TINTA MINDA

ISLAM SUBUR DAN MEKAR DI MALAYSIA

14/10/2024 12:25 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Senator Dr Zulkifli Hasan

Baru-baru ini YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak yang membuat tuduhan palsu dengan cerita kononnya kerajaan mahu mengubah ketetapan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Naratif Islam terancam dan tergugat ini sebenarnya terus dimainkan sekian lama demi mengaut sokongan dan membangkitkan sentimen agama. Seharusnya, perkara ini perlu dihentikan dan naratif yang adil seiring dengan aspirasi dan hasrat kerajaan diketengah dan diarusperdanakan. Setelah dua tahun Kerajaan Perpaduan memegang tampuk pemerintahan, Islam bukan sahaja tidak terancam dan tidak tergugat malahan terus subur dan mekar di Malaysia.

Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI

Dalam konteks Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI 2023-2027 atau dikenali sebagai Pelan Transformasi Al-Falah (PTF) menjadi antara dokumen penting memacu perubahan dan pemerkasaan agenda hal ehwal Islam. PTF menetapkan hala tuju 14 agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara terancang dan bersasar bagi mencapai objektif dan sasaran untuk tempoh lima tahun selaras dengan visi untuk menjadi peneraju pengurusan hal ehwal Islam dan kesejahteraan Malaysia MADANI.

Bagi merealisasikan agenda transformasi ini, seluruh 14 agensi di bawah Hal Ehwal Agama akan bergerak seiring melaksanakan keseluruhan PTF secara kolektif. Selain itu Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri serta Exco Agama di negeri-negeri juga memainkan peranan masing-masing menguruskan Hal Ehwal Agama dan bersama-sama melaksanakan perubahan selain dibantu oleh jentera kerajaan negeri masing-masing.

Agensi Hal Ehwal Agama

Salah faham orang ramai mengenai JAKIM dan agensi-agensi di bawah Hal Ehwal Agama perlu diperbetulkan. JAKIM bukan satu-satunya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Hal Ehwal Agama di peringkat Persekutuan tetapi ia melibatkan 13 agensi lain dan kesemuanya memainkan peranan masing-masing. 14 agensi ini merangkumi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP), Lembaga Tabung Haji (TH), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Alhijrah Media Corporation (TV ALHIJRAH), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

14 agensi Persekutuan di bawah Hal Ehwal Agama ini menggerakkan segala usaha untuk memartabatkan Islam menurut fungsi dan mandat yang ditetapkan. Di sini, PTF menggariskan lima Teras Strategik utama Hal Ehwal Agama iaitu Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam. Pemerkasaan dan penambahbaikan Hal Ehwal Agama memfokuskan kepada 10 aspek utama merangkumi pengislahan dasar dan tadbir urus institusi Islam, pemantapan penyelidikan dan persuratan Islam, kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun, memartabat perundangan dan kehakiman Islam, penghayatan nilai masyarakat Madani, pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti, pemerkasaan media dan kesenian Islam, keunggulan pendidikan Islam dan dakwah berhikmah dan pemodenan prasarana institusi Islam.

Perundangan Islam

Tuduhan bahawa perundangan Islam dan Mahkamah Syariah akan tergugat adalah sesuatu yang tidak benar dan fitnah jahat. Kerajaan terus komited memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam. Usaha ini adalah menyeluruh bukan sahaja dari aspek penggubalan undang-undang substantif dan prosedural tetapi juga pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan ekosistem perundangan Syariah itu sendiri. Kajian mengenai Akta Saraan Hakim Syarie, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah dan pewujudan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia menunjukkan keseriusan kerajaan memberi pengiktirafan kepada pemerkasaan perundangan Syariah.

Bagi maksud pengharmonian undang-undang sivil dan Syariah serta mengelakkan pertindihan dan konflik, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Menggubal Undang-undang Islam. Demi menangani sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia pula, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama yang dipengerusikan oleh Menteri Perpaduan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Usaha ini kesemuanya untuk mewujudkan keharmonian dan kewujudan bersama secara damai dan sejahtera.

Malaysia semakin subur dengan majlis ilmu bahkan begitu banyak program keilmuan melibatkan ulama bertaraf dunia. Negara kita kini menjadi tumpuan ulama tersohor dan cendiakawan daripada seluruh dunia. Al-Imam Al-Akbar Syeikhul Azhar Dr Ahmed Mohammed Ahmed El-Tayeb, Syeikh Ali Jum’ah, Syeikh Ali al-Qaradaghi, Syeikh Abu Bakar Ahmad, Syeikh Yasir Qadhi, Syeikh Omar Suleiman, Syeikh Ahmed al-Raysuni, Syeikh Maheral-Muayqali dan ramai lagi telah mengunjungi Malaysia memberikan tausiyah, nasihat, pesanan serta mencurahkan ilmu mereka di Malaysia. Ulama hebat ini memuji Malaysia dan mengiktiraf suasana dan keadaan di negara kita yang subur dengan majlis ilmu dan menikmati perkembangan Islam yang sangat baik.

