TINTA MINDA

ETIKA PEMISAH ANTARA WARTAWAN PROFESIONAL DAN 'WARTAWAN JADIAN’

27/05/2024 09:56 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Fadzillah Aishah Ismail

Sebagai seorang pensyarah, saya sering diajukan persoalan oleh beberapa penuntut program kewartawanan, “Adakah kerjaya wartawan ini masih relevan berikutan kewujudan ‘wartawan jadian’ yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, di media sosial”.

Setiap semester akan ada persoalan yang sama dan saya sangat faham kerana mereka berasa bimbang sama ada keputusan memilih program kewartawanan untuk melanjutkan pengajian satu keputusan yang tepat.

Jawapan saya kepada mereka, “Ya, kerjaya sebagai wartawan akan kekal relevan sampai bila-bila meskipun wujud ‘wartawan jadian”.

Apa yang membezakan anda (saya gelarkan semua penuntut program kewartawanan sebagai wartawan) dengan wartawan jadian ini ialah etika!

Wartawan profesional berpegang pada etika kewartawanan

Wartawan profesional berpegang pada etika kewartawanan tetapi wartawan jadian bebas serta bersifat semberono apabila berkongsi sebarang berita atau informasi.

Wartawan profesional perlu berpegang kepada ketepatan fakta setiap kali melaporkan sesuatu berita tetapi wartawan jadian langsung tidak mengendahkan hal berkenaan.

Sebab itu, setiap kali kuliah saya akan menegaskan kepada semua penuntut saya, ‘accuracy is number one!’ ingat pesanan saya ini sampai bila-bila, sampai awak semua sudah menjadi wartawan profesional di mana-mana organisasi berita.

Selain ketepatan fakta, wartawan profesional perlu sensitif dalam melaporkan sesuatu berita terutama melibatkan isu-isu 3R iaitu kaum, agama dan raja (race, religion and royalty) selain perlu berhati-hati dalam pemilihan ayat atau perkataan kerana penulisan seorang wartawan boleh memberi impak yang besar.

Wartawan profesional juga perlu mengelak daripada ‘membesar-besarkan’ (exaggerating) sesuatu berita hanya semata-mata ingin menarik perhatian pembaca.

Etika menjadikan pelaporan wartawan dipercayai

Kenapa perlu berpegang teguh kepada etika kewartawanan? Kerana inilah yang akan menjadikan semua pelaporan seorang wartawan dipercayai atau credible.

Walaupun banyak informasi atau berita yang dikongsi wartawan jadian di media sosial, seorang pembaca yang bertanggungjawab tetap akan menunggu berita yang dikeluarkan oleh organisasi media yang sahih.

Etika kewartawanan diibaratkan sebagai ‘kitab’ bagi semua wartawan profesional yang berfungsi sebagai garis panduan kepada mereka dalam melaksanakan tugas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang menampilkan lapan etika utama, antaranya wartawan perlu telus dan berintegriti, dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain menyebut, wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber serta kesahihan dan ketepatan maklumat.

Selain itu, wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Fahmi dilaporkan berkata bahawa versi baharu Kod Etika Wartawan itu telah dimurnikan dengan melibatkan wakil wartawan dan organisasi media, serta mempertimbangkan peranan pengamal media tanpa menghalang, mengekang atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam pelaporan mereka.

Gagal patuhi etika menyebabkan reputasi wartawan terjejas

Justeru, penting bagi wartawan profesional untuk berpegang teguh kepada etika kewartawanan.

Jangan sesekali melanggar etika kewartawanan ini kerana jika sekali ia dilanggar, reputasi anda sebagai seorang wartawan akan terjejas dan masyarakat akan mula sangsi terhadap berita yang anda laporkan.

Kepada semua mahasiswa program kewartawanan, jangan khuatir dan teruslah menimba ilmu kerana anda semua pelapis yang akan menggantikan wartawan profesional sedia ada.

Jangan rasa tergugat dengan kewujudan wartawan jadian kerana mereka sememangnya tidak akan dapat menggantikan peranan wartawan sebenar yang lebih beretika!

Semua orang boleh menulis, tetapi bukan semua orang mampu bergelar wartawan.

--BERNAMA

Fadzillah Aishah Ismail ialah Pensyarah Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)