan. Pelajari proses kerja di jabatan lain, dan bagaimana ia berkait dengan peranan anda sebagai pelatih. Ini boleh membantu pelajar memahami gambaran besar dalam sesuatu syarikat dan bagaimana fungsi-fungsi lain berkait dengan bidang pelajar.
Sebagai contoh, pelajar di jurusan perakaunan perlu memahami bagaimana jabatan pemasaran atau jualan beroperasi bagi membantu mereka untuk memahami data kewangan dengan lebih baik. Selain itu, ia juga memberi mereka perspektif tentang bagaimana fungsi perakaunan menyumbang kepada kejayaan keseluruhan syarikat.
8. Manfaatkan Peluang untuk Mengasah Kemahiran Teknologi
Di era digital masa kini, kemahiran dalam menggunakan perisian dan alat teknologi adalah keperluan penting bagi pelajar dari pelbagai bidang. Latihan industri adalah peluang terbaik untuk mempelajari dan mengasah kemahiran teknologi yang relevan dengan industri masing-masing. Sama ada dalam perakaunan, kejuruteraan, pemasaran, atau mana-mana bidang lain, pelajar boleh memanfaatkan perisian seperti SAP, QuickBooks, Microsoft Excel, atau alat khusus yang lain yang bersesuaian dengan bidang mereka.
9. Tunjukkan Sikap Profesional
Sikap profesionalisme adalah sangat penting semasa menjalani latihan industri. Pelajar perlu hadir tepat pada waktunya, bersikap hormat kepada semua orang, dan sentiasa bersedia untuk belajar. Ini termasuk berpakaian sesuai, mengikuti peraturan syarikat, dan menyelesaikan tugasan tepat pada masa yang ditetapkan.
Pelajar yang menunjukkan profesionalisme yang tinggi akan meninggalkan kesan yang positif kepada syarikat, yang boleh meningkatkan peluang mereka untuk mendapat tawaran pekerjaan selepas tamat latihan. Selain itu, pengalaman bekerja dalam persekitaran profesional akan memberi pelajar kelebihan dalam memahami budaya kerja yang diperlukan.
Kesimpulan
Latihan industri adalah satu peluang yang tidak boleh disia-siakan oleh pelajar. Dengan mengambil inisiatif, menetapkan matlamat yang jelas, dan mengembangkan kemahiran yang penting, pelajar dapat memaksimumkan pengalaman mereka dan mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk memasuki dunia pekerjaan. Sikap proaktif, keterbukaan kepada maklum balas, dan kesediaan untuk membina rangkaian adalah antara perkara penting yang perlu diterapkan oleh pelajar bagi memastikan latihan industri mereka benar-benar bermakna dan memberi impak besar kepada kerjaya mereka pada masa hadapan.
-- BERNAMA
Dasilah Nawang ialah Pensyarah Uniten Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).