Ekonomi dan Kebajikan Sosial

Ekonomi dan kebajikan sosial Islam menjadi tonggak pembangunan masyarakat dan negara. Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif ekonomi Islam antaranya pemerkasaan sektor kewangan Islam dan pasaran modal Islam yang diiktiraf sebagai terbaik di dunia oleh Petunjuk Ekonomi Islam Global. Dari aspek sektor ketiga ekonomi Islam, kerajaan mempergiatkan usaha pengukuhan zakat dan wakaf. Pengurusan dan pentadbiran zakat adalah antara yang terbaik di dunia. Kerajaan turut memperkenalkan inisiatif dan suntikan tambahan bagi memperkasakan waqf menerusi Waqf Madani bernilai RM500 juta dan Waqf MARA Madani berjumlah RM100 juta. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqf Malaysia, agensi pusat berkenaan waqf di bawah Hal Ehwal Agama memainkan peranan penting memacu waqf ke tahap yang lebih tinggi. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) juga terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial Islam.

Pendidikan Islam terus diberi perhatian istimewa dan dimantapkan di segenap peringkat. Dasar Pendidikan Tahfiz negara dilancarkan dengan pelbagai program terbaik bagi mempersiapkan pelajar-pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian. Inisiatif berkaitan institusi pendidikan tahfiz adalah menyeluruh meliputi kurikulum tahfiz arus perdana, tadbir urus, sistem pengiktirafan termasuk kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan lain-lain. Peruntukan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat yang pernah dihentikan sebelum ini juga telah dikembalikan semula dan dapat memberi manfaat kepada banyak sekolah di seluruh negara.

Pengembangan program dakwah semakin bertambah dan menyeluruh. YADIM dan agensi-agensi Hal Ehwal Agama lain melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dakwah yang menyeluruh di seluruh negara. Dasar Dakwah Negara kini dilaksanakan dengan lebih giat lagi menerusi kerjasama agensi, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, NGO Islam, organisasi masyarakat sivil termasuk badan korporat. Bahagian Dakwah JAKIM melaksanakan pelbagai program dakwah bersama NGO dan badan korporat di seluruh negara. Selain itu, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi media dan saluran tv dan radio Islam. TV Al Hijrah, IKIMFM dan TV Jakim termasuk saluran berbentuk keagamaan saluran tv yang lain menawarkan pelbagai program yang bermanfaat memberikan pencerahan dan maklumat berguna kepada orang ramai mengenai hal ehwal agama.

Pemodenan prasarana institusi Islam diteruskan dengan peruntukan jutaan ringgit. Pembinaan dan baik pulih masjid dan surau, mahkamah syariah, institusi pendidikan, balai cerap, pusat latihan dan sebagainya terus dilaksanakan di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan menaik taraf institusi pendidikan Islam yang berdaftar. Bukan itu sahaja, selain bantuan kewangan tetap setiap tahun, kerajaan juga memberi sumbangan khas RM700 kepada guru takmir, guru KAFA, imam, bilal dan siak dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Kesimpulannya di sini ialah sudah amat banyak inisiatif kerajaan dan program-program yang dapat mengimarah, menghidupkan syiar Islam dan membentuk umat Islam di Malaysia. Sekiranya dicatat dan disenaraikan, pastinya ia terlalu banyak dan telah memberikan impak yang besar dan signifikan kepada negara. Sememangnya tidak dinafikan, usaha dan inisiatif ini masih memerlukan penambahbaikan dan perubahan daripada pelbagai aspek dan perkara. Beberapa insiden dan isu yang berlaku mutakhir ini sebenarnya membuka ruang dan peluang untuk semua pihak bermuhasabah dan memikirkan strategi untuk melakukan perubahan sebaiknya. Namun, untuk mengatakan Islam terancam dan tergugat itu adalah naratif palsu yang cuba mengaburi mata rakyat Malaysia. Sesungguhnya Islam tidak terancam dan tidak tergugat di Malaysia, bahkan is terus subur dan mekar seperti berkembangnya bunga di taman.

--BERNAMA

Senator Dr Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)