Oleh Ts Dr Ismaniza Ismail dan Dr Mohamad Ghazali Masuri
Bayangkan datang ke tempat kerja setiap hari dengan perasaan tertekan, tidak dihargai, dan tanpa ruang untuk bersuara. Setiap tugasan yang dihadapi terasa semakin berat, budaya kerja yang tidak sihat semakin menjadi-jadi, dan tiada sesiapa yang peduli tentang kesihatan mental anda.
Bagi ramai pekerja, inilah realiti yang dihadapi oleh mereka—tekanan berterusan, kekurangan sokongan, serta ketidakseimbangan kerja dan kehidupan yang memburukkan keadaan. Semua ini menyumbang kepada krisis kesejahteraan psikososial yang semakin membimbangkan dalam dunia pekerjaan.
Kepentingan Kesihatan Mental di Tempat Kerja
Setiap tahun, pada 10 Oktober, dunia merayakan Hari Kesihatan Mental Sedunia. Ini adalah peluang penting untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan mental, terutamanya dalam konteks tempat kerja. Kesihatan mental pekerja bukan sahaja mempengaruhi kesejahteraan individu tetapi juga prestasi keseluruhan organisasi. Di Malaysia, keadaan kesihatan mental di tempat kerja memerlukan perhatian yang mendalam, terutamanya dengan statistik yang menunjukkan bahawa lebih daripada 20 peratus pekerja mengalami masalah kesihatan mental.
Satu kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa 1 daripada 3 pekerja mengalami tekanan mental akibat pelbagai faktor seperti beban kerja yang berlebihan, ketidakpastian pekerjaan, dan masalah hubungan interpersonal di tempat kerja. Menurut laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tekanan kerja adalah salah satu penyebab utama masalah kesihatan mental di kalangan pekerja. Kajian yang sama juga mendapati bahawa pekerja yang mengalami masalah mental berisiko lebih tinggi untuk menghidapi penyakit fizikal, seperti penyakit jantung dan diabetes, akibat stres yang berpanjangan.
Jurang Pelaporan Kesihatan Mental di Tempat Kerja
Di Malaysia pula, walaupun terdapat Peraturan Pelaporan Berkaitan Kemalangan, Keadaan Berbahaya, Keracunan, dan Penyakit Pekerjaan yang diperkenalkan pada tahun 2004, banyak isu berkaitan kesihatan mental dan penyakit psikososial masih tidak dilaporkan. Statistik menunjukkan bahawa penyakit pekerjaan yang berkaitan dengan faktor psikososial sering kali diabaikan, walaupun ia mempunyai kesan yang signifikan terhadap produktiviti dan kesejahteraan pekerja. Ini menunjukkan terdapat jurang yang besar dalam pelaporan dan pemahaman mengenai isu-isu ini, yang memerlukan perhatian segera daripada semua pihak berkepentingan.
Masalah kesihatan mental yang tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan peningkatan kadar ketidakhadiran, penurunan produktiviti, dan peningkatan kadar perletakan jawatan. Kajian menunjukkan bahawa pekerja yang mengalami masalah mental yang tidak dirawat boleh kehilangan sehingga 30 peratus daripada produktiviti mereka. Selain itu, mereka yang mengalami tekanan di tempat kerja cenderung untuk mengambil cuti sakit lebih kerap, yang memberikan kesan domino kepada operasi organisasi.
Oleh itu, bagi mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, majikan perlu mencipta suasana yang menyokong ke arah kesejahteraan mental. Ini termasuk menyediakan ruang rehat, aktiviti berkumpulan, dan peluang untuk interaksi sosial di kalangan pekerja.
Mewujudkan Persekitaran Sokongan dan Keperluan Melabur
Selain itu penyelia atau pengurus perlu dilatih untuk mengenali tanda-tanda awal masalah mental dan bagaimana untuk memberikan sokongan kepada pekerja. Latihan ini harus merangkumi teknik komunikasi yang berkesan dan cara-cara untuk mencipta persekitaran kerja yang inklusif. Ini perlu disusuli dengan galakan tehadap pekerja untuk meluahkan masalah tanpa rasa takut akan stigma. Dialog terbuka tentang isu-isu ini boleh membantu mengurangkan kesunyian dan memberi ruang untuk sokongan. Sekiranya perlu, sistem pelaporan yang mudah dan selamat untuk pekerja perlu diwujudkan untuk menggalakkan pelaporan masalah di tempat kerja.
Menyediakan khidmat kaunseling dan program yang memberi maklumat tentang kesihatan mental juga dapat mengurangkan stigma dan meningkatkan akses kepada bantuan jika diintegrasikan ke dalam budaya organisasi.
Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia adalah lebih daripada sekadar peringatan; ia adalah seruan untuk tindakan serius. Dalam dunia kerja yang semakin mencabar ini, mengutamakan kesihatan mental di tempat kerja adalah langkah yang bukan sahaja menguntungkan individu tetapi juga organisasi secara keseluruhan.
Dengan melabur dalam kesejahteraan mental, kita bukan sahaja mengurangkan tekanan dan konflik di mana pekerja merasa dihargai, didengar, dan disokong, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan inovasi. Ini adalah pelaburan untuk masa depan yang lebih cerah, di mana setiap individu dapat memberikan yang terbaik tanpa rasa takut atau stigma. Melalui kesedaran dan tindakan yang berterusan, kita dapat membina budaya kerja yang lebih sihat, inklusif, dan produktif. Inilah masanya untuk menjadikan kesihatan mental sebagai keutamaan- demi kebaikan pekerja, organisasi, dan masyarakat kita.
-- BERNAMA
Ts Dr Ismaniza Ismail adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Kimia & Persekitaran Fakulti Sains Gunaan dan Dr Mohamad Ghazali Masuri Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pemulihan Carakerja Fakulti Sains Kesihatan, UiTM.