Istilah “Pluralisme Agama”, selain “Liberalisme”, adalah satu istilah yang taboo di Malaysia mahupun di Indonesia kerana ia dihukumkan sebagai menyeleweng daripada ajaran agama Islam.
Di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI), dalam Musyawarah Nasional MUI VII, pada 26-29 Julai 2005 telah memutuskan bahawa:
1. Pluralisme, sekularisme dan liberalisme agama adalah faham yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
2. Umat Islam haram mengikuti faham pluralisme, sekularisme dan liberalisme agama.
Definisi pluralisme, sekularisme dan liberalisme agama mengikut MUI:
1. Pluralisme agama adalah suatu faham yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif; oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh mendakwa bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain salah. Pluralisme agama juga mengajarkan bahawa semua pemeluk agama akan masuk dan hidup berdampingan di syurga.
2. Liberalisme agama adalah memahami nas-nas agama (Al-Qur’an & Sunnah) dengan menggunakan akal fikiran yang bebas; dan hanya menerima doktrin-doktrin agama yang sesuai dengan akal fikiran semata.
3. Sekularisme agama adalah memisahkan urusan dunia dari agama; agama hanya digunakan untuk mengatur hubungan peribadi dengan Tuhan, sedangkan hubungan sesama manusia diatur hanya dengan berdasarkan kesepakatan sosial.
Aliran Liberal adalah sesat dan menyeleweng syariat
Di Malaysia pula, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74, dalam sidangnya pada 25-27 Julai 2006, telah memutuskan bahawa: Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam kerana ia mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.
Salah satu penyelewengan utama Aliran Pemikiran Liberal dari aspek akidah ialah kerana ia dikatakan berpegang kepada konsep pluralisme yang “berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.”
Lantaran itu, apabila Kerajaan Malaysia, melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Liga Muslim Sedunia (Muslim World League -MWL) yang berpusat di Riyadh, Arab Saudi, menganjurkan Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa (ICRL) 2024 di Petaling Jaya pada 7 Mei lalu timbul dakwaan bahawa ini adalah cubaan mempromosi “Pluralisme Agama”.
Objektif penganjuran ICRL2024 untuk pupuk semangat keharmonian antara agama
Hakikatnya tidak begitu. Objektif penganjuran ICRL 2024, sepertimana yang dinyatakan oleh Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), hanyalah untuk memupuk semangat keharmonian dalam kalangan penganut pelbagai agama agar masyarakat berinteraksi dengan harmoni bagi mengekalkan kerukunan dan perpaduan hidup bermasyarakat
Selain itu, ICRL 2024 ini juga bertujuan untuk merapatkan hubungan kemanusiaan, mengelakkan jurang kefahaman, memupuk keharmonian, membina permuafakatan, mengukuhkan persahabatan serta kerjasama antara negara dan rakyat, menekankan peranan agama dalam mempromosikan keamanan ke arah menangani dan menyelesaikan semua bentuk konflik yang membawa kepada perpecahan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, dalam ucapan perasmian beliau, juga langsung tidak menyentuh apa-apa persoalan mengenai akidah dan syariah. Sebaliknya, apa yang beliau tegaskan adalah kepentingan ICRL 2024 ini dalam mempromosi semangat lita'rafu, prinsip karamah insaniah sebagaimana mesej Al-Qur’an agar kita semua saling memahami dan menghargai kepelbagaian yang kita miliki.
Anwar minta pemimpin agama dunia perjuang keadilan dan sebar perpaduan
Lebih penting lagi, Perdana Menteri menggesa para pemimpin agama seluruh dunia supaya lebih berani memperjuangkan keadilan selain menyebarkan kefahaman dan perpaduan tidak kira di mana juga. Sebagai pemimpin agama – sama ada Muslim, Hindu, Buddha atau Kristian – semua perlu konsisten menolak ketidakadilan terhadap sesiapa pun dalam dunia, kata beliau.
“Pemimpin-pemimpin agama ambil tempat anda. Jadilah pemimpin yang lebih berkesan, berani dalam menyuarakan pandangan anda termasuk terhadap pengikut anda sendiri.Anda mungkin Muslim, Buddha, Hindu atau Kristian, namun keadilan tetap keadilan. Tiada mana-mana agama yang membenarkan ketidakadilan dan penindasan terhadap sesiapa pun” kata beliau lagi.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan ICRL akan menjadi acara kekal di Malaysia bagi mempromosi kefahaman mengenai Islam dan 'rahmatan lil alamin' serta menghantar mesej keamanan.
“Anda melihat dalam kalangan Islam, Kristian, Buddha atau Hindu, mendengar perkara yang perlu dilakukan untuk penambahbaikan. Saya mendengar dengan rendah diri dan saya mahu mendengar nasihat, kritikan serta cadangan anda,” tambah beliau.
Tujuh resolusi dipersetujui hampir 2,000 pemimpin agama 57 negara
Selain itu, 7 resolusi yang dipersetujui oleh hampir 2,000 pemimpin agama dari 57 negara juga terbukti tidak langsung menunjukkan apa-apa unsur promosi ke atas “Pluralisme Agama”. Sebaliknya resolusi-resolusi tersebut menekankan betapa mereka mengutuk segala amalan ekstremis, kekerasan dan keganasan terhadap penganut mana-mana agama.
Selebihnya, ICRL 2024 menyeru kepada institusi-institusi kebangsaan dan agama di seluruh dunia untuk menentang segala bentuk diskriminasi dan pengecualian terhadap minoriti agama, budaya, dan etnik, untuk melindungi perpaduan keluarga dan memberi perhatian kepada kualiti pendidikan selain menyeru kepada institusi-institusi agama untuk mempromosikan nilai-nilai yang menekankan pengampunan dalam mengukuhkan ikatan solidariti dan persaudaraan.
Tegasnya, memang langsung tidak betul dakwaan bahawa penganjuran ICRL 2024 ini adalah cubaan mempromosi “Pluralisme Agama”, kerana langsung tidak timbul di dalamnya apa-apa perbincangan mengenai kebenaran setiap agama, malah yang sebaliknya pula berlaku apabila ia digunakan untuk mempromosikan pemahaman Islam, ‘rahmatan lil alamin’ dan mesej keamanan.
Malah, Perdana Menteri juga menyebut: “Sementara kita berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan pemahaman kita tentang Islam dan mengamalkan apa yang diwajibkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah, kita juga ingin menyampaikan mesej kasih sayang, belas kasihan, keadilan bagi semua warganegara kita, sama ada Muslim atau bukan-Muslim.”
--BERNAMA
Dr Mohd Afandi Mat Rani ialah Profesor dan Dekan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.