TINTA MINDA

CIPTA REPLIKA, SEMARAK MERDEKA

28/08/2024 02:38 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Ts. Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin

Saban tahun bulan kemerdekaan sentiasa disambut dengan penuh semangat. Tahun ini, dengan tema “Malaysia Madani : Jiwa Merdeka”, negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-67.

Pelbagai program dianjurkan oleh banyak pihak dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan. Inisiatif yang dilaksanakan ini dalam menzahirkan dan membangkitkan jiwa dan semangat patriotisme dalam kalangan warga Malaysia.

Mencipta replika kemerdekaan antara aktiviti yang sering kali diadakan. Merujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, replika bermaksud model sesuatu objek yang hampir atau betul-betul menyerupai objek yang asli. Kebiasaannya, replika yang dihasilkan adalah sesuatu yang ikonik dan dibanggakan.

Mencipta replika perlu ketelitian

Mencipta replika memerlukan ketelitian dalam pembangunan, sama ada ia bersaiz kecil atau besar. Umumnya, faktor yang perlu dipertimbangkan dalam pembangunan replika adalah mengenal pasti matlamat. Matlamat dalam konteks pemahaman maksud kepada audien dalam menaksir maksud replika yang telah dibangunkan.

Faktor lokasi turut memainkan peranan yang penting. Lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai, tiada bencana dan selamat. Pembangunan replika bersaiz besar perlu memastikan aspek lokasi diberi keutamaan. Selain itu, penyediaan lukisan atau pelan bentuk replika juga perlu disediakan.

Ia sebagai rujukan dalam mengenal pasti bahan yang bersesuaian, komponen yang akan digunakan dan ukuran/saiz replika. Di samping itu, ia dapat membantu menilai anggaran kos-kos yang berkaitan.

Aspek kekuatan dan kekukuhan replika bergantung kepada bahan yang digunakan. Pemilihan bahan turut mempengaruhi reka bentuk struktur replika. Faktor tersebut juga menyumbang kepada jangka hayat replika.

Bahan kitar semula

Kebiasaannya replika kemerdekaan yang dihasilkan menggunakan bahan yang boleh dikitar semula.

Penggunaan bahan yang boleh dikitar semula memberikan impak positif kepada persekitaran. Walau bagaimanapun, ia dapat mempengaruhi faktor-faktor lain, antaranya adalah kualiti replika.

Penggunaan teknologi dalam penghasilan replika contohnya penggunaan dron dalam merakam dan membuat pengukuran bentuk sesuatu objek atau penggunaan mesin pencetak tiga-dimensi boleh menambah baik penghasilan replika.

Teknologi ini seharusnya diterokai bergantung pada saiz replika yang bersesuaian. Penerokaan teknologi sekali gus dapat mendidik masyarakat tentang dunia teknologi terkini.

Aspek penting mereka cipta replika

Kekemasan antara aspek penting dalam mereka cipta replika. Kekemasan ini bagi memastikan matlamat awal penghasilan replika dapat dinyatakan secara jelas. Aspek ini memerlukan ketelitian dalam proses pembuatan replika.

Manakala, aspek kebolehtahanan replika adalah bergantung kepada persekitaran replika ditempatkan, sama ada ia terdedah kepada cuaca atau terdapat impak secara langsung. Elemen-elemen ini perlu diambil kira kerana ia dapat menjejaskan kualiti replika secara amnya.

Penghasilan replika melalui pendekatan proses reka cipta mengikut turutan dapat membantu proses kerja yang dilaksanakan berlangsung dengan baik dan mematuhi tempoh masa pembuatan yang telah ditetapkan.

Sokongan daripada pelbagai pihak dapat membantu memeriahkan usaha mereka mencipta replika kemerdekaan. Inisiatif pertandingan mereka cipta replika sedikit sebanyak dapat mendidik masyarakat tentang sejarah, semasa dan masa depan negara.

Falsafah dalam menghasilkan replika kemerdekaan

Falsafah dalam menghasilkan replika kemerdekaan antaranya adalah sebagai tanda kebanggaan dan harapan pada masa depan. Ia juga memberi indikasi tentang kerjasama, keharmonian, perpaduan dan nilai-nilai sejagat.

Secara tidak langsung, ia dapat menterjemahkan konsep nilai teras Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Ia juga selaras dengan aspirasi negara dalam memastikan teras Malaysia Madani difahami dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

Prof. Madya Ts Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin ialah Ketua Jabatan, Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Beliau juga Koordinator, Rekabentuk Kejuruteraan Bersepadu, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)